Kau Popular Di Hatiku Bab 5

“Akira!! Bangun cepat. Kamu tak nak pergi kerja ke?” aku menguap. Dengan malas aku bangun dan melihat jam di sisi katil. Baru pukul 7 pagi. Mama ni saja kacau tidur aku. Eh? Aku macam dengar mama sebut perkataan kerja tadi. Takkanlah…

“Arghhh, mama kenapa tak kejutkan Akira awal-awal?” sekali lagi aku kelam kabut. Kenapa bila hari yang ada berkaitan dengan kerja aku mesti bangun lewat? Terasa hidup aku seakan-akan klise pula bila membabitkan perihal kerja. Harap-harap hari yang akan datang tidak akan jadi seperti ini lagi. Nanti tak sampai sebulan kerja dah kena pecat. Hisy, tak sanggup nak bergelar penganggur terhormat lagi.

Aku cuma bersiap ala kadar. Jam di dinding aku jeling sedikit. Huh? Cepatnya masa berlalu. Sempat ke aku nak sampai ke pejabat tepat pukul 8.00 pagi ni? Hari pertama dah spoil. Padan muka aku. Siapa suruh tidur lambat malam tadi.

“Ehem, Akira! Memandangkan hari ini hari pertama Akira bekerja, jom naik dengan papa sekali,” papa mempelawaku. Aku yang baru turun tangga memandang papa dengan riak teruja.

“Betul ke? Yes, ni sayang papa lebih ni,” aku tersengih memperlihat barisan gigiku yang putih lagi menawan. Ala-ala model iklan Colgate.

Mama memuncungkan mulutnya mendengar kata-kataku tadi. Hehe, sekarang aku tahu kenapa aku suka muncungkan bibir bila merajuk. Menurun daripada mamalah ni. “Mama sayang, janganlah merajuk. Hari ni mama patut happy tau sebab Akira dah mula bekerja. Takde la duduk tercongok je kat rumah ni,” aku memujuk mama.

Ternyata pujukanku berjaya. Mama kembali senyum malah lebih manis daripada tadi. “Sudah, ambil bekal ni. Kerja baik-baik ya Akira,” mama menghulurkan bekas berisi nasi lemak. Mama ni dalam sibuk bersiap nak pergi kerja pun sempat lagi menyediakan bekal untuk aku. Mama aku memang sweet. Kau orang ada?

****

“Cik Akira!” aku menoleh ke belakang mencari empunya suara itu. Kelihatan seorang gadis sedang berlari-lari anak. Gadis sama yang memanggilku sewaktu aku menghadiri temuduga dulu.

“Ya saya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Cehh, apasal gaya aku bercakap ni macam jurujual dekat kedai kasut dulu.

“Ketua editor nak berjumpa dengan cik sekarang,” beritahu gadis itu.

“Baiklah, terima kasih. Tapi boleh saya tahu arah mana ya bilik ketua editor tu?” tanyaku dengan sopan.

“Cik jalan terus aje. Lepas tu belok kiri. Kat situ ada beberapa bilik. Setiap pintu ada ditulis jawatan mereka yang menghuni bilik tu. Cik masuk bilik yang tertulis jawatan Ketua Editor,” terang gadis itu dengan penuh berhemah. Aku hanya menganggukkan kepala tanda memahami apa yang dia jelaskan.

“Terima kasih sekali lagi ya,” aku mengukir senyuman.

“Sama-sama.”

Sejurus gadis itu beredar, aku mencari bilik ketua editor berpandukan penerangan gadis itu tadi. Lupa pula aku hendak bertanya namanya. Kalau dia pakai tanda nama kan bagus. Setelah beberapa ketika, aku berhenti di hadapan sebuah bilik yang aku yakin ada ketua editor di dalamnya. Aku menarik nafas sebelum mengetuk pintu bilik itu.

“Masuk!”

Perlahan-lahan pintu bilik kubuka. Tiba-tiba sahaja rasa berdebar. Mendengar suaranya sahaja aku dapat rasakan ketua editor ini seorang yang tegas. Kini terpampang wajah ketua editor itu di hadapanku. Aku agak umurnya dalam lingkungan dua puluhan. Mungkin sebaya aku atau tua sedikit. Untungnya dia muda-muda dah jadi ketua editor. Tak macam aku ni. Orang kata accidental editor assistant. Tapi apa-apa pun aku tetap bersyukur sebab dapat juga masuk dalam bidang ni.

“Kenapa ya cik nak berjumpa dengan saya?”

Teragak-agak aku bertanya. Kekok pula bila berada dalam situasi yang sepi seperti ini.

