Tersentak aku mendengar pertanyaan itu. Perlahan-perlahan aku dongakkan kepala untuk melihat wajah empunya suara.
“Amirul?”
“Kau suka aku kan?” sekali lagi dia mengulang soalannya.
“Mestilah aku suka. Kalau aku benci kau, mustahillah aku nak kawan dengan kau.”
Mamat ni dah tak center agaknya. Boleh pula tanya aku soalan macam tu.
“Bukan tu maksud aku. Kau cintakan aku?”
Terkebil-kebil mata aku mendengar soalan yang dia ajukan. Ada skru yang sudah longgar atau fius di kepalanya sudah terbakar? Tiba-tiba sahaja tanya soalan luar silibus dah kenapa. Memang sah ada yang tak kena dengan mamat gila komputer ni.
“Apa kau merepek ni? Jangan nak mengarut boleh tak? Kau nampak tak fail yang bertimbun atas meja aku ni? Nak aku suap dalam mulut kau kasi hadam semua fail ni biar jadi baja organik ke?” aku mengasaknya dengan pelbagai soalan.
“Hei, rilekslah. Aku gurau aje. Tengah bosan ni. Sekali-sekala kacau orang best juga kan,” jawabnya selamba.
“Syahmirul Afnani!” nada suaraku meninggi.
“Kenapa cik Darwisya Adrianna?” soalnya dengan muka tak bersalah.
“Sejak bila kau pandai bosan? Setahu aku, kau ni lelaki yang tak pernah kenal erti bosan asalkan ada komputer di tangan. Apa hal hari ni tiba-tiba berubah?” aku sudah berdiri sambil bercekak pinggang.
“Entah. Manalah aku tahu kenapa aku bosan hari ni.”
Dia ni memang nak kena betullah. Diri sendiri pun tak tahu. Aku tak boleh bayangkan kalau lelaki sengal depan aku ni ada awek.
“Dahlah. Jangan kacau aku buat kerja. Kalau kau nak tolong aku tak apalah juga. Ni menambahkan kusut aku lagi adalah,” aku menolak tubuhnya.
“Yalah Wisya,” balasnya sebelum berlalu pergi.
Amirul, kenapa kau tanya soalan macam tu? Aku ingatkan kau dah tahu rahsia hati aku tadi. Kau buat aku terperanjat tahu tak. Dah tak synchronize bunyi jantung aku bila kau tanya macam tu. Kalau kau buat lagi macam ni, alamatnya aku dah boleh tempah katil kat IJN tahu tak.
Hei Wisya, kau cakap macam ni pun bukan ada gunanya. Bukan dia dengar apa yang kau bebelkan dalam hati tu. Lainlah kalau dia ada kuasa boleh baca isi hati orang. Masa tu segala rahsia yang kau pendam dia boleh tahu.
Eh, aku tengah layan perasaan ni. Sempat pula hati dengan otak aku bergaduh. Baik aku sambung kerja yang berlambak ni. Nanti tak pasal-pasal encik Fitri bising. Telinga yang kena tadah dengar dia mengomel telinga aku juga.
****
“Amirul, kau busy ke?” aku menegur Amirul yang sedang leka mengadap kerjanya.
“Tak adalah busy sangat. Kenapa?” soalnya pula.
“Kau boleh tolong formatkan laptop aku ni tak? Lepas tu kalau rajin, bolehlah masukkan Windows 8 dalam laptop aku ni.”
Teringin juga hati aku ni nak mencuba windows baru ni. Lagi-lagi bila Amirul selalu sangat update status kat Facebook pasal benda alah ni. Naik muak pula aku.Tahulah dia pakar komputer. Atau lebih tepat gila komputer. Tapi entah kenapa hati aku ni berkenan sangat dengan dia.
“Boleh aje,” jawabnya dengan senyuman. Wah, manisnya senyuman dia. Makin handsomelah pula dia ni.
“Berapa ek aku kena bayar?” sengaja aku menyoal. Niat di hati ingin berbual lebih lama. Ceh, gediknya kau Wisya. Bila dia kacau kau pandai pula nak mengamuk.
“Keluar makan malam dengan aku,” selamba sahaja nada suaranya.
“Makan malam? Lunch tak boleh ke?” banyak tanyalah pula aku ni. Padahal nak cover rasa excited sebenarnya. Siapa tak happy bila sang pujaan hati ajak dinner kan.
“Lunch tak bestlah. Waktu rehat terhad. Lagipun aku dah biasa lunch dengan kau. Sekali sekala nak juga dinner dengan kau,” jawab Amirul.
“Bila?” Wisya, cover sikit. Hari tu masa dia tanya kau tak mengaku. Tak pasal-pasal aje dia tahu kau menipu.
“Malam ni boleh?” tanya Amirul.
“Tengoklah dulu. Nanti aku mesej kau ya,” aku melemparkan senyuman manis. Tapi taklah manis sangat.
“Okey,” pendek jawapannya. Sambil itu matanya menatap skrin komputer.
Cukup Wisya. Dia sibuk tu. Jangan kacau dia lagi. Eh, pandai pula hati aku ni berkata-kata ya.
Aku memusingkan badan hendak melangkah pergi. Terperanjat aku melihat objek di hadapanku ini. Mujur sahaja aku tidak terlanggar dia.
“Masuk bilik saya kejap,” tiba-tiba sahaja dia berkata.
“Saya ke?” aku menyoalnya pula.
“Awaklah. Takkan Amirul pula.”
Eh dia ni. Aku tanya untuk dapatkan kepastian. Nak sindir-sindir pula. Aku menapak ke arah biliknya dengan malas. Ni mesti nak bagi aku kerja lagi. Aku baru aje nak rehat-rehat.
Masuk sahaja ke dalam biliknya, aku disuruh duduk. Gaya macam ada hal penting. Tapi aku tengok muka Encik Fitri ni ketat aje. Aku ada buat salah ke? Entah-entah dia nak buang aku tak? Arghhh, aku tak nak kena pecat. Dahlah sekarang ni susah nak cari kerja. Berlambak mahasiswa yang masih menganggur.
“Apa hubungan awak dengan Amirul?”
