Kau Popular Di Hatiku Bab 2

“Akira, bangun cepat! Kamu tak nak pergi temuduga ke?” mama menjerit sambil mengetuk-ngetuk pintu bilikku. Kalau dibiarkan mahu roboh dibuatnya.

“Apa mama ni? Baru pukul 6 pagi. Akira bukan solat pun,” aku menenyeh-nenyeh mata ketika bercakap dengan mama. Sempat lagi aku mengerling jam yang terlekat di dinding.

“6 pagi kamu kata? Tahu tak sekarang dah pukul 7.10 pagi?” mama menggelengkan kepalanya.

“Erkk, tapi jam tu…” aku kematian kata apabila melihat jarum jam itu tidak bergerak.

“Kamu dah lupa ya jam tu dah tak berfungsi? Semalam kamu juga yang mengadu kat mama. Bila suruh ganti, ‘nantilah ma…Akira malaslah’,” mama mengajuk caraku bercakap.

“Yalah, Akira salah!” aku menundukkan wajah.

“Dah tu, pergilah mandi cepat. Tak sempat sampai nanti mulalah nak menangis,” kata mama pula.

Selesai mandi aku segera mencapai baju kurung berwarna biru. Mujur baju itu sudah kugosok malam tadi. Jika tidak pasti aku akan lebih kelam kabut. Kemudian aku mengambil tudung berwarna biru di penyangkut untuk dipadankan. Usai bersiap aku melihat imejku di hadapan cermin. Perfect!

Heh, puji diri sendiri pula aku ni. Tapi betul apa. Baju kurung dengan tudung yang aku pakai ni memang sesuai. Eh, dah 7.30 pagi. Matilah macam ni. Dengan sepantas kilat aku turun tangga dan menuju ke dapur. Apa-apa pun perut mesti kena isi dulu.

“Akira, cepat sini sarapan.”

Aku segera duduk dan mengambil sekeping roti bakar. Mama menuangkan air kopi untukku.

“Akira, good luck! Sebelum temuduga tu, baca Rabbi yassir wa la tu as’sir. Minta pada Allah supaya dipermudahkan segala urusan,” papa berkata.

“Okey, Akira akan buat sehabis baik. Hmm, dah lambat ni. Akira pergi dulu ya.”

Aku mencapai cawan yang berisi kopi dan minum sedikit. Kemudian, aku menyalami tangan mama dan papa sebelum keluar. Setelah itu aku menyarungkan kasut yang berwarna putih lalu masuk ke dalam kereta. Papa ada cakap dia dah tolong panaskan enjin kereta aku. Memang senang bila duduk dengan family ni. Tak payah nak risau banyak benda.

****

Pheww! Sempat juga aku sampai kat sini. Tak sia-sia aku pecut tadi. Tapi kenapa ramai sangat ni? Ada 5 orang termasuk aku. Okey bunyi macam sikit tapi bagi aku sudah cukup untuk membuat harapanku terkubur.

Aku teringat pesanan papa ketika di rumah tadi. Ya Allah, bantulah hambamu ini. Kurniakanlah semangat yang kuat kepadaku. Aamiin. Aku terasa ada yang mencuit bahuku. Kelihatan seorang lelaki sedang memandangku sambil tersenyum. Atau lebih tepat tersengih macam kerang busuk. Dahlah main cuit-cuit bahu anak dara orang, nak sengih-sengih pula. Ada juga yang kena siku dengan aku kejap lagi.

“Maaf ya encik, ada apa cuit bahu saya?” sopan aku bertanya.

“Ada labah-labah atas bahu awak tadi.”

Aku sudah terasa hendak menekup muka dengan fail di tanganku ini mendengarkan jawapannya. Wahai cik hati, kenapalah suka bersangka buruk pada orang. Nasib aku tanya dia baik-baik tadi. Kalau aku mengamuk kat situ buat malu aje. Sah-sah aku kena reject tanpa perlu temuduga. Mana ada majikan yang mahu pekerja suka mengamuk tak tentu pasal. Hish!

“Oh, terima kasih sebab tolong buangkan.”

Hanya itu yang mampu aku cakap. Lagi pun aku tak kenal dia. Buat apa nak sembang lebih kan?

“Sama-sama. Datang temuduga ke?” ramah pula dia bertanya.

“Taklah. Saya nak mop lantai ni,” selamba sahaja aku menjawab.

Alamak! Apa yang aku cakap ni. Mesti dia fikir bukan-bukan pasal aku. Tapi siapa suruh pergi tanya soalan kurang cerdik macam tu. Dah aku duduk kat sini mestilah datang untuk temuduga.

Dia mengerut dahi apabila mendengar jawapan aku. Sejurus itu dia berpindah ke tempat duduk yang lain. Eh, dah kenapa pula? Dia fikir aku ni tak betul ke? Lantaklah, tak menyusahkan hidup aku pun. Tak reti nak bezakan ayat serius dengan ayat sarkastik agaknya.

Kemudian datang pula seorang gadis. Dia duduk di sebelahku. Aku memberikan senyuman kepadanya. Pagi-pagi ni eloklah buat amal jariah. Sedekahkan senyuman pun cukuplah.

“Cik, jangan duduk dekat situ. Sebelah tu orang gila,” aku melihat riak wajah lelaki tadi. Tiada langsung perasaan bersalah. Hei, tahu tak memfitnah tu berdosa? Cari nahas betullah lelaki sorang ni. Memang ada kaki yang kena goreng kicap lepas ni.

“What? Crazy? Oh My God!” jerit gadis itu secara tiba-tiba. Dengan pantas dia menjauhkan diri daripada aku. Receptionist di hadapanku memandang gadis itu dengan penuh tanda tanya. Hanya kami sahaja yang berada di sini ketika ini. Aku pula memang sedang menunggu giliran untuk ditemuduga.

Macam gedik aje minah ni. Kot ya pun takut sangat aku ni orang gila tak payahlah sampai nak jerit-jerit. Bukan aku nak tikam dia sampai mati pun. Kalau saudara aku macam ni dah lama kena sembur. Ingat bagus sangat ke buat perangai macam tu? Mujur aku tak ada kaitan dengan dia.

“Mulut tu jangan nak tangki kumbahan sangat ya?” aku menjeling tajam ke arah lelaki itu.

“Apa awak cakap?” aku dapat kesan nada geram dalam suaranya.

“Cik Dzatul Akira Binti Sharifudin, silakan masuk.” Panggil seseorang.

Aku menoleh ke arahnya dan tersenyum sedikit. Tidak sempat aku hendak menjawab pertanyaan lelaki sengal itu. Haa, kan dah dapat gelaran daripada aku. Siapa suruh cari pasal. Ini anak encik Sharifudin tahu?

Aku segera bangun dari duduk dan menuju ke bilik temuduga. Di dalam ada dua orang lelaki dan seorang perempuan. Hmm, okeylah tu. Daripada tak ada perempuan langsung.

“Sila perkenalkan diri anda,” laju seorang lelaki berkata. Biar betul mamat ni. Tak sempat aku nak tarik nafas dah minta perkenalkan diri. Pantasnya atau dia sudah penat asyik meminta orang perkenalkan diri. Aku melihat nametagnya sekali imbas. Syahmirul rupanya nama lelaki ni. Aku kembali melihat wajahnya.

“Akira,” aku menjawab dengan gugup. “Dzatul Akira Binti Sharifudin.”

“Hmm, Dzatul Akira. Tapi Akira tu macam nama lelaki Jepun. Muka pun dah ada iras orang Jepun,” balas lelaki itu pula.

Dia tergelak kecil. Eeee, geramnya aku. Berani dia gelakkan nama yang mama dengan papa pilih ni? Nak kena saman agaknya. Okeylah tu, unik apa nama aku. Itu pun nak dikomen.

“Saya gurau aje. Janganlah pandang macam nak telan saya pula. Okey, awak ada tiga minit untuk perkenalkan diri. Silakan,” sambung lelaki itu.

“Okey. Nama saya Dzatul Akira Binti Sharifudin. Saya lahir dan menetap di Kuala Lumpur. Umur saya 23 tahun. Sejak di sekolah menengah lagi saya bercita-cita hendak menjadi seorang editor. Jadi sebab itu saya mohon jawatan ini sebagai langkah pertama untuk mencapai impian saya…”

“Okey cukup!” lelaki itu mematikan kata-kataku.

Tadi kata suruh perkenalkan diri tiga minit. Ni baru dua minit. Ada lagi seminit tahu. Tak reti mengira ke? Eh, Akira. Sejak bila pula pandai cerewet pasal masa ni? Dah berjangkit dengan mama ke?

“Pernah ada pengalaman jadi penolong editor?” lelaki di sebelah Syahmirul itu pula bertanya. Seperti biasa aku memang akan melihat nama dulu. Ashraf Hakimi. Sedaplah pula nama dia ni. Kacak pula tu. Hei Akira, fokuslah.

“Tak. Saya baru sahaja graduate daripada Universiti Malaya,” pantas aku menjawab.

“Apa kelulusan yang awak ada untuk melayakkan diri awak mendapat jawatan ini?” tanyanya lagi.

Tersekat suaraku hendak menjawab. Habislah, kenapa dia tanya contoh soalan temuduga nombor 4 tu? Nombor 4 dalam bahasa cina bermaksud mati. Ah, apa yang aku melalut ni? Khurafat tahu percaya benda-benda macam tu. Wahai encik otak, tolonglah berikan aku jawapan. Janganlah duduk diam aje. Bekerjalah cepat wahai encik otak kesayanganku. Heh, bila pula otak aku berjantina lelaki?

“Saya ada degree dalam bidang undang-undang. Err, kalau guna sijil SPM boleh tak?” aku bertanya bodoh.

“What? Law? Oh My God!” dia kelihatan terkejut sekali.

Mamat ni dah kena sampuk dengan minah gedik kat luar tadi tu ke? Ke dia orang ni adik beradik? Aduhai, sabar aje aku tengok reaksi dia ni.

“Okey saya faham perkara ini kurang logik. Seorang lulusan ijazah dalam bidang undang-undang memohon jawatan penolong editor. Tapi saya betul-betul minat dalam bidang ni. Lawyer bukan cita-cita saya tapi kehendak papa saya,” jelas aku.

“Gaji peguam lebih mahal daripada penolong editor,” satu-satunya penemuduga perempuan itu sudah bersuara.

“Saya tak pentingkan gaji. Tapi minat yang mendalam. Saya mahukan kepuasan bekerja,” entah mana datangnya keberanian aku untuk membalas kata-kata penemuduga tu.

“Awak ada keyakinan yang tinggi. Baiklah. Sampai di sini sahaja sesi temuduga kita. Dalam masa seminggu lagi kami akan beritahu keputusan melalui e-mel. Awak ada sertakan e-mel dalam resume ni kan?” tenang sekali perempuan itu berkata.

“Okey,” perlahan sahaja suaraku. Temuduga kali ini berakhir begitu cepat. Padahal aku ada dalam ni tak sampai 10 minit pun. Aku lihat si Ashraf Hakimi tersenyum memandangku. Aku tengok dia ni dari tadi asyik tersenyum aje bila pandang aku kecuali masa kena sampuk dengan minah gedik kat luar tu. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan aku? Eh cik hati, cubalah berbaik sangka sikit. Entah-entah dia memang jenis yang pemurah dengan senyuman. Aku keluar dari bilik itu dengan perasaan sedih. Mungkin aku patut lupakan impian aku. Takdir dah tentukan aku bekerja dengan papa agaknya.

Sebaik keluar, terpampang wajah lelaki gila yang sengal tadi. Daripada sedih perasaan aku bertukar jadi meluat pula. Mudah benar perasaanku berubah.

“Encik yang saya tak pernah kenal, lain kali kalau nak mengutuk agak-agak sikit ya. Kalau pun pernah bekerja dengan Syarikat Indah Water Konsortium, nak masuk Syarikat Pena Kreatif kenalah cuci mulut tu dulu. Tak pasal-pasal aje syarikat ni terpalit dengan bau tangki kumbahan nanti. Takut pula penulis-penulis di luar sana hendak menghantar manuskrip di syarikat ini,” aku mengomel panjang.

Tidak berkelip mata perempuan gedik tadi mendengar kata-kata aku. Mungkin dia sedang keliru siapa yang gila sebenarnya. Aku melangkah pergi setelah menghabiskan kata-kata. Tidak sempat pula hendak melihat reaksi lelaki itu. Bergema ketawa jahat dalam hati aku. Padan muka dia. Siapa suruh cari pasal? Aku bukannya saja-saja nak kurang ajar. Mujur aku cuma laser dia aje. Kalau aku keluarkan ‘mata pedang’ siapa nak jawab?

2 comments:

Suria November said...

hikss.. best! sambung sambung

kak, lagi elok kalau akak buang word verification. hee

Dya Ezlia said...

bila ada idea nanti akak sambung lagi ya. :) dah buang dah, akak tak perasan pula ada benda alah tu. hee ;)