Kau Popular Di Hatiku Bab 4

Bosannya! Kenapa time aku bosan orang lain tak online?

‘Hei Akira, dia orang kerjalah. Kau melepak kat rumah bolehlah online.’

‘Tapi masing-masing ada gajet canggih. Takkan tak boleh online juga.’

‘Kau ingat dia orang pergi kerja tu untuk online ke?’

‘Bukan tu maksud aku, tapi selalu aje aku tengok macam tu. Aku bukannya apa. Tengah bosan gila ni. Gila pun tak bosan macam aku.’

Macam nilah aku bila cik hati dan encik otak bertingkah. Mana satu nak dengar pun aku tak tahu. Dah macam kekasih aje gaduh-gaduh ni. Bila cik hati cakap mesti encik otak nak menyanggah. Bila encik otak membebel mesti cik hati membentak. Sampai aku pun rasa nak mereng bila fikir pasal organ-organ dalaman aku ni. Huh!

Baik aku bersiap sekarang. Kejap lagi nak keluar makan dengan Amira. Bisinglah minah tu nanti kalau aku lambat. Maklumlah cik peguam itu bukan main menepati masa lagi. Kelakar pula bila bayangkan Amira membebel. Haih, encik otak ni kan. Masa nilah nak bayang benda pelik-pelik.

Ketika aku menggosok tudung, lagu Just Want You To Know berkumandang. Dengan pantas aku mendapatkan telefon bimbit. Ada 1 mesej belum dibaca.

+ Assalamualaikum, aku rasa aku sampai lambat sikit kot. Ada emergency caselah pula. Mungkin aku akan sampai pukul 2.30 petang. Tapi kalau aku tak sampai juga, kau makanlah dulu. Apa-apa hal nanti aku call kau.

Ini lagi satu. Jadi peguam ni macam jadi doktor juga. Amira dah minta cuti tapi bila ada emergency kena juga masuk kerja. Aku menaip mesej balasan untuk Amira.

+ Waalaikumussalam. Tak apa. Aku tak kisah. Bukan kau sengaja pun kan. Nanti aku tunggu kau kat depan Jusco. Okey, selamat bekerja. Jangan lupa pula call aku. ^_^

Aku meneruskan kerja yang tergendala sebentar tadi. Kemudian, aku duduk berehat seketika. Memandangkan Amira datang sedikit lewat, tak perlulah aku tergesa-gesa. Komputer riba di atas meja aku capai dan laman sosial Facebook telah terpapar. Aku memang jarang online Facebook. Aku tetap setia dengan YM. Tapi entah kenapa tangan aku ni terasa gatal hendak membuka profile Amira. Di timelinenya ada sesuatu yang tidak pernah aku sangka. Betulkah apa yang aku lihat ni? Tapi kenapa nama dia sebiji macam nama papa aku? Akira, jangan fikir bukan-bukanlah. Bukan papa aje yang guna nama Sharifudin. Lagipun papa kan tak suka berlaman-laman sosial ni. E-mel pun buat sebab terpaksa. Kebetulan aje tu. Tapi entah kenapa cik hati bagai mencurigai apa yang diperkatakan oleh encik otak.

****

“Akira, sorry lambat.”

Aku cuma tersenyum melihat Amira yang sedikit kelam kabut.

“Baru 2.15 minit. Kau kata nak datang 2.30 kan. Aku pun baru sampai tau. Nasib baik aku gerak awal sikit. Kalau tak kau pula yang kena tunggu aku. Jomlah masuk. Kau nak makan kat mana?” aku mengajak Amira.

“Pizza Hut pun boleh,” balas Amira.

“Okey,” aku menarik tangannya.

