Terkedu aku apabila dia berhenti di hadapan sebuah bilik. Serta-merta kes pagi tadi terlayar di ruang minda aku. Nampaknya ini bukan déjà vu. Tapi ini betul-betul haru.
“Aku tak nak masuk,” pantas aku melepaskan pegangannya.
“Kenapa? Takut? Kau jangan risau. Aku ada. Lagipun jawatan aku lagi tinggi daripada dia,” katanya pula. Sekali lagi mataku yang sepet ini bertukar menjadi bulat. Jawatan Hakimi ni lagi tinggi daripada Hanis? Dan aku berkau aku dengan dia sedangkan dengan Hanis tu pun aku bersaya awak.
“Ya, aku memang takut. Tapi aku bukan takut dengan dia. Aku takut kehilangan jawatan ni. Bukan senang nak dapat.”
Ceh, pandai aje aku menjawab.
“Aku yang pilih kau jadi penolong editor. Jadi tak payah nak takut sangatlah,” suaranya tegas.
“Okey,” aku hanya mampu bersetuju. Tiada alasan lagi yang mampu aku kemukakan. Tiba-tiba aje boleh kehilangan kata dengan mamat ni. Selalunya mulut akulah yang paling cepat nak menjawab. Mungkin sebab dia kacak kot. Haip, nak menggatal pula cik hatiku ni.
Pintu bilik ketua editorku dibuka. Aku berjalan sambil menunduk. Takut hendak bertentang mata dengannya.
“Hanis, apa yang you dah buat ni?” dia menyoal terus. Tak ada kias-kias dah.
“Apa yang I dah buat?”
Amboi, boleh buat-buat lupa pula dia ni! Kalau aku bagi makan siku aci tak?
“You boleh tanya lagi apa yang you dah buat? Kenapa suruh budak ni kemas bilik stor yang berhabuk tu? Ubahlah perangai tu. Jangan asyik nak buli orang aje. I tahulah syarikat ni mummy you yang punya. Tapi itu tak bermakna you boleh buat sesuka hati,” Hakimi mengomel panjang. Aku tak sangka pula dia ni boleh tahan juga meleter. Dan perkara paling mengejutkan Hanis memang anak puan Rania. Unsangkarable!
“Dia sendiri yang setuju nak buat,” Hanis masih tenang.
“Betul ke?” Hakimi menyoal aku pula.
“Ya, memang saya setuju. Tapi tu pun sebab dah terlanjur kata. Tak tahu pula dia nak suruh saya kemas bilik tu. Kalau saya tahu, saya lebih rela cuci tandas selama seminggu. Dari dulu lagi saya memang alah dengan habuk. But I have no choice,” jawabku bersungguh-sungguh. Sengaja aku menggunakan perkataan saya. Nanti kena cop kurang ajar pula. Tak memasal aje kalau dia report kat puan Rania.
“Tadi kau kata dia buat macam tu sebab kau datang lewat. Is that true?” soalnya lagi.
“Ya. Tapi saya lewat tiga minit aje,” jujur aku menjawab.
“Hanis, kalau I tahu you buat macam ni lagi I takkan teragak-agak nak bagitahu mummy you. Akira, jom keluar.”
Aku menganggukkan kepala dan mengikut langkahnya. Sempat aku mencuri pandang wajah Hanis. Kelihatannya dia mengetap bibir dan merenung aku dengan pandangan tidak puas hati. Gerun juga melihatnya. Sebaik sahaja pintu ditutup kedengaran bunyi kaca pecah. Aku was-was hendak membuka pintu.
“Tak payah. Biarkan aje,” halang Hakimi.
“Tapi…”
“Dia memang macam tulah,” wajahnya tampak tenang.
“Err, okey!”
“Apa hal tetiba guna ‘saya’ depan Hanis tadi?”
Hisy, aku belum sempat tarik nafas lega dah tanya aku soalan.
“Jawatan kau lagi tinggi daripada dia. Aku guna saya awak bila cakap dengan dia. Takkan dengan kau nak berkau aku pula,” aku memberi alasan yang agak munasabah kepada Hakimi.
“Kau ni penakut kan?” dia tersengih.
“Mana ada,” aku menafikan. Suka dia aje nak panggil aku penakut.
“Tak payah takut. Kau kawan aku. Jadi tak ada masalah pun,” dia mengenyit mata. Kacaknya! Hisy, tak boleh. Jangan menggatal.
“Bila masa aku jadi kawan kau?” aku menyoalnya.
“Sejak kau lulus ujian aku,” jawabnya pula.
“Ujian? Kau merepek apa ni?” banyak tanya pula aku ni.
“Kebanyakan perempuan yang bercakap dengan aku mesti nak guna ‘saya awak’ walaupun aku dah guna ‘kau aku’. Yang lebih gedik ‘I dengan you’. Hanya kau dengan dia aje macam ni,”
Ceh, yang dengan Hanis tadi tu apa? Special case ke singa betina tu?
“Aku dengan dia? Dia tu siapa?” aku bertanya. Teringin juga hendak tahu.
“Dia dah meninggal,” perlahan suaranya ketika menjawab.
“Err, sorry. Aku tak ada niat nak…”
“Kenapa nak minta maaf? Kau bukan tahu pun kan. Apa-apa pun aku bersyukur sangat dapat jumpa kau sebab aku nampak diri dia wujud dalam diri kau walaupun muka kau orang tak sama,” laju sahaja Hakimi memotong cakapku.
“Hakimi!”
Kami berpaling mendengar suara itu. Kelihatan seorang lelaki sedang berlari sambil mengangkat tangan.
“Kau pergi mana? Puas aku cari,” tersekat-sekat suara lelaki itu. Pasti dia kepenatan. Kalau tak silap aku dia nilah yang komen nama aku hari tu. Nama dia pun aku dah tak ingat.
‘Nama Hakimi ingat pula ya.’
‘Mestilah. Hakimi tu kan kacak.’
‘Sejak bila kau pandai ingat nama orang?’
‘Bila kau nak?’
Hisy, benda kecil macam ni pun nak bergaduh. Mana hidup aku tak jadi huru-hara. Asyik tersepit di antara cik hati dan encik otak.
“Wei, berangan ke?”
Tersentak aku mendengar sergahannya. Lelaki tadi sudah tiada. Mungkin sudah berlalu pergi. Tiba-tiba aku rasa malu. Mesti dia nampak aku termenung tadi. Adehh!
“Apa?” dengan wajah yang blur aku bertanya.
“Tak ada apalah. Hmm, aku gerak dulu. Kalau kau belum ada kerja, buatlah apa-apa yang patut.”
Dia beredar setelah menghabiskan ayat. Dan aku masih tertanya-tanya apa yang dia katakan tadi. Tidak kiralah siapa pun dia tapi apa yang dapat aku pastikan hubungan mereka pasti rapat. Jangan-jangan sebab tu dia pilih aku jadi penolong editor. Eh, tak mungkinlah. Bukan dia seorang aje yang temuduga aku hari tu.
****
“Akira, kenapa dengan hidung kamu ni?” terjah mama sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah. Dalam banyak-banyak anggota badan aku ni hidung juga yang dia nampak dulu. Puaslah encik otak aku ni nak ‘google’ jawapan.
“Tak ada apalah mama. Tadi tiba-tiba aje bersin.”
Apa punya alasan aku bagi ni. Boleh pula tiba-tiba bersin kan.
“Akira main habuk ya?” mama serkap jarang.
“Hisy, mana ada. Habuk tu kan musuh ketat, sendat dan padat Akira.”
Sempat lagi aku ketawa kecil dengan kata-kata sendiri. Konon lawaklah.
“Apa-apa ajelah kamu ni. Cepat ikut mama ke dapur. Makan ubat selsema. Nanti melarat jadi demam susah pula. Kamu kalau dah demam bukan boleh buat apa-apa. Nak bangun pergi tandas pun tak larat,” aku menahan kantuk mendengar leteran mama.
“Tak payahlah nak makan ubat segala. Mama ni macam tak tahu pula Akira kalau bersin memang hidung merah-merah.”
Bersungguh aku mencari alasan padahal kepala dah rasa ‘weng-weng’. Kalau dapat tidur memang sedap. Ubat tu dahlah pahit. Tak tertelan aku.
“Jangan degil. Kamu nak makan ubat ke nak demam?” mama separuh mengugut.
Adess, mama ni nak guna kuasa veto pula. Sah-sah aku pilih nak makan ubat daripada demam. Bila demam mesti kena ambil cuti. Bila aku ambil cuti confirm kena sound dengan ‘singa betina’ tu. Memang cari nahaslah hari kedua kerja dah nak minta cuti.
“Yalah yalah! Akira makan ubat,” aku akur dengan permintaan mama.
Mama menghulurkan dua biji ubat selesema kepadaku. Lambat-lambat aku mengambilnya dari tangan mama. Aku mengerah encik otakku agar mencari jalan bagaimana hendak mengelak dari menelan ubat ni.
“Mama bakar apa tu?” aku menghalakan jari telunjuk ke arah oven.
“Pizza. Dah lama tak buat,” jawab mama. Serentak itu oven berdenting menandakan makanan di dalamnya sudah masak. Laju-laju mama pergi mendapatkannya. Aku sudah tersengih-sengih. Tak sangka rancanganku melengah-lengahkan makan ubat berhasil. Maaf mama, anakmu ini memang tak boleh bersahabat dengan ubat.
Ubat itu aku masukkan ke dalam poket baju. Aku mencapai cawan berisi air di atas meja. Bila mama berpaling, aku teguk air itu dengan penuh rakus. Dahi kukerutkan konon-kononnya ubat itu terlalu pahit. Kemudian aku berpura-pura hendak termuntah. Mama menggelengkan kepala.
“Dah besar panjang pun susah nak makan ubat. Apa nak jadilah kamu ni Akira. Ubat memanglah pahit. Kalau manis tu bukan ubat namanya. Menambah penyakit adalah,” bebel mama. Aku tahan sahaja telinga. Tak kisahlah kena bebel pun, janji ubat tadi tu aku tak payah makan.
“Kalau Akira makan ubat pun dapat penyakit juga. Penyakit muntah,” aku membalas bebelan mama.
“Tengok tu. Bukan main lagi dia. Pandai sangat menjawab,” rungut mama.
“Hehe, mama potonglah pizza tu. Akira lapar ni,” aku mengalih topik.
Mama mencubit lenganku. Geram benar nampaknya. Aku ketawa kecil. Mama ingin mencubit aku lagi. Pantas aku melarikan diri lalu naik ke bilik. Pizza tu nanti-nanti boleh makan.
Masuk sahaja dalam bilik, ubat yang berada dalam poket tadi aku keluarkan. Aku bungkus dengan secebis kertas sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah. Kemudian aku mendarat dengan selamat di atas katil. Baru kerja sehari aku dah penat.
Sudah bermacam-macam posisi aku cuba, tapi mata ni tetap tak mahu lelap. Patutnya bila kepala tak betul bolehlah aku tidur. Aku bangun semula dan duduk di birai katil. Diari dan pen warna yang berada di atas meja aku ambil. Gatal pula tangan ni hendak menulis.
Segala hal yang berlaku di pejabat tadi aku catatkan. Tangan yang lenguh aku urut-urut perlahan setelah selesai menulis. Nampak sangat aku dah lama tak menulis. Selalunya sepuluh muka surat tak jadi masalah pada aku. Ni baru lima muka surat dah mengalah.
Kalau aku ada suami mesti best. Boleh tolong urutkan aku, picitkan kepala, tolong buat kerja, tolong kemas rumah. Uiks, hebat juga angan-angan aku ni. Masalah besar betul bila tak dapat tidur masa kepala tengah biul.