Aku tak tahu nak gelak ke nak menangis sekarang ni. Aku punyalah cuak tadi. Alih-alih dia cuma tanya soalan ni aje.
“Kawanlah. Kenapa encik Fitri?” aku menyoalnya pula.
“Kawan aje?” dia bertanya lagi.
“Yalah. Takkan kekasih pula.”
Tapi kalau betul akulah orang yang paling bahagia di dunia ni.
“Malam ni awak free tak?” Encik Fitri ni asyik bertanya aje kerjanya.
“Free rasanya. Ada apa ya encik Fitri?” sengaja aku menjawab begitu. Takkan nak beritahu yang aku mahu keluar makan malam dengan Amirul. Nanti dia fikir aku menipu pula.
“Temankan saya makan malam ni. Ada sesuatu yang saya nak bincangkan dengan awak,” jawabnya dengan sedikit senyuman.
“Wajib ke?” aku masih berharap dia akan membatalkan rancangannya itu. Kenapa mesti malam ni? Takkan esok tak boleh bincang kot.
“Compulsory!” suaranya ditekankan sedikit.
Ceh, tak boleh jawab dalam bahasa melayu ke? Nak juga speaking orang putih. Waaaa, musnahlah harapan aku nak dinner dengan Amirul.
“Saya jemput awak pukul 8 nanti ya,” kali ini suara dia kedengaran romantis. Mungkin telinga aku ni bermasalah.
“Tak apalah encik. Saya boleh drive sendiri. Hmm, kat mana ya nak dinner tu?” pantas aku membalas katanya.
“Restoran Classic Stereo. Awak tahu tak?” bibirnya tersungging membentuk senyuman kecil.
“Tahu,” aku menganggukkan kepala.
“Okey. Awak boleh keluar sekarang.”
Encik Fitri, saya ada datelah malam ni. Kalaulah aku berani cakap macam tu dengan dia.
“Okey,” aku menjawab pendek.
Keluar sahaja dari bilik encik Fitri, aku segera melangkah ke meja Amirul. Aku lihat dia sedang khusyuk menggodek laptop aku. Mesti dia dah tak ada kerja ni. Mamat ni bila jumpa komputer memang tak ingat apa dah. Aku yang tengah berdiri depan dia ni pun tak nampak.
“Ya cik Wisya, awak nak apa?”
Terkelip-kelip mata aku mendengar pertanyaan dia. Ingatkan dia tak sedar aku ada kat sini.
“Aku ingat kau tak perasan. Leka aje menggodek laptop aku tu,” aku tersenyum sedikit.
“Aku cam bau minyak wangi kau tu,” rileks aje dia berkata.
Gembiranya hati ni bila dia cam minyak wangi yang aku pakai. Wisya, jangan nak lebih-lebih.
“Err, malam ni…” aku tidak jadi menghabiskan kata. Entah kenapa aku rasa bersalah sangat.
“Kau tak jadi dinner dengan aku?” Amirul serkap jarang.
Aku mengangguk perlahan. Tidak mampu untuk mengeluarkan suara waima sedikit pun.
“Encik Fitri ajak kau dinner malam ni?” soalnya lagi.
Aku sudah serba salah. Maafkan aku Amirul.
“Wajib pergi kan? Kalau macam tu pergi ajelah. Aku tak kisah pun.”
Amirul, sebab tulah aku jatuh hati dengan kau. Kau sangat memahami aku. Walaupun aku tak beritahu, kau boleh agak perkara sebenar. Tapi part kau tak kisah tu aku sentap sikit. Takkan sikit pun kau tak kisah, huhu!
“Sorry,” hanya perkataan itu yang mampu aku luahkan.
“Kenapa nak minta maaf? Kau tak salah pun,” balas Amirul.
“Okey, aku nak pergi sambung kerja. Anyway janganlah kelam kabut nak siapkan laptop aku tu. Aku boleh tunggu,” bibirku mengukir senyuman.
“Tak ada hal. Aku dah siap kerja, tu yang buat kau punya laptop ni.”
Aku menganggukkan kepala sebelum melangkah pergi. Wisya, kenapa kau ni sengal sangat? Sepatutnya kau cakaplah maybe next time kita boleh keluar makan malam. Lantaklah, dah tak ada rezeki aku nak dinner dengan dia. Entah bilalah saat tu akan tiba.
****
Puas berpusing-pusing di kawasan ini, barulah aku nampak kelibat restoran Classic Stereo. Tadi encik Fitri tanya tahu ke tak, yakin aje aku jawab tahu. Sekarang rasakan. Dahlah susah nak dapat parking. Nasib aku keluar awal. Kalau tak entah bila boleh sampai agaknya. Ni pun dah lewat 5 minit.
Restoran ni nampak mahal aje. Ada klien sekali ke? Waaaa, aku dah lambatlah ni. Lain kali bagitahulah ada klien. Dengan pantas aku menapak masuk ke dalam restoran. Encik Fitri melambai-lambai ke arahku. Kelihatan hanya dia seorang sahaja di situ. Sempat aku menarik nafas lega.
“Maaf ya encik Fitri, saya cari tempat parking tadi.”
Aku memberi alasan kepadanya.
“Tak apa. Saya nak jemput awak, awak tak nak. Nak juga drive sendiri,” dia tergelak kecil.
Aku hanya mampu tersenyum. Memang taklah aku nak naik dengan dia. Drive sendiri pun dah macam-macam soalan cepumas aku terima daripada Fira, inikan pula nak naik dengan dia. Harus ada gosip nanti. Tak sanggup aku kena gosip dengan encik Fitri. Tak memasal aje aku jadi mangsa tarik tudung dengan setiausaha gedik dia nanti.
“Tengoklah menu tu. Pilih yang mana awak nak. Jangan risau, malam ni saya belanja.”
Biar betul encik Fitri ni.
“Tak tunggu klien ke?” aku menyoalnya dengan kerutan di dahi.
“Klien? Saya tak cakap pun ada klien,” dia senyum lebar.
“Then, hal apa yang encik nak bincangkan?”
