Kau Popular Di Hatiku Bab 3

Aku mengeluh bosan melihat nota-nota yang sudah lama aku tinggalkan. Ceh, lamalah sangat. Padahal baru tiga bulan aku tinggalkan zaman universiti. Di sisiku juga ada laporan penuh kes-kes yang pernah papa kendalikan. Entah bila pula aku nak baca semua ni. Kalau ikutkan hatiku yang tulus lagi suci ni, mahu sahaja aku tukarkan semua laporan kes ini menjadi manuskrip yang boleh kusunting. Tapi apakan daya. Aku bukannya ada kuasa magic macam Kaito Kid yang kacak lagi bergaya tu.

“Mimpi apa belek-belek nota ni? Siap ada laporan kes-kes klien papa lagi kat sebelah tu,” papa menegur tiba-tiba.

“Akira rasa macam tak ada harapan aje nak dapat kerja tu. So, Akira saja tengok-tengok. Nak study balik apa yang patut. Tapi rasa macam tak boleh nak masuk dalam otak ni,” jujur aku menjawab

“Aik, belum tahu keputusan dah putus asa? Sejak bila Dzatul Akira jadi macam ni? Dah lupa ke apa pesan papa?” bertubi-tubi soalan yang diajukan papa kepada aku.

Tidak sempat aku hendak mencelah. Aku ni dahlah jenis tak pandai nak jawab soalan banyak-banyak. Perlahan-lahan aku menarik nafas sebelum berkata. Jawab ajelah soalan last. Itu aje yang aku tahu jawapannya.

“Jangan menyerah sebelum kalah. Tapi Akira tak tahu kalau Akira masih punya harapan. It’s too complicated. Bukan Akira sorang aje yang pergi temuduga tu. Dahlah tak ada kelulusan spesifik,” keluhku.

“Selagi masih hidup, selagi itu masih ada harapan. It’s always too early to quit. Sometimes people don’t need a degree, master and etc to achieve their goal. Man jadda wa jadda. Cukup dengan semangat dan keinginan untuk mencapai impian.”

Terkedu aku mendengar kata-kata papa. Mengapa papa terlalu percayakan aku sedangkan aku sendiri tidak punya keyakinan? Aku bukanlah sehebat Ar-Razi. Ilmuwan pertama yang menulis tentang alergi dan imunologi. Aku juga tidak genius seperti Ibnu Haitham yang telah mempolopori penyelidikan dalam bidang cahaya. Jauh sekali hendak dibandingkan dengan Al-Khawarizmi atau lebih dikenali sebagai bapa algebra.

“Akira, rezeki ada di mana-mana. Kalau tak dapat jawatan tu tak perlulah kecil hati. Usahalah lagi atau mungkin Akira boleh tubuhkan syarikat penerbitan,” sambung papa lagi apabila melihat aku diam membisu.

“Tubuhkan syarikat penerbitan sendiri?” spontan aku bertanya.

“Yeah! Why not kan?” tanya papa pula.

“Satu hari nanti mungkin. Tapi sekarang tak kot. Akira perlukan pengalaman. Pengalaman kerja di bawah orang. Kalau papa yang jadi pengerusi tak apalah,” aku menjawab bersama sengihan di bibir.

“Siapa pula nak uruskan? Papa lambat lagi nak pencen tau,” balas papa. Kemudian dia ketawa perlahan.

“Thanks papa. You make me feel better. Akira takkan putus asa,” bersemangat aku menuturkan kata-kata itu.

“That’s my daughter,” papa mengusap kepalaku.

Senang rasanya bila dimanjakan oleh papa. Aku bersyukur mempunyai keluarga yang bahagia seperti ini. Terasa lengkap hidup aku bersama mama dan papa. Macam ni kalau jadi andartu pun tak apa. Erkk, apa aku merepek ni?

