Perempuan Gedik itu Sahabat Aku

Khareena Ayuni dan Hanis Avira. Kalau tak berkepit ke mana-mana memang tak sah. Sungguh pun perangai mereka jauh berbeza macam langit dan bumi, namun tiada apa yang mampu menghalang mereka daripada terus bersahabat. Kalau Khareena dikenali dengan sifatnya yang bersopan-santun, Avira pula terkenal dengan perangai gediknya sehingga membuatkan ramai yang meluat apabila melihat dia. Kalau tak, mustahil dia Berjaya menyandang gelaran perempuan gedik SMK Dato’ Haji Hadi.
Memang Avira punya ramai kawan, tetapi tidak semua yang benar-benar ikhlas. Siapa yang mampu bertahan dengan perangainya yang satu tu memang hati keringlah. Tetapi dia bukanlah teruk sangat. Selalunya kalau ada apa-apa masalah, Avira akan cuba untuk menolong. Dan kerana itulah Khareena tetap berada di samping Avira.
Kalau boleh, dia juga ingin mengubah perangai sahabatnya itu menjadi lebih baik. Lagipun, Khareena tahu di sebalik sifat Avira itu, tersembunyi satu rahsia yang terpendam jauh di sudut hatinya. Hanya Khareena yang mengetahui sebab Avira menjadi begitu.
“Reen, jom teman aku jumpa Duan!” Ajak Avira.
“Kau nak buat apa jumpa dia? Pagi tadi kan dah jumpa. Mentang-mentang cikgu tak masuk, kau nak pergi berfoya-foya pula ya,” bebel Khareena.
“Alah kau ni, relakslah! Aku nak bagi coklat ni aje. Bukan nak buat apa-apa pun,” Avira mengendeng di bahu Khareena.
“Hesy, tak ada waktu lain ke kau nak bagi kat dia? Kalau Afiq nampak nanti, tak pasal-pasal dia makan nasi berlaukkan hati.”
“Biarlah dia nampak pun. Apa aku kisah?”
Khareena yang sedang duduk kemudiannya berdiri menghadap Avira.
“Memang kau tak kisah. Tapi jagalah perasaan Afiq tu. Memang kau tak suka dia tapi kau juga yang mengada-ngada layan dia dulu.”
“Baiklah tuanku. Patik akur dengan titah perintah tuanku.”
“Kau ingat aku ni Yang Di-Pertuan Agong ke? Kalau kau nak membodek guna cara tu, tak payahlah. Lame okey? Jangan nak risau sangat. Nanti masa balik aku temanlah kau jumpa Duan.”
Khareena cuba untuk mengambil hati Avira kembali.
“Sebab tu aku sayang kau, Reen!”
“Masa nilah baru kau nak sayang aku kan?”
“Eh, hari-hari aku sayang kaulah. Kau aje yang tak tahu.”
“Aku pun sayang kau, Vee!”

******
“Haa!”
Tersentak Khareena mendengar sergahan Avira.
“Cik Vee, dah lupa ya macam mana nak bagi salam?”
“Wei, ayat kau tak boleh pedas lagi ke?”
“Nak pedas lagi, pergilah ambil cili padi kat belakang sekolah ni. Pastu tenyeh kat mulut kau tu.”
“Kau ni memang kan. Dengar sini baik-baik. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh!”
“Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh. Pandai pun bagi salam,” perli Khareena lagi.
“Sudah cukup-cukup sudah! Sekarang ni aku nak tahu kenapa kau termenung. Teringat kat Alif ke? Nak tak kalau aku panggil dia datang sini?”
Kali ini giliran Avira pula menggiat Khareena.
“Jangan nak mengadalah. Aku tengah fikir pasal hala tuju aku lepas SPM ni,” tipu Khareena.
“Yalah tu! Kau sebenarnya tengah fikir kenapa Alif boleh couple dengan Alia kan?”
Khareena terkesima. Dia tidak menyangka Avira boleh menebak perasaanya dengan begitu mudah. Khareena tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala untuk menutup galau di hatinya.
“Mana ada aku fikir pasal Alif. Suka hati dialah nak couple dengan siapa pun.”
“Tapi kau dah lama suka kat dia kan?”
“Memang. Tapi aku lebih pentingkan SPM. Aku betul-betul risau ni. Kau tengok ajelah result aku kali ni. Cukup-cukup makan aje.” Khareena cuba menukar topik.
Dia tidak mahu membicarakan tentang Alif lagi. Bimbang segala rahsianya selama ini akan terbongkar di hadapan Avira. Walaupun Avira sahabatnya, dia masih belum bersedia untuk memberitahu isi hatinya yang sebenar. Kalau bukan kerana Avira telihat gambar Alif di dalam biliknya, pasti sampai sekarang pun Avira tidak tahu tentang hal itu.
“Aku pun risau juga. Tapi masih ada masa lagi kan? Kita enjoy dulu okey?”
“Kau ni main-main pula!”
“Sebab kau tu serius sangat.”
Whatever!
“Uih, sejak bila kau pandai guna perkataan whatever ni? Bukan ayat kau brutal-brutal ke selalunya?”
“Sejak aku kawan dengan kaulah,” Khareena menjelirkan lidahnya kepada Avira.
“Kurang kolesterol punya perempuan!”
Avira mengejar Khareena yang sudah pun lari masuk ke kelas.