Ketika menunggu makanan yang dipesan sampai, aku melihat Amira yang sedang membelek-belek telefon bimbitnya. Mungkin dia sedang menunggu mesej atau panggilan seseorang. Tidak lama kemudian, telefonnya bordering dan dia meminta kebenaranku untuk menjawab panggilan itu. Aku hanya membenarkan dia berlalu pergi. Entah kenapa cik hatiku kembali berasa curiga. Fikiranku serta-merta teringat apa yang kulihat di Facebook tadi. Terdetik juga di hati mengapa dia tidak memberitahu aku. Atau hubungan mereka masih baru. Aku sendiri tiada jawapannya. Mungkinkah dia malu hendak memberitahu aku bahawa dia sudah punya seseorang yang istimewa. Tapi nama lelaki tu…

“Akira, kau kenapa?”

Pecah lamunanku mendengar pertanyaan Amira. Tidak sempat aku hendak menghabiskan ayat dalam hati sudah ditegur. Bertebaran segala imaginasiku sebentar tadi.

“Haa? Tak ada apalah. Aku tengah fikir pasal kerja. Macam manalah agaknya nanti,” aku tidak mahu memberitahu perkara sebenar.

“Kau ada online Facebook?” tanya Amira tiba-tiba.

“Tak adalah. Aku dah lama tak online Facebook. Bosanlah kat situ. Baik aku online kat Yahoo! Messenger aje.”

Sah! Memang ada sesuatu yang Amira sembunyikan daripada aku. Tiba-tiba sahaja bertanyakan tentang Facebook. Bukankah dia tahu aku memang kurang layan Facebook. Cuma tadi tu aku bosan sangat. Agaknya bilalah aku dapat korek rahsia dia ni. Minah ni memang pandai sembunyikan rahsia dan pandai mengorek rahsia orang lain.

“Hei, kau kenapa? Dari tadi lain macam aje aku tengok. Kau tak sihat ke?”

Tanganku ditepuk perlahan. Belum sempat aku menjawab pelayan sudah tiba membawa pizza yang Amira pesan.

“Kau ada boyfriend ke?” tanpa sedar aku bertanya.

“Eh, mana ada. Aku tak ada boyfriendlah. Merepek aje soalan kau ni,” gelabah Amira menjawab.

“Kalau ada apa-apa jangan sorok daripada aku,” aku senyum paksa. Sedikit terkilan dia tidak mengaku.

“Akira, kalau kau ada dengar cerita apa-apa pasal aku bagitahu ya. Kau kena percayakan aku,” perlahan suara Amira tapi aku masih boleh mendengar.

“Aku memang percayakan kau. Tapi kau tu macam tak percayakan aku. Dengan aku pun nak berahsia,” bisikku sendiri.

“Kau cakap apa?” tanya Amira pula.

“Tak ada apa. Hmm, makanlah cepat. Lepas ni nak pergi Popular. Kalau ada masa lagi boleh window shopping kejap,” aku menjawab dengan pantas.

“Yalah!”

Fikiranku masih melayang tapi aku cuba kawal supaya Amira tidak pelik dengan diriku lagi. Cukuplah sebentar tadi. Tapi encik otakku ini tidak habis-habis membayangkan lelaki yang in a relationship dengan Amira di Facebook itu ialah papa. Aku ni banyak sangat tengok drama kot. Kan dah terpengaruh benda-benda macam ni. Nama aje yang sama. Berjuta kot orang guna nama tu.

Selesai makan, kami bergerak ke Popular. Masuk sahaja ke dalam hidungku sudah dapat menangkap aroma buku-buku yang sangat menyenangkan. Hilang segala macam kesusahan yang melanda hatiku sebentar tadi. Sudah lama rasanya aku tidak menjejakkan kaki ke sini.

“Akira, aku nak pergi tengok buku-buku motivasi kejap ya.”

Aku cuma menganggukkan kepala. Leka melihat buku yang terbentang di hadapan mata.

Hai, banyaknya novel baru. Kalaulah aku ni jutawan, dah lama aku borong semua novel ni. Banyak sungguh yang berkenan di hati ni. Tapi mataku menangkap buku yang berjudul Historical Fact and Fiction hasil tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sudah berumur 81 tahun. Kalau tidak silap aku ini merupakan karyanya yang kelima belas. Sudah lama aku mencari buku ini sebenarnya.

Aku memang mengagumi pakcik yang berasal dari Indonesia tetapi menetap di Malaysia ni. Beliau sangat komprehensif dan luas dari segi falsafah. Pelbagai masalah penting yang berkaitan dengan sejarah dapat diselesaikannya. Malah beliau turut mengutarakan tafsiran-tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu.

Beberapa novel lain turut aku capai. Aku ingin pergi ke kaunter untuk membayar buku-buku ni tapi sebelum itu aku mesti cari Amira. Tadi aku lihat dia berada di ruangan novel Inggeris. Sekarang entah mana pula perginya.

“Akira, kau cari siapa?”

Bahuku ditepuk dari belakang. Aku segera menoleh.

“Aku cari kaulah,” jawabku.

“Dah selesai pilih ke? Takkan empat buah buku aje?” tanya Amira lagi.

“Dah. Nak beli banyak-banyak kena tunggu gajilah,” aku menjawab lirih. Kononnya sedih sebab tak dapat borong novel banyak-banyak.

“Eleh, jangan nak buat ayat sedihlah. Pergi bayar cepat. Aku tunggu kau kat luar. Kata nak pergi window shopping lepas ni kan,” balas Amira pula.

“Okey, wait haa!”

Aku berlalu ke kaunter. Mujur tidak ramai yang bertandang ke sini pada hari ni. Maklumlah hari bekerja kan. Cuba kalau hari cuti, jenuhlah aku nak beratur tunggu giliran. Lepas ni entah bilalah pula aku boleh ke sini lagi. Dah mula kerja tak bolehlah nak berjimba sakan.

Selesai membayar, aku mengajak Amira naik ke tingkat atas. Maka bermulalah aktiviti yang jarang aku lakukan, window shopping. Bukan sebab tak suka, tapi aku malas. Nanti daripada niat nak tengok-tengok aje, tup-tup dompet aku dah kempis.

Kami masuk dari satu kedai ke satu kedai. Kali ini aku berhenti di hadapan sebuah kedai kasut pula. Aku melangkah masuk untuk melihat-lihat. Banyak juga kasut yang rekaannya menarik perhatianku. Harganya juga berpatutan.

“Cik, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tegur seorang jurujual.

“Tak apa. Saya nak tengok-tengok aje,” aku tersengih di hujung kata. Amira menyungging lenganku.

“Err, kawan saya ni nak jenis kasut yang menarik tapi tak over. Maksud saya yang simple-simple aje. Paling penting bukan kasut tumit tinggi. Ada tak?” Amira mencelah. Terbeliak aku mendengar bicaranya.

“Oh, tunggu sekejap ya. Saya nak ambil beberapa jenis kasut seperti tu,” jawab jurujual itu. Bibirnya mengukir senyuman. Setelah dia berlalu pergi, aku mencubit lengan Amira.

“Hisy kau ni. Aku mana ada duit. Buat penat aje dia keluarkan kasut-kasut tu nanti,” aku mula mengomel.

“Aku tak suruh guna duit kau pun. Hari ni aku nak belanja kau kasut. Itu aje hadiah yang mampu aku bagi untuk kau sempena kejayaan kau mendapat kerja,” balas Amira pula.

“Kau ni susah-susah ajelah. Takkan sampai nak belanja kasut kot,” aku mencebik bibir.

“Cik Akira, aku nak belanja terima ajelah. Orang kata rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari. Aku tengok kau macam tak bersemangat aje. Mana tahu dapat kasut baru kau terus jadi energetic kan,” selamba aje dia berkata.

“Amboi kau, dapat bercakap bukan main lagi ya. Yalah, aku terima hadiah kau tu. Terima kasih cik Amira. Macam ni bolehlah aku pilih yang mahal-mahal,” usikku.

“Suka hati engkaulah Akira. Jangan ribu-riban sudahlah. Kering-kontang poket aku nanti, haha!”

“Itu kau jangan risau. Taste aku memang tinggi tapi harganya rendah aje,” aku ketawa kecil.