Aku sangka ada klien. Yalah, makan kat restoran mewah macam ni. Kalau setakat nak makan dengan aku kedai mamak pun boleh.
“Kita makan dulu. Nanti saya cakap,” jawabnya pula.
Sejurus itu dia memanggil seorang pelayan. Dia memesan hidangan yang sama dengan aku. Entah apa halnya pula. Selalu kalau makan dengan lelaki, perempuan yang minta hidangan sama. Ini terbalik pula. Nasib baik aku ni kira cool and sempoi. Buatnya stok ayu-ayu macam Ayu Raudah tu, entah bila aku dapat makan agaknya.
“Okey, rasanya encik dah boleh beritahu hal yang sebenarnya.”
Aku memulakan bicara setelah sesuku makanan dalam pinggan aku jamah. Aku dah penatlah asyik berdebar aje. Gaya dia macam ada hal penting aje. Buat aku cuak ada juga.
“Sabar dulu cik Darwisya Adrianna,” sempat lagi dia senyum.
Tiba-tiba kedengaran alunan muzik di belakang Pantas aku berpaling. Terkejut aku melihat sekumpulan lelaki sedang bermain pelbagai jenis alat muzik. Dah tu, muziknya boleh buat aku mengantuk. Buatlah rentak rancak sikit ke, okey juga.
Aku memandang encik Fitri yang tersenyum melihatku. Macam nak menggoda pun ya juga. Apa ajelah yang aku mengarut ni. Tak ada maknanya dia nak menggoda aku. Mesti mata aku dah slack ni. Heh, pagi tadi telinga problem. Malam ni mata pula. Lepas ni apa agaknya ya?
Aku menikmati hidanganku dengan rasa kurang selesa. Encik Fitri, tolonglah hentikan semua ni. Bagitahu ajelah perkara sebenar. Ada juga aku meroyan kat sini.
“Encik, lagi separuh aje saya nak habiskan makanan ni. Baik encik bagitahu sekarang atau pun saya balik,” kataku sedikit mengugut.
“Okey-okey. Janganlah macam tu. Takut saya,” dia mengarahkan sekumpulan pemuzik tadi beredar.
Erkk, aku cakap nak balik pun takut? Bukannya aku cakap nak bunuh dia. Aduhai encik Fitri ni. Kalau bukan bos aku memang dah kena ketuk kepala dia ni bagi betul balik.
“Awak tak ada boyfriend kan?”
Eh, menyindir aku ke? Aku baru 25 tahunlah. Muda belia lagi tahu.
“Tak ada. Encik nak bincang hal apa sebenarnya? Siap tanya status saya pula tu,” aku menunjukkan muka bosan.
“Saya nak bincangkan hal kita berdua,” tenang sahaja suaranya.
“Hal kita? Apa maksud encik?” apa ajelah dia ni. Nak pecat aku ke? Tapi buat apa dia ajak aku ke sini. Nak naikkan pangkat aku kot. Berdebar-debar rasanya. Aku menyedut minuman untuk melegakan perasaan yang sedang berkocak dalam hati ni.
“Sudi tak awak jadi kekasih saya?”
Tersedak aku mendengar pertanyaan encik Fitri. Dengan pantas dia menghulurkan tisu kepadaku. Aku menyambutnya dengan rasa yang sebal. Bos aku merepek apa ni? Hesy, ni nasib baik tersedak air. Kalau aku tengah makan tadi, tak pasal-pasal tercekik. Memang ada yang kena lempar gelas dengan aku.
“Encik jangan nak buat lawaklah,” jawabku setelah tekak sudah mula selesa.
“Saya serius cik Darwisya Adrianna. Saya nak awak jadi teman wanita saya. Saya cintakan awak,” ikhlas dia menuturkan kata-kata itu.
Terkesima aku mendengar luahan perasaannya. Alangkah indah kalau Amirul yang ada di hadapanku sekarang ini.
“Encik, maafkan saya. Saya nak balik. Terima kasih sebab sudi belanja saya makan malam di sini,” aku meminta diri.
Pantas aku mencapai tas tangan dan menapak keluar dari restoran. Ya, dia panggil aku. Tapi aku buat tak dengar aje. Ini memang gila. Nasib baik aku drive sendiri. Aduh, malunya aku nak masuk pejabat esok.
Memang tak salah dia luahkan perasaan tu. Cuma dia silap orang. Aku hanya cintakan seorang lelaki aje. Maaf encik Fitri, saya tak mampu nak terima encik.
Aku memandu kereta ke kedai mamak. Perutku harus diisi sebelum pulang ke rumah. Menyesal pula tak sabar tadi. Kalau aku bersabar, confirm dah selamat semua makanan tu masuk dalam perut aku. Tak payahlah aku susah-susah nak pergi mamak.
****
“Haa? Mama biar betul? Siapa orang tu?” bertubi-tubi soalan aku ajukan kepada mama.
“Fitri Khaliq,” jawab mama.
“Mama, Rianna ada orang lain. Tolong jangan terima pinangan tu. Please…”
“Bawa jumpa dengan mama dan papa dulu. Kalau tak mama terima aje pinangan si Fitri tu,” mama sedikit mengugut.
“Insya-Allah ma. Okey, Rianna ada banyak kerja ni. Bye mama, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” mama menjawab salamku sebelum menutup telefon.
Ini memang dah lebih. Malam tadi aku dah reject. Hari ni pandai pula dia suruh mak dengan ayahnya pergi rumah family aku hantar rombongan meminang. Sekarang pukul 3 petang. Rasanya meeting dia dah habis. Aku melangkah laju ke biliknya. Lagakku sudah seperti seorang anggota polis yang ingin menyerbu bilik memproses dadah.
“Encik buat apa ni?” aku terus menyerangnya dengan soalan setelah masuk ke dalam biliknya.
“Saya buat apa?” dahinya berkerut. Seolah-olah tidak tahu apa-apa.
“Kenapa encik hantar rombongan meminang ke rumah saya?” soalku kepadanya.
“Mana ada saya hantar rombongan. Mummy dengan daddy saya aje yang pergi,” jawabnya tenang.
“Tak kisahlah. Yang penting ada juga kan? Saya dah cakap yang saya…”
“Encik Fitri,” Amirul terjeda. Mungkin dia terkejut melihat aku berada dalam bilik encik Fitri. Leka sangat mengadap komputer padahal aku lalu depan dia tadi.
“Maafkan saya encik Fitri, saya tak tahu pula encik ada…”
“Tak apa. Awak masuklah, tak ada hal penting pun.”
Tak ada hal penting dia cakap? Ini soal hidup dan mati aku tahu tak. Aku nak bercakap si Amirul potong. Bila Amirul cakap dia pula mencelah. Ada yang kena seligi sampai jadi lidi karang.
“Saya nak minta encik Fitri tandatangan dokumen ni,” Amirul menghulurkan dokumen itu kepada encik Fitri.
Kalau aku cakap aku dah bertunang dengan Amirul memang tak masuk akal. Aku dah cakap hubungan aku dengan Amirul kawan aje. Lagipun macam pelik aje kalau aku dah bertunang dengan Amirul. Mesti mummy dengan daddy dia dah call cakap aku ni single and available. Waaa, apa aku nak buat ni? Cuma ada satu cara aje. Tapi macam memalukan diri pun ada juga. Ah, ini hidup dan matiku.
“Hati saya ada pada orang lain,” aku bersuara tiba-tiba.
Serentak encik Fitri dan Amirul memandang ke arahku.
“Apa awak cakap ni?” tanya encik Fitri.
“Saya cintakan Syahmirul Afnani,” yakin sekali aku berkata. Padahal dalam hati rasa nak meletup bila Amirul pandang aku macam nak telan.
“Darwisya Adrianna.”
Bila orang lain panggil nama penuh aku, itu perkara biasa. Tapi bila mama yang selalu panggil aku Rianna dan Amirul yang selalu panggil aku Wisya menyebut nama penuh aku, itu petanda tak baik.
“Encik Fitri, saya nak pinjam cik Darwisya Adrianna kejap. Maafkan saya,” selesai berkata dia menarik lengan bajuku keluar dari bilik encik Fitri.
Dia bawa aku ke mejanya dan mengambil laptop lalu membawa aku turun. Kalau dah gila komputer tu, mana-mana pergi mesti nak bawa. Dah macam kekasih dia aje lagaknya. Sedih betul.
“Kau nak bawa aku pergi mana ni?” aku bertanya perlahan.
Amirul tidak menjawab. Dia melepaskan lengan bajuku.
“Jangan banyak tanya. Ikut je aku,” jawabnya.
Aku menelan liur. Habislah aku macam ni. Pernah sekali aku kena marah dengan dia. Itu pun sebab aku berangan masa melintas jalan. Hampir saja aku kena langgar dengan kereta. Nasib baik ada Amirul. Lepas tu terpaksalah aku menahan bebelan yang keluar daripada mulut dia. Tapi kali ni aku tengok dia nampak lebih marah daripada kes dulu. Waaa, jangan dia bunuh aku sudahlah.
Dia menyuruh aku masuk ke dalam keretanya. Kemudian dia mengambil tempat di bahagian pemandu. Aku mendiamkan diri. Takut hendak bersuara. Sepanjang perjalanan, cuma dj radio sahaja yang berkata-kata. Setengah jam berlalu, Amirul memberhentikan kereta dan menyuruh aku turun. Kelihatan sebuah tasik dikelilingi pokok-pokok yang menghijau. Apa motif dia bawa aku ke sini?
“Duduk kat tepi tasik tu,” dia mengarah.
Perlahan-lahan aku melangkah ke arah tasik tersebut. Dia juga seperti itu tetapi langkahnya lebih laju.
“Aku nak kau fikir balik apa yang kau cakap dekat encik Fitri. Kau ingat menipu macam tu bagus ke? Aku tak tahu kenapa kau buat macam tu tapi tolong jangan buat lagi.”
Aku menekup muka dengan lutut. Kenapa dia fikir aku menipu? Aku cakap benda betullah tadi. Tahu tak betapa tebalnya muka aku masa meluahkan perasaan tadi. Kau ni kejamlah Amirul. Aku mengangkat wajah. Tiba-tiba rasa macam nak tumbuk orang.
Tapi aku tidak nampak bayang Amirul. Entah ke mana dia menghilang. Kereta ada pula. Ah, lantaklah. Dia tak ada pun bagus juga. Bolehlah aku meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati ni. Kalau asyik pendam aje, lama-lama aku boleh mendaftar di Tanjung Rambutan atau pun Tampoi.
“Aku tak tipulah senget. Aku memang cintakan kau. Kau aje yang tak perasan semua tu. Aku terpaksa cakap macam tu sebab encik Fitri dah hantar rombongan meminang. Kalau aku tak bawa calon menantu dalam masa seminggu ni, mama aku akan terima pinangan tu. Mana aku nak rembat calon lain. Aku tak nak kahwin dengan dia. Lagipun mana boleh cintakan orang lain selain daripada suami sendiri. Free-free aje aku dapat dosa nanti. Huh, kau jahatlah Syahmirul Afnani!” aku menjerit sekuat hati. Tidak semena-mena air mataku menitis.
Lega rasanya bila dapat luahkan perasaan. Lagipun, aku nak malu apa. Bukan ada orang lain pun kat sini. Amirul pun dah hilang entah ke mana.
“Nah, kau suka makan aiskrim kan? Bekukan balik air mata kau tu. Aku tak suka tengok kau menangis,” sapa Amirul.
Terperanjat aku melihat kehadirannya. Dia dengar ke apa aku cakap tadi? Serius aku rasa nak terjun aje dalam tasik ni. Tadi dia hilang sebab beli aiskrim ke? Malunya aku. Aiskrim yang dihulurnya aku sambut perlahan. Tidak sanggup hendak memandang mukanya. Nak ucap terima kasih pun tak mampu.
“Kenapa bila aku tanya dulu kau tak mengaku?” soalnya.
“Tanya apa?” soalan berbalas soalan.
“Pasal tulah. Yang kau cakap tadi,” balasnya pula.
“Yang mana satu?” aku sudah terkebil-kebil. Tidak faham apa yang dia cuba sampaikan.
“Kau ni loadinglah,” sindirnya.
“Aku tahulah kau ni gila komputer. Tapi tak payahlah guna istilah macam tu. Dah aku tak faham. Kau straight to the point tak boleh ke?” aku merengus geram.
“Buffering macam Youtube. Aku cintakan kau,” selamba sahaja dia berkata.
“Kau cintakan aku?”
Wah, biar betul. Aku tak bertepuk sebelah tanganlah maknanya ya.
“Haa, tulah soalannya. Hari tu aku tanya kau tak mengaku pun,” balas Amirul dengan senyuman di bibir.
Ciskek punya mamat. Kalau ada pisau, dah lama aku hiris-hiris muka dia yang handsome ni. Bunga dalam hati aku ni baru aje nak berkembang mekar, dia dah kuncupkan balik. Huwaaa, lelaki bernama Syahmirul Afnani ni terbukti sangat kejam orangnya.
“Aku malulah,” suaraku hampir sahaja tidak keluar.
“Tadi tu tak malu pula?” tanyanya lagi.
“Tadi tu lainlah. Aku terpaksa kau tahu tak? Yang kau pula marah-marah aku tadi kenapa?” aku menggentel-gentel hujung lengan baju.
“Mana ada aku marah.”
“Ceh, tak marah konon. Kalau tak marah kau takkan sebut nama penuh aku lah pak cik,” balasku pula.
“Aku ingat kau tipu. Minggu lepas aku tanya kau macam tu sebab aku nak luahkan perasaan. Tapi tiba-tiba aku rasa macam tak patut. Dahlah muka kau masa jawab soalan aku tu yakin aje. That’s why aku cancel nak bagitahu. Yang aku nak ajak kau makan malam tadi tu, sebab aku nak luahkanlah. Tapi sebab kau nak dinner dengan encik Fitri, terbantutlah hasrat aku. Lagipun aku ingat kau suka encik Fitri. Jadi bila kau cakap macam tu tadi, aku geram. Kau seolah-olah mainkan perasaan aku. Tahu tak aku rasa nak pengsan bila kau cakap macam tu,” jelasnya panjang lebar.
“Aku pernah suka dan mungkin akan suka seorang lelaki aje tau. Encik Fitri tu memang handsome, tapi kau lagi kacak.”
Beraninya aku buat statement macam tu. Kalau ada sarung bantal, harus aku tutup muka guna tu.
“Jom,” ajak Amirul.
“Nak pergi mana?” Amirul ni nak bawa aku pergi mana pula.
“Pergi rumah mama dengan papa kau,” dia menjawab pertanyaanku.
“Buat apa?” aku sudah blur.
“Akad nikah,” rileks aje dia berkata.
“Haa?” gila ke Amirul ni?
“Nak jumpa dengan bakal mertua akulah. Tadi kau kata kalau dalam masa seminggu tak bawa calon menantu, kau kena kahwin dengan encik Fitri. So, hari ni juga aku nak jumpa dia orang.”
Hatiku sudah kembang seperti bunga semangkuk. Mama bagi masa seminggu, tapi dalam masa sehari dia nak tunjuk muka. Haih, banyak betul kejutan hari ni. Mujur jantung aku masih boleh berfungsi dengan baik.
“Boleh tak aku nak tanya kau?” soal aku kepadanya.
“Kau dah tanya pun,” jawabnya pula.
“Aku serius ni,” aku berpeluk tubuh.
“Tanya ajelah apa kau nak tanya. Sejak bila pandai minta izin? Nak practice jadi isteri mithali ke? Bagus juga tu. Orang putih kata practice makes perfect.
“Kalau kau kena tumbuk jangan tanya kenapa,” rengusku.
“Setakat penumbuk kecil kau ni kucing pun tak takutlah,” ejeknya.
“Lantak kaulah,” aku bangun daripada duduk.
“Kuat merajuklah kau ni. Tanyalah apa kau nak tanya tadi. Aku nak gurau pun tak boleh. Tak coollah macam ni,” dia mengukir senyum.
“Kenapa kau selalu bawa laptop bila nak pergi mana-mana?”
Sudah lama aku ingin bertanyakan tentang perkara ini. Jawapannya mestilah sebab gila komputer. Tapi nak juga dengar jawapan daripada dia. Mengaku ke dia gila komputer.
“Sebab dia kekasih aku,” selamba dia menjawab.
Aku kehilangan kata.
“Janganlah buat muka macam tu. Betullah, dia kekasih aku. Tapi kau bakal isteri aku,” jelasnya.
Aku menarik nafas lega. Sengallah dia ni. Kejap, dia sebut bakal isteri? Control Wisya, control! Jangan over sangat. Amirul manarik bibirnya sehingga membentuk senyuman lebar dan melangkah ke arah kereta. Aku membuntutinya sambil membetulkan baju kurung yang tersarung di tubuh. Ya Allah, aku bersyukur pada-Mu kerana meberikan aku peluang untuk menikmati rasa bahagia yang berbunga di jiwa.
****
Perkahwinan aku dan Amirul sudah berusia lima bulan. Aku kini semakin memahami jadual hidupnya. Baru aku tahu bahawa selama ini dia ada membuka kelas komputer pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Kebanyakan yang menyertainya ialah mahasiswa dan mahasiswi. Itu pun dalam 20 orang aje tapi aku dapat lihat dia puas apabila dapat berkongsi ilmu dengan orang lain.
Tapi entah kenapa bila dia mengajar seorang mahasiswi ni, rasa cemburu sering bertapak di hati. Caranya seperti hendak menggoda Amirul sahaja. Aku tahulah suami aku tu kacak, tapi tak perlulah nak lebih-lebih. Bukan mahu bersangka buruk, tapi rasanya kalau orang lain tengok pun boleh tahu. Perangai lebih kurang macam setiausaha encik Fitri yang gedik itu.
Sebut pasal encik Fitri, dia dah boleh terima hakikat. Dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sekarang ini jawatannya diambil alih encik Haikal. Walaupun caranya agak berbeza, tapi aku cepat menyesuaikan diri. Mujur dia tidak banyak kerenah seperti encik Fitri.
“Sayang, fikir apa tu?” tegur Amirul secara tiba-tiba.
“Tak ada apa. Hmm, budak perempuan yang belajar komputer dengan abang tu siapa nama dia ya?” sengaja aku bertanya.
“Yang mana satu ni?”
Hesy dia ni, gaya tanya macam ada ramai anak murid perempuan aje. Padahal 5 orang aje pun.
“Yang tak pakai tudung tu,” aku menjelaskan.
“Oh, nama dia Wani. Kenapa?” tanya Amirul pula.
“Dia tu macam nak mengorat abang aje,” aku berterus-terang.
“Ya ke? Abang rasa biasa aje.”
Haih, dia ni memang tak faham perempuan. Nasib baik dia faham aku. Kalau tak memang hari-hari aku makan nasi lauk hati ajelah jawabnya.
“Wisya tengok dia macam nak tarik perhatian abang aje,” aduku lagi.
“Perasaan sayang aje tu,” dia mengelus rambutku.
“Entahlah. Hmm, abang tunggu kejap ya. Wisya nak sediakan makan malam,” aku bangun.
“Abang tolong sayang ya,” balasnya.
“Boleh juga.”
Amirul memang bagus. Rajin menolong aku di dapur. Tapi kalau dia dah mengadap apa-apa yang berkaitan dengan komputer, jangan haraplah dia nak menjengah. Aku terpekik terlolong macam mana pun, seribu tahun lagi pun belum tentu dia akan sampai kat dapur ni yang jaraknya sejengkal aje dengan ruang tamu.
****
“Assalamualaikum abang, kenapa tak balik lagi ni? Wisya dah sediakan minum petang special tahu,” aku berkata manja.
“Waalaikumussalam. Kau ni siapa?”
Kelu lidahku hendak menjawab. Kenapa suara perempuan pula yang keluar ni? Nak kata aku salah nombor memang taklah kan. Dah terang-terang tertera nama suami aku kat skrin telefon ni.
“Sepatutnya aku yang tanya kau siapa. Mana suami aku?”
Dah dia berkau-aku, aku pun berkau-aku jugalah. Lagipun bukan aku yang salah.
“Suami kau ada dalam bilik air. Dia tengah mandi. Kau nak cakap apa? Kalau ada pesanan, nanti aku sampaikan pada dia,” selamba sahaja suara itu menjawab. Kalau ada depan aku memang dah lama kena hempuk.
“Cakap dengan dia, jangan sampai kena tangkap basah sudahlah. Pesanan penaja daripada Darwisya Adrianna, ISTERI dia.”
Aku menekankan suara ketika menyebut perkataan isteri. Sungguh aku kecewa dengan Amirul. Aku sangkakan lelaki baik macam dia tidak akan berbuat perkara sebegitu tapi ternyata sangkaan aku meleset. Mungkinkah dia cuma berpura-pura selama ini?
Air mata yang menitis kuseka perlahan. Aku menelefonnya kerana mahu dia cepat pulang. Ada berita gembira yang ingin aku sampaikan. Tapi berita sedih pula yang aku dapat. Syahmirul Afnani memang kejam. Perut yang masih kempis aku usap perlahan. Kandungan yang baru berusia tiga minggu belum menampakkan bentuk yang jelas di perutku.
Dengan segera aku melangkah masuk ke dalam bilik tidur dan mengemas beberapa helai pakaian untuk dimasukkan ke dalam beg. Aku masih tidak tahu ke mana hala tujuku. Hendak balik kampung malas pula. Lagipun aku tidak mahu mama dan papa tahu keadaan yang sebenar. Belum sampai setengah tahun kahwin dah ada masalah.
Aku mengambil keputusan untuk pergi ke rumah sewaku dahulu. Sekarang Fira tinggal berdua di rumah itu. Tu pun aku yang paksa dia cari housemate baru. Risau jika dia tinggal berseorangan. Sekarang aku akan tinggal di situ buat sementara waktu. Nak duduk hotel memang taklah. Membazir duit aku aje.
****
“Assalamualaikum,” aku memberi salam yang entah keberapa kali sambil mengetuk pintu rumah. Fira ni nak kata tak ada kat rumah kereta dia terpacak pula kat depan ni. Lambat sangat buka pintu.
“Waalaikumussalam. Wisya, kau ke ni? Awat tak habaq nak datang mai? Ni apa hal siap bawa beg segala ni? Amirul outstation ke?” bertubi-tubi soalan diajukan Fira.
“Nanti aku cerita. Sekarang ni kau tak nak ajak aku masuk ke?” sindirku. Dahlah penat tunggu dia buka pintu. Terjah pula aku dengan macam-macam soalan.
“Masuklah, buat macam rumah sendiri. Ni pun rumah kau juga dulu,” balasnya sambil tersengih.
“Aku nak tinggal sini untuk sementara waktu boleh tak?” aku bertanya setelah melabuhkan punggung di atas sofa.
“Boleh, apa salahnya. Lagipun aku memang tinggal sorang sekarang ni. Aleeya balik kampung. Minggu depan kot baru dia balik sini.”
Lega aku mendengar jawapan Fira. Bagus juga Amirul ni, buat masalah pada masa yang sesuai. Eh, yang aku dok puji dia kenapa?
“Sekarang cerita kat aku. Kau ada masalah dengan Amirul kan?” teka Fira.
“Yup!” aku mengangguk.
“Storytelling time,” Fira duduk bersila di hadapanku.
Aku pun mula bercerita dari A sampai Z, dari Malaysia hingga Auckland, dari undefined hingga infinity dan macam-macam dari lagi. Fira menumpukan sepenuh perhatian mendengar apa yang aku ceritakan. Sesekali dahinya akan berkerut apabila tiba bahagian sedih.
“Maknanya aku akan jadi mak cik tak lama lagi. Tak sabarnya nak dapat anak buah,” Fira menyambut perkhabaran itu dengan nada teruja.
“Ya. Kau orang pertama yang tahu ni,” aku senyum paksa.
“Orang kata apa yang kita nampak tu tak semestinya perkara sebenar. Mungkin apa yang kau dengar tu bukan hal yang sedang berlaku sebenarnya,” pujuk Fira. Aku tahu dia cuba untuk menenangkan perasaanku. Tapi hatiku terasa sakit sangat. Nampaknya aku tak buat pilihan yang betul.
“Fira, aku tahu kau jenis yang berfikiran positif. Tapi aku tak mampu. Aku rasa macam kena tipu kau tahu tak. Entah-entah dia kahwin dengan aku pun sebab nak main-main. Dia dah tahu apa perasaan aku pada dia, so dia boleh manipulate. Orang pernah kata juga lelaki pandai berlakon bila depan perempuan,” aku berkata dengan penuh emosi. Air mata yang mengalir aku biarkan.
“Wisya, kau cakap apa ni? Aku tahu jiwa kau sedang terganggu sebab tu kau asyik fikir negative aje. Okey masa untuk bercerita dah tamat. Lebih baik kau rehat dulu. Jangan buat jiwa kau bertambah kacau. Kesian kat baby dalam perut tu. Ni kau lari rumah aku ni, dia tahu tak?”
Aku beristighfar dalam hati. Mungkin betul apa yang dikatakan Fira. Jiwa aku sedang kacau sebab tu aku tuduh melulu. Aku menggelengkan kepala sebagai tanda menjawab soalannya.
“Kau tak nak jumpa dia?” tanya Fira lagi.
“Kalau aku nak, buat apa aku dekat sini sekarang. Mesti aku tunggu aje dia balik. Tu pun kalau dia nak baliklah,” spontan aku menjawab. Fira menepuk pehaku mendengar jawapan yang kuberi.
“Kat pejabat kau tetap jumpa dia juga,” Fira membalas.
“Aku rancang nak ambil cuti beberapa hari,” selamba sahaja aku menuturkan kata.
“Okeylah kalau macam tu. Jom aku bawa kau masuk bilik. Rehat cukup-cukup. Jangan fikir sangat pasal Amirul tu. Esok masih ada waktu,” dia menarik tanganku.
Beruntung aku ada kawan macam Fira. Sentiasa ada di kala aku senang dan susah. Kalau tak ada dia mungkin aku masih berada dalam kereta mencari hala tuju.
****
Telefon yang bordering aku abaikan. Kali ini aku silentkan bunyinya. Muak pula mendengar Erry Putra menyanyi malam-malam ni. Beratus missed call dan mesej masuk tapi tidak terdetik pun hati aku nak tengok. Bayangkan nama dia dalam fikiran pun aku rasa terhiris. Inikan pula nak baca mesej-mesej dia. Kirim salam atas angin ajelah.
“Cakaplah kau ada kat rumah aku. Tak adalah dia nak risau sangat,” tegur Fira.
“Kalau aku bagitahu tak bestlah. Senanglah kerja dia nanti,” balasku.
Fira menggelengkan kepala melihat kerenahku. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku tidak sanggup memperlakukan suamiku sebegitu rupa. Tapi ego membataskan segala-galanya.
****
Sudah lima hari aku duduk di rumah Fira. Rindu rasanya hendak menatap wajah Amirul. Kadang-kadang aku rasa hendak kemas baju dan balik ke rumah. Tapi hatiku tidak membenarkan. Ya, aku memang ego.
Untuk menghilangkan rindu, aku baca semua mesej-mesej Amirul. Hari ini dia langsung tidak mengirimkan mesej kepadaku. Call jauh sekali. Barangkali sudah penat hendak memujuk aku. Waaa, sedihnya.
“Kau tak nak makan ke?”
Terhenti lamunanku tentang Amirul. Di tangan Fira ada sepinggan nasi goreng. Nampak sedap tapi aku tak ada selera. Selera aku lebih tertumpu kepada gambar Amirul walhal bukan boleh makan pun.
“Kau makanlah. Aku tak ada selera,” aku menjawab.
“Makanlah sikit. Lapar anak dalam perut kau tu nanti,” omel Fira.
“Nantilah. Kau nak guna laptop ke?” aku menukar topik.
“Aku nak makan. Buat apa nak guna laptop pula. Aku bukannya macam Amirul tu,” jawab Fira bersahaja.
“Aku pinjam ya. Nak buka Facebook,” aku meminta kebenaran.
“Gunalah Wisya,” balas Fira. Kemudian tangannya mencapai telefon bimbit. Gayanya seperti sedang menaip mesej. Aku ambil laptop dan membuka web browser. Banyak juga notifikasi yang aku terima padahal baru beberapa jam aku tak online. Selesai membaca semua notifikasi, aku terima lagi satu notifikasi. Tertulis di situ ‘Syahmirul Afnani posted a link on your timeline’. Aku klik cepat-cepat.
Tertera di situ sebuah video yang dimuat naik di Youtube yang berjudul Cinta Si Gila Komputer. Dia menyatakan video itu khas buat Darwisya Adrianna, isteri yang tercinta. Berbunga hatiku tapi bila terfikirkan hal lima hari lepas, aku rasa hendak tumbuk aje mamat ni. Nak pujuk akulah tu. Tapi macam mana dia tahu aku online sedangkan aku dah off chat? Suratan atau kebetulan?
Video itu aku klik. Fira menjengulkan kepala hendak melihat apa yang aku tonton.
“Kau tengok cerita apa tu? Tak pernah pula aku dengar filem tajuk Cinta Si Gila Komputer,” dahi Fira berkerut.
“Entah. Amirul yang pos kat timeline aku tadi,” aku menjawab persoalannya.
“Oh,” balasnya.
Lamalah pula buffering video ni. Haa, dah jalan. Eh, apa hal ada gambar aku ni? Gambar kahwin pula tu. Fira mengangkat keningnya. Aku melihat description video itu kembali. Rupa-rupanya Amirul yang muat naik video itu. Maknanya dialah yang buat semua ni. Apakah motif dia? Ceh, boleh pula tanya lagi. Dah tentu-tentulah motif dia nak pujuk aku yang sedang merajuk membawa diri ni.
Hatiku terbuai ketika menonton video tiga minit lebih itu. Simple but nice. Tak sangka dia boleh jadi sweet macam ni. Dah melting ni. Siapa nak bekukan aku balik? Tapi dalam sweet-sweet pun sempat juga dia selitkan pasal komputer. Memang padanlah dengan tajuk video tu. Sebaik sahaja video itu tamat, aku merenung Fira yang sudah tersengih-sengih.
“Kenapa pandang aku macam tu?” Fira bertanya selamba.
“Kau bagitahu dia ya?” aku jawab soalannya dengan soalan.
“Dia berhak tahu Wisya,” Fira membetulkan duduknya.
“Tapi…”
Belum sempat aku membalas jawapan Fira, telefonku sudah berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Terkejut aku melihat nama pengirimnya. Dan aku lebih terkejut bila Amirul menyatakan dalam mesej itu dia sudah berada di hadapan rumah Fira. Aku jenguk tingkap dan ternyata memang benar.
“Jangan marah ya. Aku cuma nak jernihkan hubungan kau orang. Lagipun aku tahu dia tak bersalah. Perempuan yang jawab panggilan kau tu student kelas komputer Amirul. Masa tu Amirul memang kat toilet. Tapi bukan toilet budak tu. Selanjutnya biar Amirul yang cerita,” jelas Fira. Aku terkedu.
“Percayalah, Amirul takkan buat macam tu. Aku dapat nampak dia memang cintakan kau. Wajah memang boleh menipu tapi mata tak pernah menipu, Wisya.”
Dia menyambung kata setelah melihat aku diam. Aku memeluk Fira dengan erat. Terharu dengan apa yang dia lakukan.
“Eh, dahlah tu. Peluk aku lama-lama buat apa. Pergilah peluk cik abang kau tu. Kesian dia duduk kat luar tu sorang-sorang. Beg kau aku dah kemaskan. So, kau boleh balik malam ni juga. Jangan cakap aku halau kau. Aku tahu kau rindukan dia dan dia rindukan kau,” Fira tersenyum lebar.
“Kau baik sangat dengan aku,” tiba-tiba aje aku rasa sebak.
“Kau kan kawan aku. Sekarang masa kau. Mana tahu nanti waktu aku pula kan. Dah sarung tudung ni cepat,” Fira menghulurkan tudung. Tiba-tiba kedengaran pintu rumah diketuk.
“Sabar Amirul. Isteri kau tengah pakai tudung ni,” Fira separuh melaung.
“Ya, aku sabarlah ni. Kalau tak aku dah robohkan pintu rumah kau ni,” Amirul ikut melaung dari luar. Aku ketawa kecil.
“Bye Fira. Take care ya. Aku sayang kau sangat-sangat,” kataku sambil memeluk Fira.
“Aku sayang kau juga,” dia menarik tanganku sehingga ke muka pintu.
Amirul tersenyum memandang aku setelah pintu dibuka. Aku melangkah ke arahnya dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Rasa bersalah menerpa diri kerana meninggalkannya tanpa sebarang notis. Setelah beberapa ketika, aku dan Amirul meminta diri untuk pulang. Bahagia yang hilang sekejap muncul semula menyelaputi segenap jiwa ragaku. Eh, terjiwanglah pula.
****
“Sayang suka tak video tu?” tanya Amirul.
“Boleh ke kalau Wisya cakap tak suka?” aku balasnya dengan soalan juga. Sengaja hendak mengusik.
“Beranilah cakap macam tu. Penat tau abang buat untuk sayang,” dia mencebikkan bibir.
“Ingat comel sangat ke buat bibir macam tu?” aku menjulingkan mata.
“Kalau tak comel sayang tak kahwin dengan abang,” dia menjawab selamba.
Memang kurang lemak mamat ni. Nasib baik dia ni suami aku. Bolehlah dimaafkan. Tanganku dia capai dan diusap perlahan.
“Sayang dengar ya apa abang nak cakap ni,” Amirul berkata. Serius sahaja bunyinya.
“Okey,” aku mengangguk.
“Bila dah gila komputer, ke mana sahaja mesti nak bawa komputer. Bila dah gila komputer, nak tinggalkan komputer sesaat pun susah. Bila dah gila komputer, nak makan pun mesti bersama komputer. Bila dah gila komputer, sebelum tidur harus nak usik komputer juga.
Pendek kata sepanjang masa memang bersama komputer. Tapi bila Syahmirul Afnani bertemu Darwisya Adrianna, komputer dah jatuh nombor lima.”
Amirul mengucapkan dengan sepenuh hati. Romantis sekali nada suaranya. Tapi ayat terakhir dia tu buat aku curiga.
“Nombor lima? Maksud abang?” aku sudah panas punggung. Patutnya jatuh nombor dua. Apa hal tetiba terjun ke nombor lima pula.
“Yalah. Yang pertama Allah, kedua Rasulullah, ketiga family abang. Nombor empat barulah sayang,” dia mencuit hidungku.
“Oh, hehe!” aku termalu sendiri.
“Sayang fikir sayang ni isteri nombor empat ya?” dia sudah tertawa.
“Mana ada, hisy! Dahlah tu, nak usik-usik Wisya pula. Abang tu tengah memandu,” sengaja aku berkata begitu. Pipiku sudah panas. Nasib baik malam. Kalau tak mesti lagi galak dia ketawa tengok muka aku jadi merah.
Terharu sungguh rasa hatiku ini. Ya Allah, andai benar bahagia ini milikku kau kekalkanlah sampai bila-bila. Sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan suami seperti Syahmirul Afnani. Tak romantik dan gila komputer. Tapi mampu buat aku rasa bahagia.
6 comments:
hehe..terlupa nk gtaw pasal baby kat amirul ke?
syaz
Tak payah bagitahu, dia memang dah tahu pun. Fira yang bagitahu dia :)
Kat dalam video tu ada tulis pasal baby tu xD
Ayat sal windows 8 tu cam memerli seseorang jer .. hahahaha .. =D
Eh, perasan jugak rupanya ya. Hahaha! ^_^
whoa ! best ... sweet nyer c amirul tuh .. hoho .. :) (Syazwani)
Hehe, dia sweet. Tapi tak romantik. :D
Post a Comment