Kau Popular Di Hatiku Bab 1

“Tibalah masa masa untukku saja, dominasi setiap penjuru, izinkan diriku cuba lengkapi rotasi waktuku…”

Terhenti nyanyianku yang sungguh merdu apabila telingaku dipiat oleh mama. Macam mana aku tahu? Dah mama aje yang suka buat macam ni. Papa tak mainlah piat-piat telinga ni. Tapi bila dah geram, merah juga telinga aku ni. Bukan sebab kena piat tapi sebab kena dengar tazkirah dia sehari suntuk. Habis ear wax aku cair dibuatnya.

“Ni apa menyanyi kat dapur ni? Nyanyi lagu rock pula tu. Mama tak nak bermenantukan lelaki yang lebih tua daripada mama walaupun kaya,” mama mengomel.

Aku hanya mampu mengeluh. Mama ni nama aje pakar motivasi tapi banyak sangat pantang larangnya mengalahkan nenek aku kat kampung tu. Eh, ada kaitan ke? Ingat aku nak sangat ke berlakikan orang tua? Huih, minta simpanglah. Boleh mati kebosanan aku kalau macam tu. Heh, aku memang suka merapu benda yang tak patut. So, jangan pelik dengan perangai aku ni.

“Ala mama ni, Akira menyanyi kat dapur aje. Bukannya dok melalak depan rumah orang. Yang mama percaya sangat pantang larang macam tu kenapa? Akira belum gila lagi nak jadikan orang tua kerepot sebagai suami tau,” jawabku geram.

Oh ya, lupa pula nak perkenalkan diri. Nama aku Dzatul Akira Binti Sharifudin. Tapi semua orang panggil aku Akira. Class kan nama panggilan aku. Macam nama watak anime Jepun. Walaupun Akira tu nampak macam nama lelaki, tapi hakikatnya aku ni seorang perempuan yang cool dan sempoi.

“Amboi, pandainya menjawab! Mama bukan percaya pun. Cuma nak bagi kamu sedar tak sopan budak perempuan buat macam tu. Kalau tak ada lelaki muda yang nak kat kamu nanti baru tahu. Tinggal lelaki tua yang gatal merenyam aje,” mama mula membebel. Kalau aku diam mesti dapat tazkirah percuma.

“Apa susah? Tak payahlah kahwin,” selamba aku membalas.

“Sanggup ke nak jadi andartu?” mama mencebik bibir.

Aku menelan liur. Kalau bercakap dengan mama memang susah nak menang. Tahulah pakar motivasi tapi takkan dengan aku pun tak boleh mengalah. Papa tu peguam tapi rileks aje. Tak ada pula nak berhujah-hujah dengan aku.

“Mama nak ke Akira jadi andartu?” spontan aku bertanya.

Sejurus itu aku segera melarikan diri. Kalau statik kat situ kemungkinan besar aku akan menjadi lauk makan tengah hari ni. Aku sangat yakin mulut mama tidak henti-henti membebel. Kasihan sungguh mama dapat anak macam aku ni, huhu!

Tapi secara tiba-tiba aku terfikir. Bagaimana kalau kata-kataku itu tadi dimakbulkan oleh Allah? Bukankah kata-kata itu satu doa? Ah sudah! Padanlah dengan muka aku. Gatal sangat mulut ni kan pergi cakap benda-benda macam tu. Hish, tak naklah fikir lagi. Menyeramkan sahaja hidup sebagai andartu aka anak dara tua.

“Akira, nak ke mana tergesa-gesa ni?” papa menegur secara tiba-tiba.

“Err, nak lari daripada mama.”

Sungguh jujur kata-kata aku. Bagaikan budak kecil sahaja cara aku menjawab. Dahlah garu-garu kepala macam ada kutu. Mesti ayah fikir aku ada buat salah. Eh, memang aku ada buat salah pun. Sebab tulah aku lari.

“Kenapa pula nak lari daripada mama? Peliklah Akira ni,” balas papa pula.