“Cik, ini kasut-kasutnya. Pilihlah yang mana berkenan di hati. Kalau tak sesuai, dalam stor tu ada banyak lagi. Cik cakap aje nak yang macam mana.”

Jurujual itu meletakkan beberapa kotak kasut yang dipegangnya sedari tadi di atas lantai. Aku buka satu persatu. Semuanya cantik tapi tak berjaya memikat hati aku. Tapi kasut dalam kotak terakhir ni telah menarik minat aku untuk mencubanya. Aku sarung kasut itu di kaki dan ia tampak sesuai denganku.

“Cantiklah. Kau nak yang ni ke?” soal Amira.

“Yup! Nice kan warna dia. Lembut aje. Harga pun tak mahal,” aku menjawab sambil membelek-belek kasut berwarna peach itu.

“Betul cik nak kasut ni?” jurujual itu pula bertanya.

“Ya. Saya nak kasut ni,” aku mengangguk sambil tersenyum. Jurujual itu mengambil kasut tersebut dan meletakkannya di kaunter. Aku dan Amira membuntutinya. Setelah Amira selesai membayar, kami melangkah keluar. Jam di pergelangan tangan kulihat. Tidak sangka sudah lama kami berdua berada di kompleks membeli-belah ini.

“Terima kasih Amira untuk kasut ni. Sayang kau,” aku mengucapkan terima kasih. Dah nak sampai tempat letak kereta baru aku nak cakap. Haih.

“Kasihmu diterima. Masa nilah baru nak sayang ek,” bibirnya dicebik.

“Setiap masa aku sayang kau. Tapi hari ni lebih sikit, haha!” aku ketawa di hujung ayat.

“Apalah kau ni. Macam mana nak jadi editor? Dah lebih, sikit pula.”

Ciskek betul minah ni. Boleh pula dia nak mengenakan aku.

“Ceh, tarik baliklah ayat tadi. Tak nak sayang kau lagi,” aku pura-pura merajuk.

“Merajuklah kau situ. Tak ada siapa nak pujuk. Lainlah kalau kau nak aku suruh ‘abang la’ tu pujuk kau,” dia berkata sambil menunjukkan ke arah seorang pengawal keselamatan yang kelihatan seperti warganegara Bangladesh.

“Kurang lemaklah kau ni,” aku tepuk bahunya.

“Suka sangat tepuk bahu aku. Tahulah aku rendah daripada kau,” dia berpeluk tubuh.

“Siapa suruh kau usik aku. Mendapatlah, haha! Bukan kuat pun aku tepuk, mengada aje lebih kau ni.”

Amira ketawa melihat aku menjulingkan mata.

“Kau jangan buat macam tu lagi wei. Kelakar tahu tak? Macam orang sakit mata pun ada juga,” terkekek-kekek dia gelakkan aku. Kureng betul.

“Heh, suka kau kan. Dah, masuk kereta kau cepat. Kalau borak dengan kau aku tak tahulah bila boleh habis,” aku mengarahnya.

“Kereta kau mana?” soalnya pula.

“Tu, ada kat hujung sana. Kau baliklah dulu. Terima kasih sebab temankan aku merewang hari ni,” aku menunjuk arah keretaku.

“Okey, tak ada hal. Kau jaga diri elok-elok ya. Hati-hati nak masuk kereta tu. Kalau ‘abang la’ bawa lari kau, aku tak nak bertanggungjawab.”

Hisy Amira ni. Sempat lagi merepek yang bukan-bukan.

“Banyaklah kau. Okey, jaga diri. Bye.”

Amira meloloskan diri ke dalam kereta. Setelah dia beredar cepat-cepat aku menuju ke arah kereta yang diparkir lebih kurang sepuluh meter. Aku terbayang apa yang Amira cakap tadi. Naya aje kalau betul-betul jadi. Tak sanggup aku mencemar duli jadi warga Bangladesh. Malaysia ni dah cukup bagus untuk jadi tempat tinggal aku seumur hidup. Ceh, berjiwa patriotiklah pula aku hari ni.

No comments: