Kau Popular Di Hatiku Bab 7

Hari ini aku tiba di pejabat tepat jam 7.50 minit pagi. Aku memang dah simpan azam nak bangun awal sejak kejadian semalam. Takut jika pisang berbuah dua kali. Aku lihat meja di sebelahku masih kosong. Nampaknya Liyana belum datang lagi.

“Assalamualaikum Akira, awal datang hari ni?” sapa seseorang. Rupanya Liyana yang menegur aku. Panjang umur pendek kaki.

“Waalaikumussalam Liyana. Awal ke? Biasa ajelah. Semalam tu terlewat sebab nervous baru kerja untuk pertama kali.”

Amboi, kukuhnya alasan aku bagi kat dia. Kalau dia tahu aku lewat semalam sebab lambat bangun mesti kena gelak. Liyana mengangguk tanda memahami. Tak sangka pula dia percaya. Mungkin air muka aku ni yakin sangat kot.

“Aku nak kau siapkan semua ni dalam masa seminggu. Selasa minggu depan mesti dah ada atas meja aku.”

Suara tegas itu berkata diiringi dengan bunyi hentakan manuskrip yang tebal. Di hadapan aku sekarang berdiri seorang singa betina yang merenung tajam ke dalam anak mataku. Dia beredar melihatkan aku yang terdiam tanpa kata.

Manuskrip di atas meja aku ambil. Ada empat kesemuanya. Aduh, biar betul singa betina ni! Mana sempat nak siap semua dalam masa seminggu. Rasanya bukan aku seorang aje penolong editor di sini. Ada tiga orang lagi. Marah benarkah dia bila Hakimi membela aku semalam? Tapi itu bukannya salah aku. Siapa suruh dia buat syarat yang merepek.

‘Inilah masanya untuk buktikan kebolehan yang kau ada.’

‘Betul tu. Biar dia ternganga bila kau berjaya dapat siapkan semua ni.’

‘Masa tu baru dia tahu langit itu tinggi ke rendah.’

‘Ya, betul! Lagipun kau bukan kena sunting yang berat-berat sangat pun.’

Aku harus akui sejak kebelakangan ni cik hati dan encik otak sedang menuju jalan damai. Dulu sering bertingkah kata tapi sekarang sudah baik seperti adik beradik pula. Baguslah jika begitu. Lepas ni aman damailah hidup aku.

Bersemangat aku membelek-belek manuskrip di atas meja. Harap-harap tidak banyak yang perlu aku betulkan. Sebab kebiasaannya penulis akan menyunting manuskrip mereka terlebih dahulu sebelum dihantar. Tapi sebagai manusia pasti akan ada kesilapannya. Maka di situlah khidmat mereka yang bergelar penolong editor, editor dan ketua editor diperlukan.

“Banyaknya cik Hanis bagi kerja kat kau,” mata Liyana membulat.

“Nak buat macam mana. Benganglah tu pasal semalam,” aku senyum sedikit.

“Masa macam ni pun kau boleh senyum lagi. Bagilah satu manuskrip kat aku. Kesian kau kena buli. Cik Hanis memang macam tu. Dengan muka yang garang macam tu memang ramai akan akur dengan perintah dia. Selain kau belum ada lagi yang berani menentang dia,” Liyana bercerita.

“Tak apalah. Aku tak kisah pun dengan orang macam tu. Kau cakap tak ada siapa pun yang berani tentang dia. Tapi Hakimi tu rileks aje semalam. Cik Hanis pun macam mengalah aje. Tak ada pula dia nak tengking-tengking. Cuma lepas tu aku dengar macam bunyi kaca pecah,” terang aku dengan panjang lebar.

“Cik Hanis tu sukakan Hakimi,” Liyana memberitahu.

“Betul ke?” soalku tidak percaya.

“Yup!”

“Dan Hakimi memang macam tu dengan semua orang.”

Baru aku sedar. Dia menyebut nama Hakimi tanpa ada perkataan encik di hadapannya.

“Memang dia wajibkan semua staf kat sini panggil dia Hakimi aje ke?” soal aku ingin tahu.

“Eh, tak adalah! Dia tu sepupu aku. Memang taklah aku nak nak panggil dia encik. Geli pula rasanya nak panggil sepupu sendiri macam tu.”

Sekali lagi aku terkejut. Tidak sangka Liyana dan Hakimi itu sepupu. Agaknya berapa banyak kejutan lagi yang akan aku terima?

“Jadi, kau rapat dengan cik Hanis lah ya?” soal aku lagi.