“Awak ni Dzatul Akira?” soalnya pula. Pertanyaanku tadi tidak berjawab pun.

“Ya, saya Dzatul Akira.”

Aku mengangguk sedikit.

“Awak ni baru aje masuk kerja tapi dah pandai nak datang lewat,” sinis sekali ayat yang keluar dari mulutnya. Tidak pula aku tahu perkara sebegini akan dilaporkan kepada ketua editor. Cik hatiku sudah mula cuak.

“Maafkan saya. Saya terlewat bangun pagi tadi. Saya janji selepas ini saya tak akan datang lewat ke pejabat lagi,” aku berusaha meyakinkan ketua editorku ini.

“Mudahnya awak menabur janji. Sebagai hukuman saya nak awak cuci tandas selama seminggu. No excuse!”

Terlongo aku mendengar arahannya itu. Aku bukanlah lewat sampai berjam-jam. Cuma tiga minit aje. Takkan itu pun tak boleh nak maafkan. Kejamnya dia ni. Aku sudah rasa hendak menangis. Ini nak membuli aku ke apa?

“Tapi cik ketua editor, saya lewat tiga minit aje. Tak wajar rasanya untuk cik menghukum saya sebegini rupa. Tujuan saya datang ke sini untuk menimba ilmu supaya dapat menjadi seorang editor yang berjaya atau mungkin lebih baik daripada itu. Kalau setakat nak jadi tukang cuci tandas, buat apa saya taip resume yang panjang berjela hanya kerana nak memikat hati penemuduga.”

Bukan niatku ingin bersikap kurang ajar . Tetapi aku hanya hendak mempertahankan diri. Okey, aku memang bersalah dalam hal ni. Tapi tak ada hukuman lain ke? Aku lebih rela jadi tea lady dia atau mengadap mansukrip sampai berpinar biji mata.

Kalau aku buat kesalahan besar macam plagiat tulisan orang, memfitnah, tak pun bagi kerja kat staf lain tu bolehlah nak denda aku cuci tandas. Sebulan pun aku sanggup kalau perlu untuk tebus kesalahan aku balik. Tapi dalam hal ini bagi aku sangat tak patut.

“Cik ketua editor? Oh My! Tak nampak ke tanda nama saya ni? Kena suruh cuci tandas boleh buta ya?” dia menjeling tajam ke arahku. Setajam kata-katanya juga. Aku melihat tanda namanya yang tertulis Hanis Qurnia. Nama dah sedap tapi kenapa garang sangat? Macam orang gila kuasa pun ya juga.

“Saya peduli apa? Yang penting awak dah lewat. Ini ke perangai seorang penolong editor yang bercita-cita hendak menjadi editor? Sedangkan datang ke pejabat pun awak tak boleh nak tepati masa, macam mana awak nak tepati dateline awak? Kalau awak tak puas hati dengan arahan saya tadi, awak boleh letak jawatan. Di syarikat ni, tiada siapa pun yang berani membantah arahan saya,” dia menyambung kembali setelah melihat aku terdiam tanpa kata.

Angkuh sekali ayat yang keluar dari bibir nipisnya itu. Kebal benarkah perempuan yang bernama Hanis Qurnia ini? Dari cara dia berkata, seolah-olah syarikat ini kepunyaannya. Mungkinkah dia anak Puan Rania? Hisy, bukan kot. Puan Rania tu orangnya baik dan sopan sekali. Terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan gadis di hadapanku ini.

“Maaf. Tapi saya tetap tak nak cuci tandas.”

Suaraku yang tadi sedikit tegas kini sudah mengendur. Tapi masih tidak mengubah pendirianku. Tandas di rumah pun aku tak pernah cuci inikan pula nak cuci tandas syarikat. Mahu hancur aku kerjakan nanti.

“Okey, saya boleh batalkan hukuman ni. Tapi ada syaratnya,” dia bermain-main dengan pen di jarinya.

“Apa syaratnya?” aku bertanya dengan teruja. Nampaknya dia masih boleh berkompromi.

“Awak kena setuju dengan arahan saya kali ni,” lembut suaranya tapi masih ada ketegasan di situ.

“Baik. Saya setuju,” begitu mudah aku menerima syaratnya. Dia mengangguk perlahan dan mengukir senyuman. Aku tidak pasti sama ada senyumannya itu ikhlas atau ada muslihat di sebaliknya.

****

“Achum!”