****

Yahoo! id : akira_kudo@ymail.com

Password : *******

Banyaknya e-mel dalam inbox aku ni. Padahal baru empat hari aku tak check. Dia orang ni tak ada kerja ke hantar e-mel pelik-pelik kat aku? Dapat duit sejuta ada, menang pertandingan teka silang kata pun ada. Bila masa pulalah aku join pertandingan-pertandingan macam ni. Kalau giveaway tu adalah.

Uiks, e-mel nak jual minyak pengasih pun ada? Ini dah melampau. Minyak pengasih pun boleh jual online. Tak tahu ke semua ni khurafat? Aigoo! Haa, akhirnya jumpa pun e-mel daripada Pena Kreatif. Err, takutlah pula nak buka e-mel ni. Hai Akira, tadi bukan main beria nak tengok. Ni dah berdebar pula. Ya Allah, tabahkanlah hatiku dalam menerima takdir-Mu.

Aku klik e-mel itu dengan segera. Kemudian cepat-cepat aku menutup mata dengan tapak tangan ketika e-mel itu loading sebentar. Ini belum tengok lagi aku dah rasa nak pengsan, kalau aku tengok mahu pengsan betul-betul. Sabar ya cik hati, puan awak ni memang cepat berdebar.

Perlahan-lahan tapak tangan dijauhkan dari mata tapi aku masih belum tahu keputusannya. Aku menarik nafas sedalam yang boleh untuk mengelakkan kekurangan oksigen. “Tadaaa!” aku menjerit sedikit untuk menghilangkan gemuruh di dada. Dan mataku tidak berkelip melihat apa yang terpapar di skrin komputer riba untuk memastikan tiada satu perkataan pun aku terlepas pandang.

“Alhamdulillah, yeayy!”

Sambil itu aku mencubit peha kananku. Macam tak percaya aje dia orang boleh pilih aku. Memang betul apa yang papa cakap. Selagi masih hidup, selagi itu masih ada harapan. Kalau dah meninggal nak ada harapan macam mana pula kan? Harapan untuk masuk syurga tu mungkinlah juga.

Nampaknya aku kena simpan dululah berita gembira ni. Makan malam nanti barulah aku boleh beritahu mama dan papa. Nak buat macam mana, inilah nasib anak tunggal yang sedang menanam anggur tetapi ibu bapanya masih bekerja untuk mencari sesuap nasi. Eh, apa hal pula ayat aku semacam aje ni? Skema sungguh. Macam nak tulis karangan budak darjah enam pun ada .

****

“Mamaku dan papaku yang tercinta, anakmu ini ingin memberitahu satu berita gembira. Sudikah mama dan papa mendengar perkhabaran anakmu yang tersayang ini?” ala-ala pelakon teater aku memulakan bicara. Sengaja hendak menarik perhatian mereka yang sedang menonton DVD The Avengers.

Serentak mereka berpaling ke arahku. Aku sudah tersenyum persis puteri kayangan. Eh, mana datang pula puteri kayangan? Kalau tak melalut bukan akulah tu namanya.

“Apa yang Akira nak cakap tu?” serentak mama dan papa bertanya.

Aku menggaru dahi yang terasa gatal. Mama dengan papa ni memang hebatlah. Boleh cakap serentak padahal bagi aku ayat tu agak panjang. Mungkin gelombang otak mama dan papa bertembung kot. Aku lihat mama sudah tersipu malu. Papa pula tersenyum-senyum. Hailaa, dah kenapa pula ni?

“Macam ni. Akira berjaya dapat kerja penolong editor tu,” satu persatu perkataan keluar dari bibirku.

“Wah, betul ke ni? Alhamdulillah sayang. Mama tumpang gembira untuk kamu,” pantas sahaja mama membalas kataku.

“Kan papa dah cakap. Akira aje yang melebih-lebih putus asa. Mesti dia orang nampak kelebihan yang anak papa ni ada,” papa pula mencelah. Aku hanya mampu tersenyum. Tidak tahu hendak cakap apa. Speechless.

“Bila Akira mula kerja?” tanya mama.

“Minggu hadapan,” aku menjawab.

“Minggu hadapan? Eh, kenapa lambat sangat? Akira pergi temuduga isnin minggu lepas kan. Hari ni baru dapat keputusan. Takkan mula kerja minggu hadapan?” pelik sahaja bunyinya.

“Dia orang sengaja buat temuduga awal. Penolong editor sekarang still ada lagi. Jumaat minggu ni last day. Dia orang tak nak nanti kelam kabut pula,” beria aku menjelaskan.

“Bagus juga syarikat penerbitan tu ya,” balas mama pula.

“Mestilah bagus. Sebab tulah Akira nak kerja kat situ. Novel-novel terbitan Pena Kreatif memang the bestlah. Kalau mama tengok novel-novel terbaru yang Akira beli, kebanyakannya hasil terbitan syarikat tulah,” puji aku. Ni kalau kakitangan dia orang dengar ni, tak mustahil aku boleh dapat novel free. Heh Akira, kau dapat jadi penolong editor tu dah cukup baik boleh baca novel sambil mengedit. Ada hati nak dapat novel percuma pula.

“Okeylah kan mama, boleh Akira luangkan masa dengan mama dan papa. Nanti bila Akira dah kerja susah pula. Kerja edit mengedit ni bukannya senang macam makan kacang goreng,” aku menyambung setelah mama diam tidak berkata.

“Iyalah tu, luangkan masa dengan mama dan papa konon. Cakap ajelah Akira nak buat tahi mata puas-puas sebelum mula bekerja. Nanti tak banyak pula hasil pengeluaran daripada kilang Akira tu kan,” mama menyindir aku. Papa sudah ketawa mendengar sindiran mama yang sangat menusuk ke jantung sehingga patah sebilion hatiku.

Apalah mama ni. Bukannya nak bagi aku motivasi. Menghancurkan semangat aku lagi adalah kena perli macam tu. Papa pula bukannya nak backup aku. Ketawakan aku lagi adalah. Balik-balik, menyengih aje yang mampu aku buat. Macam tak ada mimik muka lain aje aku nak buat lain.

“Papa, kalau petang esok Akira nak pergi Popular boleh? Dah lama rasanya tak baca novel. Yang paling baru Akira ada pun keluaran dua bulan lepas. Sambil-sambil tu bolehlah Akira tajamkan skill mencari type error,” aku meminta kebenaran. Yang sebenarnya aku cuba menukar topik. Macamlah aku tak boleh minta kebenaran pagi esok kan.

“Pergilah Akira. Tak ada siapa nak larang kamu pergi kedai buku. Lainlah kalau kamu merewang ke tempat-tempat tak elok. Tapi jangan sampai tertidur pula kat Popular tu. Kamu kalau dah jumpa buku bukannya nak ingat dunia,” balas papa panjang lebar.

Aiseyman, aku nak pergi kedai buku pun papa boleh selitkan pasal tidur juga? Ni semua mama punya pasal. Aku menyengih sambil menganggukkan kepala. Baik aku tengok cerita The Avengers ni daripada teruskan perbualan. Karang entah apa pula lagi aku kena bahan. Asyik kena usik aje aku ni. Sedih betul.

Sedang menonton babak menarik, telefon bimbitku bergetar pula. Entah siapalah ni. Malam-malam pun nak kacau aku. Eh, Amira rupanya. Bagus juga dia telefon. Bolehlah aku ucapkan terima kasih sebab beritahu aku perihal temuduga itu.

“Assalamualaikum cik Akira. Sibuk ke? Macam mana dengan temuduga kau? Okey tak?”

Amira ni kan. Aku tak sempat nak jawab salam dia dah terjah dengan macam-macam soalan. Dia ni memanglah. Hisy!

“Waalaikumussalam cik Amira. Aku tak sibuk pun. Tengah tengok DVD aje ni. Temuduga aku okey je. Kau ni macam tahu-tahu aje aku ada berita gembira kan? Ingat nak call kau pagi tadi tapi bila fikir kau kerja tak jadilah pula,” aku menjawab soalannya dengan panjang lebar. Biar padan muka dia dengar celoteh aku. Asyik aku aje yang dengar dia cakap banyak. Kali ni biar aku yang jadi machine gun.