Sedang berangan-angan, encik otak aku menyuarakan idea yang agak bernas. Dan kali ini cik hatiku bersetuju dengan idea encik otak. Wah, jarang-jarang mereka dapat bersatu. Aku sudah tersenyum simpul. Laju sahaja tangan aku menulis apa yang bermain dalam fikiranku. Sekejap sahaja sudah siap. Hilang rasa lenguh sebentar tadi.
SENARAI IMPIAN AKU YANG PALING MANIS :
(1) Berkelah di tempat yang ada jeram dan dikelilingi hutan. Sambil menikmati pemandangan yang indah boleh makan ubi tumbuk dan pisang rebus. Barulah ada feeling macam orang-orang zaman dulu. Impian yang ini memang ada elemen sejarah. Dan itu akan buat aku lebih bersyukur.
(2) Dapat banyak belon yang di dalamnya ada tertulis kata-kata indah. Saat paling mengujakan adalah bila belon dipecahkan. Nampak macam membazir tapi bukannya selalu buat. Kalau selalu buat dah tak adalah manisnya. Guna belon murah sudahlah.
(3) Cipta sebuah diari bersama. Apa-apa hal boleh tulis dalam tu. Maka tiada rahsia antara aku dan si ‘dia’.
(4) Baring atas rumput sambil tengok bintang sama-sama. Ini kalau buat berjuta kali pun tetap manis. Sebab ciptaan Allah itu sangat indah.
(5) Terima dedikasi lagu daripada si ‘dia’. Tak kisahlah mana-mana stesen radio pun janji ada.
Tersengih-sengih aku bila membaca kembali apa yang ditulis sebentar tadi. Macam tak percaya pula aku boleh fikir sejauh ni. Kalau orang lain baca ni buat malu aje. Lebih-lebih lagi mama.
Diari itu aku simpan dalam almari. Aku pun pelik macam mana diari tu boleh ada atas meja. Ni mesti kes aku lupa nak simpan balik. Kemudian komputer riba pula menjadi perhatianku. Tiba-tiba rasa nak buka Facebook.
Ada lebih tujuh puluh jumlah notifikasi yang aku terima. Selalunya tidak pula banyak macam ni walaupun aku jarang buka Facebook. Nak kata orang rindu kenalan aku tak adalah ramai pun.
Satu persatu notifikasi aku periksa. Tahulah aku kenapa boleh jadi begini. Kebanyakannya merupakan request game seperti Cityville, Farmville, Hidden Chronicles dan macam-macam lagi jenis permainan sampai nak menyebut pun tergeliat lidah. Ditambah pula dengan notifikasi daripada group yang entah apa-apa.
Kalau sikit tu aku tak pedulilah. Tapi bila dah banyak macam ni penat jugalah aku nak ‘bersihkan’. Nak masukkan aku dalam group novel amat dialu-alukan. Tapi bila tiba-tiba aje dah berada dalam group cari jodoh, jom kahwin, perbincangan antara janda dan macam-macam lagi siapa tak naik angin.
Aku ni muda lagi. Rabun agaknya sampai tak nampak umur dan staus diri aku. Buat penat aje aku isi profile tu. Bukan ada yang baca pun. Mark Zuckerberg ni pun satu. Buatlah apa-apa yang patut supaya orang yang dimasukkan ke dalam group tu adalah dengan kerelaan sendiri. Benda tak penting rajin pula nak update. Dahlah setting selalu berubah-ubah. Heh, aku yang jarang buka Facebook ni pun dah meluat. Apatah lagi orang yang hari-hari online. Mesti dah berbakul sumpah seranah si Mark tu dapat.
Yang aku ni pula daripada tadi tak habis-habis membebel pasal Facebook kenapa? Baik aku pergi makan pizza yang mama bakar tadi tu. Ada juga manfaat yang aku dapat. Paling kurang pun dapat mengenyangkan perut yang dah berlubang ni.
No comments:
Post a Comment