Aku terbersin buat kesekian kalinya. Entah berapa banyak plastik tisu yang aku dah habiskan hanya kerana hendak membuang hingus-hingus yang bermaharajalela dalam hidungku ini. Sejak dulu lagi aku sudah mengisytiharkan perang dengan objek halus bergelar habuk. Tidak sangka hari ini aku perlu bergelumang dengannya pula.

Sungguh menyeksakan. Tapi aku sudah terlanjur setuju. Inilah yang orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalau aku demam esok siap kau cik Hanis. Waaa, mama! Anakmu ini kena buli.

Banyak khazanah yang tersimpan dalam bilik ni. Aku tidak tahu sudah berapa lama bilik ini ditinggalkan. Semua barang yang ada dalam ni diselaputi habuk. Kalau nipis tak apa juga tapi ini tebalnya berinci-inci mengalahkan habuk yang melekat pada koleksi-koleksi yang ada di dalam muzium House on the Rock.

Serius rasa mahu pengsan mengemas bilik ni. Pinggang pun macam nak patah aje. Dan barang-barang yang bertimbun ini kulihat bukan semakin sikit. Malah semakin bertambah pula. Tidak kisahlah jika ia sekadar ilusi aku sahaja. Yang penting bulu hidung aku ni dah tak dapat nak tapis segala kekotoran dalam bilik ni.

“Awak buat apa dalam bilik ni?”

Ada satu suara yang menegurku. Malas pula hendak menoleh. Aku tengah geram ni. Boleh pula dia tanya aku buat apa.

“Tengah main masak-masak,” dengan nada yang sarkastik aku menjawab.

“Oh, main masak-masak! Siapa yang makan masakan awak nanti mesti sakit perut. Maklumlah, bercampur dengan habuk kan.”

Bibir kuketap geram. Orang tengah sakit hati lagi mahu cari pasal. Sahaja cari masalah. Perlahan-lahan aku toleh ke belakang. Membulat mata aku melihat lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dia ni yang temuduga aku dulu kan? Apa ya nama dia? Haa, Ashraf Hakimi.

“Kau ni penolong editor yang baru tu kan?”

Jatuh rahang aku dengar soalan dia. Tadi masa tak nampak muka aku dia bersaya awak. Sekarang bila dah tahu siapa aku terus berkau aku pula. Hisy, aku ni nampak ganas ke? Takkan sebab aku pakai seluar jean ni kot. Tahulah masa temuduga tu aku pakai baju kurung. Adess!

Err, ya. Sayalah penolong editor tu. Tak. Bukan. Akulah penolong editor tu,” ujarku tidak mahu kalah. Wajahnya berkerut melihat reaksiku yang agak pelik.

“Dah tu yang kau bertapa dalam bilik ni buat apa? Sampai merah-merah hidung tu,” keningnya dijongketkan sedikit.

Terkelip-kelip mata aku mendengar soalannya. Dia memang tak nampak ke aku mengemas bilik ni tadi? Kalau nak bertapa, baik aku masuk ‘Gua Pink Purple’ aku. Bertapa dalam bilik macam ni nak mengundang penyakit namanya tu.

“Aku kemas bilik nilah,” aku menjuihkan bibir ke arah barang-barang itu.

“Ya Allah, apa ke halnya kau pergi kemas bilik ni? Tahu tak bilik ni dah lama tak ada orang masuk? Dah tak ada kerja lain ke kau nak buat?” dia mengasakku bertubi-tubi.

“Kau ingat aku nak sangat ke kemas bilik ni? Aku kena paksa tahu tak. Eh, silap. Aku kena hukum sebab datang lewat tiga minit,” laju sahaja aku menjawab.

“Siapa suruh kau kemas?” kali ini suaranya lebih tenang.

“Cik Hanis Qurnia,” sebaris nama itu kusebut dengan perlahan.

“Jom ikut aku cepat,” dia menarik hujung lengan bajuku.

“Erkk, kau nak bawa aku ke mana? Bilik ni tak habis kemas lagilah,” aku masih berdiri kaku. Tidak mahu berganjak. Kalau ‘singa betina’ tu datang sini tengok aku tak ada macam mana?

“Kau ikut ajelah. Jangan nak banyak bunyi. Anyway nama aku Hakimi.”

Heh, sempat lagi tu nak kenalkan diri. Aku dah lamalah tahu nama kau wahai encik Ashraf Hakimi. Siap hafal nama penuh lagi. Terpaksa rela aku mengekorinya. Atau lebih tepat lagi jalan beriringan dengannya. Aku terasa seperti pernah melalui jalan ini. Déjà vu mungkin.

2 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lgi.. suka2

Unknown said...

suka sangat-2 sebab dah jumpa blog tq ya.