Aku yang pelik atau mama yang pelik. Dahlah tiba-tiba sahaja bercakap tentang menantu tua kerepot. Sehinggakan otak aku ni hanya memikirkan perkataan yang satu itu. Cuma satu perkataan tapi amat menggerunkan. ‘Andartu’.

“Tak ada apa-apalah papa,” aku cuba berdalih.

“Apa-apa ajelah kamu ni,” papa menggeleng-gelengkan kepala.

“Akira!!!”

Terperanjat aku mendengar jeritan mama. Dengan segera aku melangkah ke tingkat atas dan masuk ke dalam bilik. Tak sanggup kena bebel dengan mama lagi. Cukuplah lima minit tadi.

“Haih, apa nak buat dalam bilik ni? Bosannya,” rungutku sendirian.

Aku mencapai telefon bimbit di atas meja. Eh, ada lima missed call? Uiks, semuanya daripada Amira. Nak apa pula minah ni? Macam penting aje sampai call lima kali. Ada masalah ke? Yang aku main teka-teki sorang-sorang ni dah kenapa? Baik aku call dia sekarang.

“Assalamualaikum,” aku segera memberi salam setelah pasti Amira mengangkat telefon.

“Waalaikumussalam Akira. Kau pergi mana aku call tak angkat-angkat? Penat tau jari aku ni tekan-tekan nombor kau,” pantas sahaja Amira berkata setelah menjawab salam yang kuberi.

“Aku ada kat rumahlah. Telefon bimbit aku kat dalam bilik. Takkan nak bawa ke hulu hilir pula kan? Hmm, ada perkara penting ke yang kau beria-ia sangat call aku ni?” aku terus ke topik utama.

“Kau nak kerja kan?” soal Amira.

“Eh, mestilah nak! Buat penat ajelah aku belajar macam kucing beranak kalau tak nak kerja,” jawabku pula.

“Apa kau ni tetiba kucing beranak? Aku pergi PKNS tadi. Masa nak balik terpijak kertas pula. Nak buang tapi aku ternampak nama Syarikat Pena Kreatif. Rupanya dia orang tengah mencari penolong editor baru. Temuduganya isnin minggu depan. Maknanya kau ada esok aje untuk buat persiapan,” Amira menjelaskan.

“Sebab kucing kan produktif melahirkan anak, aku pula produktif menuntut ilmu. Haha! Eh, kau cakap apa tadi? Ada kerja kosong? Kat Syarikat Pena Kreatif? Temuduga isnin nanti? Seriously?” aku mengasaknya dengan pelbagai soalan.

“Hei, aku penat-penat cakap. Kau boleh soal aku lagi? Hesy, betullah, takkan aku nak main-main pula. Tulah sebabnya aku call kau,” balas Amira.

“Thanks for the information! Kaulah sahabat aku dunia akhirat,” aku mengucapkan terima kasih kepadanya dengan nada terharu.

“Terima kasih aje? Belanjalah wei,” kata Amira pula.

“Belanja? Tunggu aku dapat kerja dululah. Pergi temuduga pun belum nak minta aku belanja,” aku mencebikkan bibir. Tapi bukan Amira nampak pun.

“Eleh, yalah! Aku letak telefon dulu ya. Nak tolong mak aku masak,” Amira meminta diri.

“Eh, kejap! Temuduga tu pukul berapa?” nasib aku teringat tentang hal itu. Amira ni bagi maklumat tak lengkap.

“Lupa pula nak cakap, temuduga tu pukul 8 pagi.” Beritahu Amira

“Okey bye, assalamualaikum!” aku memberi salam kepadanya.

“Waalaikumussalam. Anyway good luck for the interview. I know you can do it,” sempat lagi Amira memberikan kata-kata semangat.

“Alright. Thanks by the way,” aku menutup telefon lalu meletakkannya di atas meja.