“Rapat? Dia nak Hakimi aje. Aku ni tak ada kepentingan pun bagi dia. Dan aku tak sanggup nak berkawan dengan perempuan macam dia,” bisik Liyana.

“Ujian kata ganti nama diri tu memang wujud ke?” aku bertanya lagi.

“Ujian kata ganti nama diri? Apa tu?” soal Liyana pula. Dia kelihatan blur. Aku menceritakan serba sedikit apa yang Hakimi katakana semalam. Kisah kawannya yang sudah meninggal tu pun aku ceritakan. Manalah tahu kalau dapat korek rahsia.

“Kau percaya cakap dia? Hahaha! Kau buat aku rasa nak gelak guling-gulinglah.”

Erkkk, aku dah kena tipu ke? Ceh, punyalah aku penat fikir pasal tu. Kurang garam betullah mamat tu.

“Mana aku tahu. Dia nampak serius aje masa tu,” aku mencebik bibir. Geram pula diketawakan Liyana.

“Sangat merepek okey. Dah datang angin biul dia memang macam tu. Suka sangat kenakan orang,” selamba sahaja Liyana berkata. Selepas itu aku diam sahaja mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Aku hanya mampu berdoa agar Liyana berhenti bercakap.

“Sedapnya kau mengata aku belakang-belakang ya. Dah habis ke? Tak nak sambung lagi?” Hakimi menarik tudung Liyana dari belakang.

“Hei, janganlah tarik tudung aku! Aku cakap benda betul apa,” Liyana menjelirkan lidahnya. Kemudian dia membetulkan tudungnya yang senget.

Aku menjeling Hakimi yang menunjukkan muka tak bersalah. Geram betul bila kena tipu macam tu. Hisy!

“Memandangkan Liyana yang bermulut kepoh ni dah bocor rahsia, aku nak minta maaf walaupun bukan salah aku.”

Mahu sahaja aku cepuk mamat ni. Dah tipu tak nak mengaku. Huh!

“Kau cakap siapa kepoh?”

“Bukan salah kau?”

Aku dan Liyana menyoal Hakimi serentak. Dia ketawa kecil. Aku pandang Liyana. Liyana pandang aku. Nampaknya angin biul dia dah datang balik.

“Baru kenal dah ada chemistry. Atau kau orang ni memang dah lama kenal?” Hakimi masih tidak menjawab soalan kami. Malah dia bertanya soalan lain pula.

“Jawab soalan aku dulu,” sekali lagi aku dan Liyana berkata serentak.

“Okey-okey! Aku tak nak jawab soalan Liyana sebab aku dah jawab sebelum dia tanya lagi. Jwapan untuk soalan kau wahai cik Akira ialah aku tak suruh kau percaya pun. Aku cuma cakap aje. Yang kau pergi percaya kenapa?”

Dia mengakhiri kata-katanya dengan soalan. Tapi aku yakin dia tidak perlukan jawapan untuk soalan itu.

“Aku tak pernah jumpa lelaki macam kau. Ini pertama kali,” aku senyum sinis.

“Dan aku pun tak pernah jumpa perempuan macam kau. Tengok dari luaran kelihatan lemah lembut tapi perangai macam tomboy pun ada juga. Mungkin juga kau ni tomboy versi muslimah,” balas Hakimi pula. Nampaknya dia tidak mahu kalah.

“Tweet! Kau orang ni tak cool langsunglah. Benda kecik macam ni pun nak gaduh,” celah Liyana.

Serta-merta aku dan Hakimi mendiamkan diri. Baru aku sedar staf yang lain memandang ke arah kami bertiga. Adess, malunya! Aku senyum untuk menutup malu.

“Kau marah ke?” soal Hakimi lagi. Dia seolah-olah tidak peduli dengan mata yang memandang.

“Marah? Buat apa aku nak marah? Tak ada untung pun,” aku buat muka selamba.

“Baguslah macam tu. Okey, aku blah dulu. Kau orang berdua jangan nak curi tulang. Nak anyam ketupat sambil buat kerja tu jangan jadikan aku sebagai ‘beras’ ya. Nanti kalau aku tersedak bersiap sedialah kau orang,” sempat lagi dia mengenakan aku dan Liyana. Perangai tidak padan dengan rupa yang kacak. Mulut boleh tahan berapi juga mamat ni.

****

Masa untuk aku bertapa sudah tiba. Lokasinya sudah tentulah di dalam bilik aku a.k.a ‘Gua Pink Purple’. Pada mama dan papa telah aku khabarkan awal-awal supaya tidak menganggu aku dalam masa seminggu ini.