******
“Nak mesej ke tak?” bisik Khareena pada dirinya sendiri.
“Ah, mesej jela! Aku kan dah kawan dengan dia sejak darjah satu lagi.”

+ Assalamualaikum, kau busy ke?
: Waalaikumussalam. Tak adalah busy sangat. Kenapa?
+ Aku nak tanya kau sikit. Boleh ke? Tapi kalau kau rasa pertanyaan aku ni menganggu, tak payahlah jawab.
: Tanya jelah mak cik oi.
+ Kenapa kau couple dengan Alia?

Mesej yang dihantar Khareena tidak berbalas. Terbit penyesalan di hatinya kerana bertanya yang bukan-bukan. Khareena menyembamkan mukanya ke atas bantal. Tidak lama kemudian, lagu Pesan Cinta berkumandang menandakan ada mesej yang baru masuk. Lambat-lambat Khareena mencapai telefon bimbitnya. Apabila dia melihat nama yang tertera, dengan pantas dia duduk semula.

: Aku couple dengan dia sebab aku nak ubah dia jadi lebih baik.
“Panjang ni aje dia reply? Ingatkan tadi dok mengarang. Haih!”
+ Tapi kenapa sampai couple? Bukan ke couple tu haram. Dulu kau pun cakap camtu kan?
: Aku bukannya cakap benda lagha pun dengan dia. Aku banyak bagi nasihat kat dia.
+ Niat tak menghalalkan cara.

Alif tidak membalas mesej Khareena lagi. Mungkin hilang idea untuk membidas kata-kata Khareena atau mungkin juga dia tidak suka dengan kata-kata itu.. Malam itu Khareena tidur bertemankan air mata. Dia bimbang Alif tidak mahu menegurnya lagi kerana terasa hati dengan mesej terakhir yang dihantarnya.

******
“Reena!”
“Alif panggil aku? Biar betul ni. Malam tadi bukan ke…”
“Wei Reena! Kau tak dengar ke aku panggil ha?”
“De… de… dengar! Adess, aku dah lupa apa aku nak tambah kat esei aku ni. Hesy, kaulah ni. Jerit-jerit nama aku,” Khareena pura-pura marah. Walhal dia sebenarnya cuma ingin menutup gelabah yang telah melanda dirinya.
“Kau yang lupa aku pula yang salah,” rungut Alif.
“Hmm, kau nak apa?”
“Nak apa apa kau ni?” Alif menggaru-garu kepalanya.
“Kau nak apa panggil aku tadi?”
“Kau tak suka aku couple dengan Alia eh?”
Mendadak tahap adrenalin Khareena menaik. Sekiranya ada apa-apa berada di dalam mulutnya, pasti sudah terkeluar dek kerana terkejut akan soalan yang ditanya Alif.
“Err, aku bukan tak suka. Cuma tiba-tiba sangat. Bukan ke dulu kau tak suka benda-benda macam ni? Dan kenapa kau pilih dia?”
Dalam cuak-cuak pun, boleh tahan banyak juga soalan yang Khareena ajukan.
“Macam yang aku cakap malam tadi, aku nak ubah dia.”
Khareena mengeluh kerana Alif tidak menjawab seperti mana yang dia inginkan.
“Okey!”
“Okey je kau cakap?”
“Yalah! Kau nak aku cakap apa pula lagi? Hmm, aku nak pergi perhimpunan dulu. Since kau dah ada kat sini, tolonglah suruh budak bawah ni pergi perhimpunan. Couple-couple pun, tugas kau jangan lupa pula.”
Khareena berlalu pergi. Tapi bukan ke perhimpunan sebaliknya ke tandas. Entah kenapa dia tidak dapat menahan sebak di dada.

Dua minggu kemudian…
“Reen!” panggil Avira.
“Apa dia?”
“Sinilah. Kau mesti takkan percaya punya.”
Dengan malas, Khareena bangun juga hendak melihat apa yang ditunjukkan oleh Avira. Tanpa perlu Avira tunjukkan, mata Khareena sudah dapat menangkap apa yang menarik perhatian Avira.
“Kenapa dia jalan dengan Farid?”
“Aku tak tahu. Mungkin kau patut tanya Farid,” cadang Avira.
Khareena cuma tersenyum. Dia tidak mahu menyusahkan diri bertanya tentang perkara yang tiada kaitan dengannya. Dia lebih bimbangkan keadaan Alif.
“Vee, nampak Alif tak?”
“Tu, dia baru datang!”
Khareena duduk di tangga. Ketika Alif naik, Khareena menahannya.
“Nanti jumpa aku kat tempat biasa. Ada benda yang aku nak bincangkan dengan kau.”
“Apa yang kau nak bincangkan?” tanya Alif.
“Mungkin kau patut tanya diri kau dulu.”
Sejurus itu, Khareena terus turun ke bawah untuk menjalankan tugasnya.
******
“Kau nak apa jumpa aku ni Reena?”
“Kau rasa?”
“Aku tak ada masa nak main-mainlah!” tengking Alif.
Khareena terkaku. Sepanjang mereka berkawan, Alif tidak pernah menengkingnya.
Sorry!” perlahan sekali suara Khareena.
“Kenapa kau nak jumpa aku?” Alif mengulang kembali soalannya. Namun suaranya sudah mengendur sedikit.
“Pasal Alia,” lambat-lambat Khareena menuturkan ayatnya. Bimbang ditengking sekali lagi.
“Ya, aku memang dah putus dengan dia. Dah dua hari dah pun. Mungkin aku tak layak untuk dia. Jadi aku lepaskan dia walaupun aku tak sanggup.”
Tanpa dipinta, Alif meluahkan apa yang terbuku di hati. Tapi Khareena tidak mampu untuk menghadam kata-kata Alif. Bahkan untuk menelannya pun Khareena tidak sanggup. Seingat dia, Alif hanya ingin mengubah Alia. Tapi kenapa dia bersedih sangat macam kena tinggal dengan isteri.
“Kau tak layak untuk dia? Sepatutnya kau cakap dia tak layak untuk kau!”
“Kenapa? Sebab dia sosial? Macam tu? Habis kau tu mulia sangat ke?”
Khareena tergamam. Dia tidak tahu hendak memberikan respons apa terhadap pertanyaan Alif yang melulu itu. Dia merasakan Alif sudah berubah. Berbeza daripada yang dulu.
Okay, our conversation stop here!”
Khareena tergesa-gesa pergi. Air matanya tumpah tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Dia tidak mampu untuk menerima perubahan Alif.
“Reen, kau kenapa ni?”
Khareena hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Baik kau cakap dengan aku,” desak Avira.
“Tak ada apa-apalah,” Khareena tersenyum pahit.
“Aku ni memang bukan kawan kau?”
Avira ingin berlalu pergi tetapi Khareena berjaya menahannya.
“Okey, aku cerita. Tapi bukan kat sini. Jom masuk kelas. Sekarang waktu free kan?”
Mereka jalan beriringan masuk ke kelas. Alif masih termenung di pondok itu. Entah kenapa bayangan Khareena tidak boleh dilupuskan. Hampir-hampir sahaja dia menjerit, tapi dia masih waras. Bimbang menjadi perhatian pelajar lain pula.
‘Maafkan aku, Khareena Ayuni!’ jerit Alif dalam hati. Dia kesal kerana terlampau berkasar dengan kawan baiknya sejak dari sekolah rendah itu.

****
“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang?” Avira bertanya dengan perasaan ingin tahu.
“Buat apa-apa ajelah,” Khareena memberikan respons acuh tak acuh.
“Reen!” Avira menekan suaranya. Perlahan tapi kedengaran keras sekali.
“Lupakan perasaan aku yang tak patut ni. Tapi aku takkan lupakan dia sebab dia kawan baik aku.”
Khareena menggigit bibirnya. Dia tidak sanggup hendak melupakan perasaan yang telah wujud dalam hatinya sejak beberapa bulan yang lalu. Tapi apa pilihan yang dia ada. Baginya mengekalkan persahabatan itu lebih penting meski pun Khareena tidak tahu apakah silaturahim antara dia dan Alif masih mampu bertahan.
“Okey, aku faham. Aku memang bukan kawan baik kau, Reen! Bahkan, untuk menjadi kawan kau pun aku tak layak,” sinis bicara Avira.
“Sebab kau BFF aku. Alif kawan baik aku. Tak sesuailah kalau aku cakap Alif BFF aku. Bunyi macam Alif tu lembut pula,” Khareena mengambil langkah bijak untuk menghapuskan bunga-bunga pergaduhan. Sungguh pun Avira nampak kasar, tetapi hatinya mudah beremosi.
“Huh?”
“Cuba kau bayangkan Alif lembut,” Khareena tertawa kecil. Avira hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Reen, walapun palsu tapi kau cantik bila ketawa. Masa kau nangis tadi, macam nenek kebayan aje aku tengok kau ni.” Sejurus itu, bersepah ketawa Avira.
Khareena tersenyum apabila melihat Avira sudah kembali seperti biasa. Nampaknya gurauan spontan dia yang tak berapa nak lawak tu untuk mengelakkan pergaduhan dengan Avira menjadi.

****
Khareena sudah boleh menerima bahawa dia dan Alif  tidak mungkin akan bersama. Dia menjalani kehidupannya seperti biasa. Walaupun payah, tapi dia yakin dia mampu menghilangkan perasaan itu seperti mana dia mampu menghadirkan perasaan itu dalam dirinya satu ketika dahulu.
Namun jantungnya seakan disentak apabila matanya menangkap tingkah Avira dan Alif yang kelihatan sungguh rapat. Seperti…sepasang kekasih! Lambat-lambat Khareena menapak ke arah mereka.
“Assalamualaikum,” sapa Khareena. Dia cuba berlagak tenang meski hatinya gundah.
“Waalaikumussalam,” Alif dan Avira menjawab serentak. Khareena terkesima.
Tanpa membuang masa, Khareena berlalu pergi. Dia tidak betah berlama-lama di situ. Seolah-olah menambahkan lagi luka yang masih berdarah di hatinya. Avira hanya memandang pergerakan Khareena tanpa berniat untuk menegah. Bibirnya meleretkan senyuman. Terpancar satu kepuasan di wajahnya.
“Kau rasa dengan cara ni, Khareena akan lupakan aku ke?” Pertanyaan Alif memecah kesunyian.
“Haa? Hmm…aku rasa dia akan lupakan kau,” teragak-agak Avira menjawab.
“Aku tak sampai hati nak buat dia macam ni. Tapi, aku terpaksa.”
“Kau tak perlu nak rasa bersalah,” pujuk Avira. Suaranya begitu lembut sekali.
“Hmm!” Sejurus itu, Alif pergi ke kelasnya. Meninggalkan Avira sendirian di kaki lima.
Avira menuju ke kelasnya pula. Dia membayangkan kesakitan yang bakal dirasai Khareena. Terbentuk satu senyuman kecil di wajahnya.
‘Kali ni kau akan rasa apa yang aku pernah rasa dulu!’ bentak Avira dalam hatinya.

****
Khareena duduk di perhimpunan. Matanya melilau-lilau ke serata tempat dan berhenti apabila terlihat Alif dan Avira sedang bermesra. Khareena berasa sungguh sakit. Entah kenapa perasaannya kuat mengatakan mereka sengaja bersandiwara di hadapannya.
‘Ah, Avira memang macam tu dengan semua lelaki!’ Khareena berusaha memujuk kegalauan hatinya.
“Hai sayang, kenapa kau turun dulu? Tak tunggu aku pun kan,” Avira memuncungkan bibirnya.
“Kau jangan nak gedik sangat boleh tak?”
Khareena menekup mulutnya. Tidak menyangka dia akan berkata sedemikian. Cepat-cepat dia beristighfar. Berlainan dengan Avira. Dia tersenyum sahaja. Baginya, kemarahan Khareena merupakan satu kejayaan.
“Hari ni aku saja turun awal. Esok aku tunggulah kau,” senyuman paksa terukir di bibirnya. Dia tidak mahu Avira tahu apa yang bermain dalam fikirannya saat ini. Takut Avira terluka. Walhal hatinya sudah berdarah-darah melihat adegan tadi.  Malah lebih parah lagi.
“Tak apalah,” Avira masih tersenyum seperti tadi.
Khareena berlagak selamba tanpa mengetahui maksud senyuman rakan baiknya itu.
“Minggu depan ada studython. Tak sabarnya aku nak pergi,” Avira ingin menyambung perbualan.
“Aku pun,” tutur Khareena tidak ikhlas.
“Nanti dalam bas, kau duduk dengan aku eh?”
“Pernah ke aku duduk dengan orang lain kalau kau ada?”
“Sebab tu aku sayang kau,” ucap Avira.
Khareena mendiamkan diri. Selalunya, dia akan membalas bila Avira berkata seperti itu. Tapi tidak kali ini.
‘Kalau kau sayang aku, kau tak akan buat aku macam ni Hanis Avira,’ bisik hatinya.
Hari yang dinanti-nanti pelajar tingkatan lima pun tiba. Avira kelihatan benar-benar seronok. Sedikit sahaja lagi, dia akan menggapai kemenangan yang ditunggunya selama ini. Khareena pula bertindak sebaliknya. Dia seolah-olah manusia yang tidak punya apa-apa perasaan. Avira yang melihat keadaan Khareena segera memeluk rakannya.
“Kau kata kau tak sabar nak pergi, ni dah kenapa moyok aje?” tanya Avira.
“Entah, aku tak sedap hatilah.”
“Jangan fikirkan sangat, nanti kalau ada apa-apa cerita kat aku ya. Sekarang ni jom kita naik bas dulu,” saran Avira.
Dalam bas, Khareena duduk di tepi tingkap. Selalunya dia dan Avira akan berebut untuk duduk di situ. Tapi hari ini Avira sengaja memberi laluan mudah kepada Khareena.
‘Senanglah kau nak nangis nanti. Tak payah susah-susah nak menyorok,’ Avira ketawa kecil mendengar bisikan hatinya.
“Kenapa kau gelak?” tanya Khareena. Pelik melihat ulah Avira.
“Tak ada apa-apalah. Aku kelakar tengok burung kat luar tadi,” tipu Avira. Khareena hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
Sepanjang perjalanan, Khareena dan Avira tidak bercakap walau sepatah pun.
“Reen, tolong pegang handphone aku ni. Aku nak pergi belakang kejap,” Avira memecah suasana.
“Okey,” sepatah perkataan sahaja keluar dari bibirnya.
Khareena melihat-lihat Avira yang duduk di belakang sekali bersama Alif.
‘Huh, nak pergi menggedik rupanya!’
Handphone Avira dipandangnya lama. Terbit satu perasaan ingin melihat apa yang ada di dalam handphone itu.
‘Hmm, Avira tak pernah melarang aku untuk tengok apa-apa yang ada dalam ni.’ Hatinya menyokong tindakannya.
Dengan berhati-hati, Khareena membuka ruangan mesej. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan. Apabila dia scroll sahaja ke bawah, terlihat nama Alif begitu banyak sekali. Kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak, Khareena membuka mesej-mesej tersebut. Alangkah sakit hatinya. Tidak sangka selama ini Avira, sahabatnya berpura-pura couple dengan Alif. Jadi betullah apa yang dia lihat sejak kebelakangan ini cuma sandiwara.
Khareena cuba untuk menahan sesak di dada, namun dia tewas juga untuk kesekian kalinya. Sakitnya tidak terhingga apabila ditikam dari belakang. Namun dia benar-benar tidak mengerti. Kenapa si Avira nak sabotaj dia pula. Kalau ya pun, apa motifnya? Khareena bingung memikirkan sebab musabab Avira bertindak seperti itu.
Arghhh! Apa sajalah yang ada dalam fikiran perempuan gedik tu. Haa, kan Khareena dah naik hantu. Bukanlah sebab dia gilakan si Alif tu sangat. Cuma dia tak sangka dan tak pernah terlintas di benaknya Avira tergamak menyakiti hatinya.
Laju-laju Khareena menyeka air matanya. Dia harus kuat untuk menghadapi semua ni. Penjelasan akan dia dapatkan setelah sampai ke destinasi. Walau apa pun yang terjadi, dia harus tahu juga apa yang menyebabkan perkara seperti ini boleh terjadi.

Dalam bilik hotel….

“Vee, aku nak tanya kau something boleh tak?” Khareena bertanya sambil mengeluakan beberapa helai pakaian.
“Tanya ajelah,” acuh tak acuh Avira membalas.
“Kenapa kau couple dengan Alif? Macam mana dengan Duan?”
“Kau nak tahu kenapa?” Kali ini rentak suara Avira berubah.
Yes! I really need an explanation! I really need it!” Tegas Khareena.
“Kau dah lupa apa yang kau pernah buat dengan aku?” Mata Avira mencerlung tajam.
“Apa yang aku dah buat dengan kau?” Suara Khareena mengendur sedikit. Pelik sungguh dia mendengar pertanyaan Avira.
“Kau tahu kenapa aku jadi macam ini?” Tanya Avira lagi.
“Sebab Qalif kan?”
Yes! Because of him. But do you know who is the bitch?” Kasar suara Avira. Amarah yang ditahan-tahan membuatkan dadanya sesak. Sungguh, dia ingin meluahkan segala-galanya hari ini. Apa yang terpendam selama ini akan dibongkarkan di hadapan pemilik nama Khareena Ayuni.
Khareena sedikit terkejut. Dia nampak perubahan wajah Avira. Dan ia sangat menakutkan. Memang, dia tahu apa rahsia yang membuatkan Avira menjadi perempuan gedik di SMK Dato’ Haji  Hadi itu. Tapi, dia masih tidak tahu keseluruhan rahsia itu. Dadanya berdebar-debar saat ini. Apakah semua itu ada kaitan dengan dirinya?
“Tolong jelaskan segala-galanya Hanis Avira,” Khareena meminta dengan lembut. Pelbagai soalan menujah fikirannya sekarang. Dia tidak betah berada dalam situasi yang mendebarkan ini.
“Perempuan tu kau, Reen!” Air mata Avira menitis dari kelopak matanya.
Khareena terkedu, terkaku, terkujat dan sebagainya. Dia tidak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut Avira. Tapi apabila dia melihat wajah Avira, terpancar rasa bersalah sangat-sangat. Masakan sahabatnya itu mahu berbohong pula. Mustahil air mata yang jatuh mencurah-curah kala ini air mata palsu. Avira kelihatan sakit sekali. Sakit menanggung kekecewaan.
“Tapi aku tak kenal siapa Qalif!” Khareena berusaha mempertahankan dirinya. Dia memang tidak kenal siapa Qalif.
“Kau memang tak kenal dia. Tapi dia kenal kau!” Bentak Avira lagi. Air matanya masih bersisa.
“Dah tu, kenapa kau salahkan aku pula?”
“Aku suka tunjuk gambar budak-budak kelas kat dia. Bila aku tunjuk gambar kau, dia macam terpegun dan dia asyik puji kau. Tapi aku buat tak tahu ajelah. Sebab kau memang cantik. Sampai satu ketika, dia minta nombor kau. Aku tak bagi sebab aku tahu kau mesti tak suka punya. Lagi satu, aku cemburu. Kau bayangkanlah, Qalif minta nombor kau kat aku. Memang gila kan?”
Khareena hilang kata-kata. Dia tidak tahu akan perkara ini. Kalau boleh dia ingin lupakan segala yang diperkatakan Avira. Menyesal sungguh dia kerana membangkitkan hal itu. Sepatutnya, dia tak perlu tahu semua ini. Bukan dia yang mengundang perkara itu berlaku. Avira tidak sepatutnya menyalahkan dia dalam hal ini.
“Kau terkejut? Aku tahu kau tak percaya dengan apa yang aku cakapkan. Aku juga tahu kau memang tak bersalah. Tapi aku tak boleh terima bila dia kata dia nak putus dengan aku. Dia cakap dia dah jatuh cinta dengan kau, Reen!”
Khareena menelan liur. Dia memang tidak percaya dengan semua ni. Tak masuk akal langsung. Tengok gambar dah boleh suka.
“Ka…kalau kau tahu aku memang tak bersalah, kenapa kau buat macam ni dekat aku?”
“Sebab Alif minta tolong aku untuk hilangkan perasaan kau terhadap dia. Dan aku ambil kesempatan ini untuk sakitkan hati kau. Untuk puaskan hati aku yang dah lama menggila nak hancurkan hidup kau. Setiap kali aku nak kenakan kau, mesti tak jadi sebab aku tak sampai hati. Aku sayangkan kau. Kau aje yang mampu bertahan dengan sikap aku. Tapi kali ini aku kuatkan hati…”
“Cukup!” Khareena memotong cakap Avira.
“Alif minta tolong kau untuk hilangkan perasaan aku terhadap dia? Apa semua ni?” sambung Khareena lagi. Dia benar-benar ingin tahu apa maksud di sebalik kata-kata Avira itu.
“Tolong dengar apa yang aku nak cakap dulu Khareena Ayuni. Kau tahu tak, Qalif kemalangan sampai kena amnesia  sebab nak jumpa kau?”
Nak tercekik Khareena mendengarnya. Dia membuat aksi hendak muntah.
“Kau ingat aku main-main ke ha? Aku cakap betullah. Benda tu jadi depan mata aku. Dia nak minta nombor kau. Excited punya pasal sampai tak tengok kiri kanan masa melintas. Tak pasal-pasal aje kena langgar. Nasib hilang ingatan, kalau meninggal tak ke naya jadinya.”
Sungguh Khareena rasa nak tergelak tapi sedaya upaya dia cuba menahan.
“Qalif langsung tak ingat siapa aku. Dia ingat dia baru nak ambil UPSR. Padahal dah tingkatan dua. Sadis betul!” Avira sambung bercerita.
“Itu yang terbaik Vee. Setidaknya, kau rasa lega sebab dia tak kenal pun kau siapa.”
“Mungkin. Pasal Alif tu, dia memang tahu kau suka dia. Jadi, dia tak naklah buat kau berharap. Aku bagi idea suruh dia couple olok-olok dengan aku sebab nak sakitkan hati kau aje. Tapi secara tak langsung kau mesti akan benci dia kan. Alif tak mampu nak balas apa yang kau rasa sebab dia anggap kau sahabat dia. Tak lebih daripada tu, Reen! Dia harap sangat kau anggap dia macam kawan baik kau. Macam dulu-dulu.”
“Okey, aku faham. Aku pun bukannya gila sangat kat dia tu,” cebik Khareena. Avira ketawa kecil.
“Reen, aku minta maaf sangat-sangat. Aku terlampau ikutkan perasaan. Tapi serius aku rasa lega. Lega yang teramat sangat bila dapat luahkan segala-galanya,” Avira menundukkan wajahnya. Kesal kerana terlampau ikutkan hati.
“Aku maafkan kau Vee. Kita kan BFF!” Khareena mengukir senyum. Senyuman yang ikhlas dari hati.
Avira memeluk Khareena erat-erat. Dia mengharapkan hubungan persahabatan antara mereka berdua semakin kukuh dan kekal hingga ke syurga.
“Vee, pasal Alif tu aku tak kisah dah. Tipulah kalau aku cakap aku tak suka kat dia lagi. Tapi rasa tu makin menghilang,” tulus Khareena berkata.
“Reen, aku nak berubah. Aku tak nak nak terus macam ni. Sepatutnya aku dah lama move on. Tapi sebab dendam aku yang merepek ni, aku mainkan hati lelaki. Kau yang setia dengan aku selama ni pun aku sanggup buat macam ni. Semua sebab dendam. So, aku nak jadi diri aku sendiri. Diri aku yang dulu. Bukan yang macam ni.” Air mata Avira bercucuran lagi. Air mata penyesalan kerana mensia-siakan hidupnya dengan dendam.
Good for you! Aku akan kekal sebagai sahabat kau Vee. Lepas ni dah tak adalah title perempuan gedik SMK Dato’ Haji Hadi. Kalau ada pun, orang tu bukan bernama Hanis Avira.”
“Aku sayang kau, Reen!” ucap Avira ikhlas.
“Aku pun sayangkan kau Vee!”
Mereka berdua mengukir senyuman manis. Bagai tiada apa apa-apa yang pernah berlaku antara mereka. Pergaduhan yang terjadi telah mengukuhkan tali silaturahim mereka berdua. Semakin rapat, bukan semakin renggang. Memang itulah yang sebaiknya kerana sesungguhnya manusia itu tidak sempurna bahkan tidak layak untuk saling benci-membenci dan dengki-mendengki.