Aku keluar dari bilik. Tidak sabar rasanya hendak memberitahu mama dan papa perihal temuduga itu. Mana aku nak sabarnya, dah lama aku mencari kerja yang sesuai dengan jiwa ragaku ini. Walaupun jawatan yang bakal kupohon ini tidak berkaitan dengan bidang yang aku pelajari di Universiti Malaya, aku berharap masih ada peluang untuk masuk dalam bidang penerbitan buku. Kalau tak aku kena jadi macam Amira jugalah, peguam syarie.

****

Nak pakai baju apa ya esok? Peningnya nak pilih. Aku menggaru dahi yang tidak gatal. Serabut melihat keadaan bilik yang sudah bersepah. Padahal aku baru aje kemas tiga hari lepas. Confirm mama bising kalau tengok bilik aku ni.

Kalau tanya mama nak pilih baju mana satu memang banyaklah pendapatnya nanti. Nak tanya Amira takut dia sibuk pula. Masakan hendak memilih baju pun nak kena tanya orang. Dulu masa kat universiti kalau nak pergi kuliah boleh aje pilih baju sendiri.

Aku memerhati bilikku yang seperti kapal karam buat beberapa ketika. Dan mataku tertancap pada sepasang baju kurung berwarna biru. Nampak sesuai kalau dipakai ke temuduga. Bila nervous bolehlah aku tengok baju ni. Biru kan warna yang menenangkan.

“Astaghfirullahal adzim, apa kamu buat ni Akira?” membulat mata mama melihat keadaan bilikku.

Aku hanya mampu tersengih melihat mama yang sudah bercekak pinggang di muka pintu. Habislah aku macam ni. Mesti kena bebel lagi.

“Err, mama. Akira tengah pilih baju untuk temuduga esok,” jawabku.

“Pilih baju sampai macam ni sekali? Kemas cepat. Selagi tak kemas jangan turun makan,” arah mama.

“Err, yalah! Akira nak kemaslah ni,” perlahan suaraku menjawab.

Aku mengeluh setelah mama menghilang di balik pintu. Boleh pula mama masuk bilik aku masa bilik tengah berselerak macam ni. Aduh, penatlah nak kemas semua ni. Kenapa mama tiba-tiba berubah jadi diktator? Apalah nasibku hari ini.

Sedang sibuk mengemas bilik, aku lihat ada sehelai kertas yang terjulur keluar dari bawah katil. Pantas sahaja tanganku mencapainya. Di atas kertas itu ada tercatit sesuatu yang tidak kuduga. Aku sangkakan tips temuduga yang pernah aku print dahulu sudah hilang. Rupa-rupanya dia bertapa di bawah katilku selama ini.

CONTOH-CONTOH SOALAN TEMUDUGA :-

1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.

2. Mengapakah anda memilih kerjaya yang anda sedang kejar sekarang?

3. Apakah perkara yang dapat memotivasikan anda?

4. Apakah kelayakan yang anda miliki yang boleh menolong dalam kerjaya pilihan anda?

5. Apakah sumbangan yang dapat anda berikan kepada pihak kami?

6. Bagaimanakah anda apabila bekerja dalam keadaan yang tertekan?

7. Apakah kesulitan yang pernah anda hadapi dan bagaimana anda dapat mengatasinya?

8. Apakah objektif kerjaya jangka pandang anda?

9. Bagaimanakah anda merancang untuk mencapai matlamat kerjaya anda?

10. Apakah kualiti yang ada pada seseorang yang berjaya?

Nota penting :- Tulis resume yang mempunyai nilai-nilai penting untuk memikat hati majikan.

Amboi contoh soalan dia, bukan main mencabar lagi. Tapi soalan nombor 4 tu kalau dia orang tanya esok boleh kelu lidah dibuatnya. Silap-silap kena reject terus. Maka aku harus tulis resume dengan sebaik mungkin untuk memikat hati mereka.

“Ehem-ehem.”

Kertas yang berada di tanganku terlepas dek terkejut mendengar deheman itu. Mama memang suka buat aku macam ni. Eh, aku tak habis susun baju-baju dalam almari lagi. Habislah aku kena bebel.

“Err, mama. Akira tengah kemaslah ni. Tadi ternampak contoh soalan temuduga. Tu yang Akira berhenti sekejap,” aku membela diri sambil mencapai baju-bajuku.

“Kalut sangat ni kenapa? Mama nak panggil kamu turun makan aje,” balas mama pula.

“Tadi mama kata kalau belum habis kemas tak boleh turun makan,” aku berkata pelik.

“Mama acah aje. Kalau tak cakap macam tu, tahun depan pun belum tentu kamu nak kemas kan.”

Tercekik air liur aku mendengar kata-kata mama. Sangkaku mama benar-benar sudah berubah menjadi pemerintah kuku besi seperti Hosni Mubarak, bekas presiden Mesir yang berjaya digulingkan tu. Manalah tahu kalau-kalau mama sudah penat melayan kerenahku ini.

“Sikit aje lagi ni. Nanti Akira turun ya,” kataku ala-ala anak mithali.

“Yalah. Jangan lama sangat.”

Aku mengemas dengan tangkas. Kertas yang tercatit contoh-contoh soalan itu kuletakkan di atas meja. Lima minit aje dan aku terus keluar dari bilik lalu menuju ke dapur. Masuk dalam bakul sudahlah baju-baju tu. Nanti bila-bila boleh kemas balik.

“Cepatnya. Dah siap kemas ke?” tanya mama sebaik sahaja aku melabuhkan punggung atas kerusi. Hairan kerana aku turun awal. Sangat awal mungkin.

“Dah,” jawabku pendek.

Sebenarnya aku sudah teruja melihat lauk ketam masak lemak cili api di atas meja. Baik sungguh mama hari ini. Jarang dia memasak lauk kegemaranku yang satu ni. Papa pula hanya mendiamkan diri. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

****

“Akira memang tak nak kerja dekat firma guaman papa?” tanya papa secara tiba-tiba.

Aku yang sedang menaip resume berhenti seketika. Sukar untuk aku buat keputusan ini tapi jika takdir sudah menentukan aku mesti redha. Mungkin hal inilah yang papa fikirkan semasa makan tengah hari tadi.

“Papa, jangan risau ya. Kalau Akira tak berjaya dapatkan jawatan penolong editor tu, Akira akan kerja dengan papa. Akira takkan cari firma guaman lain,” jawabku dengan tenang.

“Kalau itu kata Akira, papa terima aje. Tapi kenapa dulu Akira tak cakap yang Akira tak minat jadi peguam?” soal papa lagi.

“Sebab Akira tak berani. Akira takut sangat papa kecewa,” jawabku perlahan.

“Hmm, papa doakan kamu berjaya dapat jawatan tu. Dan kalau kamu tak dapat, kamu kena bekerja dengan ayah. Tapi kalau ada lagi temuduga jawatan dalam bidang yang Akira minat, papa benarkan Akira pergi. Papa nak tengok anak papa ni berjaya capai impiannya.”

Kata-kata papa buat aku rasa terharu. Mahu saja air mataku ini menitis tapi aku segera tahan. Besar sungguh harapan papa padaku. Selama ini aku sering kali mengecewakannya. Tetapi papa tidak pernah mengungkit tentang perkara itu.

“Terima kasih papa. Kali ini Akira tak akan hampakan papa lagi,” aku menabur janji yang aku sendiri tidak pasti mampu tunaikan atau tidak.

Papa menganggukkan kepalanya. Aku menghadap komputer riba kembali. Kali ini aku mesti taip resume dengan bersungguh-sungguh. Aku mesti yakinkan dia orang dengan kebolehan yang aku ada walaupun tiada kelayakan yang spesifik.


p/s: Sebenarnya e-novel ini berasal daripada cerpen Sekali Lagi. Kali ini saya tukar tajuk jadi Kau Popular Di hatiku. Bagi yang belum pernah baca bolehlah cari dalam blog saya ni atau pun di laman Penulisan2u. ^_^

2 comments:

hanna aleeya said...

heee.. sambung sambung. Best!

Dya Ezlia said...

insyaAllah akan cuba sambung. ^_^