Kau Popular Di Hatiku Bab 8

Akhirnya kerja aku siap sebelum waktunya. Itu pun setelah beberapa malam bersengkang mata. Memandangkan hari ni hari Ahad bolehlah aku qada’ waktu tidur. Rindu pula pada bantal kesayanganku itu.

“Tok! Tok! Tok!”

Adess, mama ni mesti nak panggil aku turun sarapan. Kalau aku menyorok dalam selimut aci tak? Malas betul nak makan. Nanti tak boleh tidur. Pintu diketuk lagi. Lambat-lambat aku bangun dari kerusi.

“Ya mama, nak a…”

Tidak jadi aku nak habiskan ayat. Yang berdiri di hadapan aku ni bukannya mama tapi papa. Mimpi apa pula tiba-tiba rajin nak kejutkan aku pagi-pagi macam ni.

“Akira tak nak sarapan ke?” tanya papa. Aku kematian kata. Tadi beria nak menyorok dalam selimut. Ni apa pasal pula tak boleh nak bercakap. Hisy!

“Err…”

“Dah, jom turun.”

Belum sempat aku nak jawab papa dan mencelah. Nampak gayanya aku kena lupakan hasrat untuk tidur. Kalaulah esok aku boleh ambil cuti.

“Kejap ya papa. Akira nak basuh muka,” ujarku

“Okey. Haa, jangan lupa pakai tudung tau. Kat bawah tu ada tetamu.”

Kaget aku mendengar kata-kata papa. Masa nilah nak ada tetamu pula. Siapa yang rajin sangat datang pagi-pagi ni? Serabut betullah!

‘Tetamu itu datang membawa rahmat. Sebab tu kita kena raikan mereka.’

Betul juga cakap encik otak ni. Hisy, yalah! Patutnya aku bersyukur ada yang sudi datang ke teratak mama dan papa ni. Biasalah, aku ni cuma manusia yang sering khilaf. Mujur encik otak tidak ikut khilaf. Huhu!

Aku bergegas masuk ke dalam bilik air untuk membasuh muka. Sejurus itu aku ambil tudung Ariani. Walaupun aku kurang gemar dengan tudung jenis itu, tapi aku pakai aje. Duduk kat rumah tak perlulah nak betudung bawal segala. Janji aurat terjaga. Pintu bilik aku tutup sebelum turun ke bawah. Sebaik sahaja kaki aku mencecah tangga terakhir, laju aje aku menonong ke dapur mencari mama.

“Mama buat sarapan apa?” soal aku.

“Mee goreng dengan roti bakar aje. Akira tolong hantarkan kopi ni ke depan dulu. Jangan nak tercegat aje kat situ,” arah mama.

“Kalau Akira tak nak hantar boleh tak?” saja nak menguji kesabaran mama.

“Jangan nak mengada-ngada. Kesian orang kat depan tu dari tadi dok tunggu air sampai.”

Ceh, aku yang tak cukup tidur ni tak ada pula dia nak kasihan. Sadis betul.

“Yalah. Akira nak hantarlah ni.”

Dulang yang berisi teko dan cawan aku tatang dengan penuh berhati-hati. Di meja ruang tamu, aku menuang air kopi ke dalam cawan dengan sopan. Imej mama dan papa harus dijaga. Aku tidak melihat wajah tetamu itu tapi aku yakin mereka datang berdua dan berjantina lelaki.

Mata aku ni pula gatal sangat nak tengok muka dia orang. Maka sambil menyusun cawan aku curi-curi pandang. Salah seorang dari mereka kelihatan sebaya papa. Dan mata aku terus terpaku ketika melihat wajah seorang lagi tetamu.

“Prangg!”

Tersentak aku mendengar bunyi itu. Alamak, cawan pecahlah pula. Berserpih-serpih pula tu. Kalau terpijak naya aje.

“Akira, kamu berangankan apa ni? Ambil cawan lagi satu dengan penyapu sekali,” papa memberi arahan.

Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Hisy, apa dia buat kat sini? Macam mana dia tahu rumah aku? Dia datang ni nak report pasal aku kat mama dengan papa ke? Dahlah aku memalukan diri depan dia tadi. Macam mana nak hadap muka dia esok? Arghhh, semak kepala aku memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

“Akira nak buat apa dengan penyapu ni?” berkerut dahi mama. Hairan agaknya bila aku ambil penyapu. Selama ni aku mana pernah pegang penyapu. Dulu masa sekolah pun tugas dia cuma susun meja.

“Cawan pecah,” jawabku pendek.

“Ya Allah, macam mana boleh pecah pula? Tak apalah. Biar mama yang kemas.”

Penyapu yang berada di tanganku mama ambil. Tapi aku kembali merampas penyapu itu. Apa pula kata dia orang bila tengok mama yang kemas sedangkan yang pecahkan cawan aku.

“Tak apa ma. Akira boleh kemas,” aku cuba tersenyum.

“Kamu usik penyapu pun tak pernah. Dahlah. Kamu bawa makanan ni ke depan. Bab cawan tu biar mama yang uruskan,” balas mama pula.

“Kenapa pula ni? Kan papa suruh Akira ambil penyapu tadi,” papa muncul secara tiba-tiba.

“Akira ni nak suruh menyapu? Entah apa pula yang jadi nanti. Biar saya aje yang uruskan. Akira, bawa roti bakar ni ke depan ya. Abang bawa mee goreng ni,” mama sudah mengeluarkan arahan. Tak dapat tidak aku harus menurut.

Ketika mama sedang menyapu, Hakimi tiba-tiba bangkit.

“Pak cik, boleh tak kalau saya nak tumpang tandas?” dia bertanya kepada papa.

“Apa tak bolehnya. Akira, tunjukkan Kimi mana tandas ya.”

Aduh, kenapa mesti aku? Hakimi sudah tersenyum-senyum. Rasa nak lempang aje muka dia.

“Aku tak tahu pula yang kau ni anak seorang peguam yang terkenal,” Hakimi memulakan perbualan ketika menuju ke tandas.

“Perlu ke untuk kau tahu?” aku menyoalnya.

“Tak. Cuma macam tak sesuai aje. Ayah peguam, mak pakar motivasi tapi anak dia…” Hakimi membiarkan ayatnya tergantung.

“Ya, aku ni hanya seorang penolong editor. Tapi kau tak faham situasi aku. Jadi kau tak perlu nak masuk campur,” aku berkata dengan nada geram.

“Kau ni boleh tak fikir positif?”

“Apa maksud kau? Apa selama ni aku berfikiran negatif ke?”

“Kalau betul tak suka jadi peguam, kenapa kau ambil bidang undang-undang?”

“Sebab aku tak nak kecewakan papa aku.”

“Kau jadi penolong editor dia tak kecewa?”

“Dia sokong aku. Cuma dia hairan kenapa aku tak bagitahu dia awal-awal.”

“Aku tak faham macam mana kau boleh graduate.”

“Ada satu aje sebabnya. Aku sangat minat dengan sejarah.”

“Okay noted! Kau tak nak masuk ke?” Hakimi mengusik.

“Hisy, apa kau ni?”

Sengal betul mamat ni. Nak bergurau pun agak-agaklah.

“Merahnya muka kau, hahaha!”

Pantas dia meloloskan diri ke dalam tandas. Geram betul aku dengan Hakimi ni.

“Kau tak nak berdamai?” baru aje keluar dari tandas dah tanya aku soalan. Apa punya perangailah dia ni.

“Maksud kau?”

Ceh, aku pun sama juga. Saja buat-buat tak faham dengan perkataan berdamai.

“Kita kawan.”

“Bukan kau kata aku ni kawan kau sejak lulus ujian merepek tu?”

“Memanglah. Tapi ini secara rasmi.”

“Okey. Dengan satu syarat.”

“Syarat apa pula?”

“Mesti ikhlas.”

“Ikhlas?”

“Yup! Ikhlas dalam persahabatan.”

“Deal!”

“Ehem-ehem,” aku dengar bunyi deheman. Mama merenung aku dan Hakimi. Aku berdoa agar mama tidak mendengar isi perbualan aku dengan Hakimi sebentar tadi.

“Kenapa berborak depan pintu tandas ni? Sampai keluar perkataan ‘ikhlas’ lagi,” tanya mama setelah melihat kami membisu.

“Err, tak ada apa mak cik. Saya cuma nak bagitahu Akira yang kita kena ikhlas dalam bekerja,” Hakimi memberi alasan.

“Kamu berdua ni dah lama kenal ke?” soal mama lagi.

“Eh, tak adalah lama pun. Baru seminggu. Saya pun salah seorang staf Pena Kreatif juga,” jelas Hakimi.

“Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau macam tu baguslah. Boleh tolong tengok-tengokkan si Akira ni,” balas mama pula. Aku mencebik bibir mendengar kata-kata mama. Macam aku ni tak reti nak jaga diri sendiri pula sampai nak suruh orang lain tengok-tengokkan.

“Yalah mak cik. Hmm, saya ke depan dulu ya?” pintanya.

“Haa, yalah!”

Aku ingin menurut langkahnya tapi dihalang mama.

“Kamu nak ke mana pula tu?”

“Nak ke depanlah.”

“Tunggu dulu. Mama ada benda nak cakap ni.”

“Apa dia?” aku bertanya polos.

“Kamu rapat ke dengan Hakimi tu?”

“Tak adalah rapat mana pun. Kita orang baru aje kenal.”

“Oh! Mama cuma nak ingatkan Akira supaya jangan nak buat hal. Ayah dia tu kawan baik papa. Kalau Akira buat masalah siaplah nanti. Mama paksa Akira berhenti kerja.”

Hisy, mama ni macam tahu-tahu aje aku ada masalah dengan ketua editor. Tak boleh jadi ni. Jawabnya aku memang kena jadi baik sepanjang bekerja di syarikat tu.

“Jangan risau. Akira takkan buat hal yang bukan-bukan punya. Mama nak Akira nyanyi lagu Percayalah ke?”

“Tak payah. Tak pasal-pasal cuaca cerah jadi mendung pula nanti.”

“Suara Akira sedap tau. Rugi mama tak nak dengar. Hmm, Akira naik atas dulu ya. Ada ‘kerja’ yang tertangguh,” aku meminta diri. Tidak mahu berlama-lama di sini. Nanti entah apa pula lagi yang mama hendak pesan.

“Pergilah,” pendek sahaja mama membalas.

Pantas aku mengorak langkah. ‘Kerja’ yang aku maksudkan itu tak lain tak bukan dah tentulah tidur. Perut pun belum lapar lagi. Jadi tak perlulah nak bersarapan. Nanti bila dah puas ‘bekerja’ pandai-pandailah aku cari makan.

Tetamu di luar tu biarlah mama dan papa yang layan. Kalau aku berada di situ pun keadaan tetap sama. Di atas katil, aku berbaring dengan buku Historical Fact and Fiction di tangan. Asyik sekali aku menghayati tulisan profesor ini sehingga aku tidak sedar sudah berapa banyak muka surat aku baca.

Apa yang dapat aku simpulkan setakat ini ialah beliau tidak pernah berhenti daripada menggugah pandangan kita dan menuntunnya ke arah pandangan dari sudut Islam yang berasaskan tauhid.

Historical Fact and Fiction bergerak daripada dua asas iaitu sejarah Islamisasi rantau Malay-Archipelago dan mengambil kira pandangan yang ditinggalkan orientalis atau sarjana yang tersihir oleh mereka tentang kemasukan dakwah Islam melalui pendakwah Islam dan Parsi.

Sesungguhnya aku dan sejarah tidak boleh dipisahkan. Sampaikan makan ubi kayu dengan si ‘dia’ pun aku boleh anggap sweet. Lucu pula rasanya bila mengingatkan senarai yang aku buat itu.

Aku meneruskan pembacaan sehingga ke titik terakhir. Meskipun buku ini cuma setebal 170 halaman dan berharga RM180.00 tetapi isinya sangat berharga. Kerana faktor harga itulah baru tahun ini aku dapat beli. Jika tidak sudah tentu pertama kali diterbitkan aku sudah dapatkannya untuk dijadikan koleksi.

3 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi.. ♥

Unknown said...

nak lg.

AnakPakZohar said...

sedap nama.. akira.. =)