Segala jenis benda yang boleh menganggu konsentrasi aku letakkan di dalam laci yang berkunci. Sampaikan buku Syed Naquib al-Attas pun aku letak dalam tu. Bimbang aku tidak dapat mengawal diri daripada mengkhatamkan buku sejarah itu. Tak pasal-pasal aje meroyan nanti bila kerja tak siap.

Jika dulu aku ingin menggunakan khidamt Kaito Kid supaya menukarkan laporan kes-kes yang pernah papa kendalikan menjadi manuskrip, sekarang aku berharap Kaito Kid dapat menipiskan manuskrip di hadapan mataku ini. Semuanya tebal-tebal belaka. Rajin sungguh penulis-penulis ni.

Menyesal pula tidak memberikan salah satunya kepada Liyana tadi. Jual mahal konon. Sekarang baru padan muka aku. Harap-harap sempatlah siap. Kalau boleh hari isnin aku nak hantar dah. Tinggi betul cita-cita aku ni.

Dalam banyak-banyak manuskrip, aku pilih yang berjudul Cinta Si Gila Komputer dahulu hasil tulisan Yee Aqilah. Tajuknya berjaya memikat hati aku. Mudah-mudahan isinya juga menarik. Barulah seronok hendak bekerja.

Aku pasang earphone di telinga supaya dapat fokuskan diri. Dengan lafaz bismillah, aku mulakan kerja. Dan aku mula hanyut dalam imaginasi si penulis. Lagu-lagu yang menemani aku menambahkan lagi rasa teruja. Semuanya berjalan lancar sehinggalah pemain MP3 aku mendendangkan lagu Di Waktu Hidupku.

Bait-bait liriknya memang kena dengan bahagian yang aku tengah baca sekarang. Tajuk dah sempoi tapi bila tiba bahagian konflik memang mampu membuatkan pembaca mengalirkan air mata. Mujur aku ni jenis kental. Selalunya orang kata don’t judge a book by it’s cover. Tapi untuk novel ini lebih sesuai jika aku katakan don’t judge a book by it’s title. Tak percaya? Cuba tengok lirik ni.

Lemah hatiku melangkah meninggalkan dirimu

Jauh dari semua yang terindah

Ku pejamkan mataku untuk menerima semuanya

Walau hati tak pernah untuk mengerti

Berat lagi kucuba untuk melupakan dirimu hatimu bayangmu



Waktu dah pun menungguku untuk meninggalkanmu

Untuk kau lupakanku

Reda genggaman tanganku lepaskan dirimu

Untuk hidup yang baru



Jauh ku kan mencintaimu

Di setiap waktu tak ku lupakanmu

Jauh ku kan menyanjungmu

Ku kan meninggimu di waktu hidupku



Selalu merindumu woahh

Woahh biarpun kau jauh

Hati takkan pernah rendah

Untuk mencinta dirimu

Haa, sedih kan lirik dia? Tapi ayat dalam manuskrip ni lagi sedih. Tak sangka penulis baru sekarang memang pandai bermain kata. Patutlah semakin ramai novelis di Malaysia ni. Cuma aku agak hairan dengan sesetengah pengkritik novel Melayu ni. Tidak salah hendak mengkritik tapi berpada-padalah. Tak perlu pukul rata kepada semua penulis. Dan yang dikritik habis-habisan pastinya akan sedih sehingga semangat mereka hendak menulis jatuh merudum.

Memang benar kebanyakan jalan cerita novel sekarang lebih kurang aje. Pembaca juga perlu bijak memilih. Luahkanlah ketidakpuasan itu dengan cara yang betul. Jangan pula menghina sehingga menyamakan taraf karya mereka sama seperti sampah.

Percayalah membaca itu lebih mudah daripada menulis. Pembaca boleh skip babak yang membosankan tetapi tidak bagi seorang penulis. Walau macam mana susah pun mereka perlu menulisnya. Aku sendiri akui kesusahan untuk bergelar seorang penulis. Kerana itu jugalah aku lebih selesa bekerja di belakang tabir. Terjun ke dalam dunia penulisan ibarat menempah tiket untuk ‘dicaci’ golongan tertentu.

4 comments:

Izzatul Sabli said...

suka lah dengan cerita ni.. :D senang untuk dfahami.. hehehe mcm judger lak. nak lagi :D hihihi

Dya Ezlia said...

terima kasih kerana sudi baca karya saya. ^_^ insyaAllah saya akan sambung nanti. :)

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi..♥

Dya Ezlia said...

Baik, akan cuba sambung. Doakan idea melimpah ruah ya. hikss ^_^