Papa mengangkat kening sedikit tanda bertanya siapa yang menelefon aku. Tanpa mengeluarkan suara aku berkata Amira. Kemudian papa mengangguk faham dan kembali menonton cerita yang terbentang di hadapannya.

“Apa yang gembiranya? Kau dapat kerja tu ke?” tanya Amira.

“Ya, aku dapat kerja tu. Macam tak percaya kan?” jawab aku dengan nada yang teruja.

“Apa pula tak percayanya. Dia orang tahulah kelebihan kau tu,” balas Amira pula. Kenapalah ayat dia ni lebih kurang aje dengan ayat papa.

“Terima kasih Amira. Serius wei, kalau bukan sebab kau aku memang kena jadi peguam jugalah. Takkan nak duduk rumah aje tunggu dapat kerja yang diidamkan,” kataku pula.

“Kau tak payahlah nak berterima kasih sangat. Kau kan kawan baik aku, mestilah aku nak tolong.”

Ikhlas sekali kata-katanya. Aku bersyukur mendapat kawan yang sangat baik dan memahami seperti Amira. Di kala aku susah dia sentiasa berada di sisi. Masa kat universiti dulu aku bukannya ramai kawan. Pada mereka aku ini seperti tidak punya apa-apa hanya kerana aku bersikap low profile. Cuma Amira sahaja yang sudi bersahabat dengan aku.

“Oh ya. Esok kau sibuk tak?” aku teringat tentang rancanganku hendak pergi ke Popular petang esok. Tengah hari tu bolehlah aku belanja Amira makan.

“Tak kot. Aku ambil cuti sebab pagi esok nak hantar adik aku pergi seminar. Lepas tu aku duduk rumah ajelah,” Amira memberitahu jadualnya.

“Cantik! Aku nak belanja kau makan tengah hari esok. Tapi memandangkan kau tak kerja, alang-alang tu bolehlah kau temankan aku pergi Popular,” aku mengajaknya.

“Wah, aku on je. Lagipun aku memang dah lama tak keluar dengan kau kan. Pukul berapa?” balasnya pula.

“Pukul 2 boleh? Kita pergi Jusco,” aku memberitahu.

“Boleh aje,” ceria sahaja bunyinya.

“Cerianya kau. Jangan kikis duit papa aku sudahlah,” balasku pula.

“Apa kau ni? Tiba-tiba cakap aku kikis duit papa kau,” suaranya bergetar sedikit. Mungkin hairan dengan jawapanku.

“Yalah. Esok kan aku belanja kau, mestilah aku guna duit papa aku. Kalau guna duit aku kena tunggu bulan depanlah baru dapat.”

Aku ketawa perlahan setelah menuturkan kata-kata itu. Seronok dapat mengusiknya.

“Sengallah kau ni, hisy! Aku ingat apa bendalah tadi,” rungut Amira.

Kau nak cakap apa-apa lagi ke?” telefon bimbitku sudah mengeluarkan bunyi. Tak lama lagi mesti terpadam. Kena chargelah lepas ni.

“Tak ada lagi rasanya,” kata Amira.

“Okey kalau macam tu aku tutup dulu ya. Bateri dah nak habis. Esok jadi ya?” aku meminta kepastian Amira.

“Okey. Insya-Allah jadi. Assalamualaikum. Good night Akira.”

“Waalaikumussalam. Good night too Amira. See you tomorrow.”

Telefon bimbit kututup. Kemudian aku meminta diri dengan mama dan papa untuk naik ke bilik. The Avengers tu bila-bila aku boleh tengok. Mata aku ni pun sudah berat rasanya. Seperti ada benda yang bergayut-gayut di bulu mata. Kalau ada tongkat, dah lama aku letak kat mata ni.

No comments: