Pagi ini tenang dan mendamaikan. Burung-burung berkicau riang. Farah Tasneem menghirup udara yang segar. Sambil itu matanya ralit memerhatikan keindahan alam ciptaan Allah. Kedua belah telinganya dipasang dengan earphone. Sesekali badannya digerakkan mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Dania Irdina melangkah perlahan-lahan ke arahnya. Dia ingin mengejutkan Farah Tasneem yang sedang leka itu. Penat sahaja dia menyuruh adiknya bangun pagi. Alih-alih adiknya cuma duduk-duduk di taman itu. Apabila sudah berada betul-betul di belakang Farah, dia segera memegang bahu adiknya dan menjerit.
“Arghhh!” Farah ikut menjerit. Dia terkejut apabila terasa ada seseorang sedang memegang bahunya. Earphone yang masih terpasang di telinganya segera ditanggalkan.
“Hahahaha! Kelakarlah adik ni. Akak jerit sikit je, dia pula lebih-lebih. Kenapa? Adik ingat lelaki ya yang buat macam tu?” Dania ketawa sambil menekup mulutnya sesudah meluahkan pertanyaan.
“Apa akak ni? Nasib baik jantung adik sihat lagi. Kalau pesakit dekat IJN dengar jeritan akak tu, confirm dah gol semuanya akak tahu tak.” Farah mengurut-ngurut dadanya.
“Eleh, baru terkejut sikit dah cakap pasal jantung bagai. Siapa suruh leka sangat dengar mp3 tu? Akak ajak adik pergi sini untuk teman akak jogging,” bibirnya dicebik.
‘Macamlah aku ni sengal sangat nak jerit-jerit macam ni dekat IJN. Mahu aku kena tangkap dengan polis nanti sebab bunuh orang bersenjatakan suara mahal aku ni. Apa punya adiklah. Dia yang terkejut, nak kaitkan dengan pesakit jantung. Ish!’ Dania merungut di dalam hatinya.
“Akak ni mengumpat adik dalam hati ke? Muka semacam je,” berkerut dahi Farah melihat wajah Dania.
“Mana adik tahu? Ni mesti sebab bila adik mengumpat orang dalam hati, muka adik jadi semacam kan. Takkanlah adik boleh agak apa yang akak cakap dalam hati melainkan dah selalu buat,” selamba sahaja Dania berkata. Walhal memang betul pun dia sedang mengumpat adiknya.
“Huh? Apa-apa jelah. Akak kejutkan adik bangun pagi sebab nak suruh teman akak pergi jogging je kan. Bukannya akak suruh adik jogging. Kan lain maksudnya tu,” rungut Farah.
“Wah, bukan main lagi adik akak ni ya! Dah pandai merungut sekarang. Siapa yang ajar ni?” Dania menunjukkan muka garang.
“Akaklah yang ajar, hahaha!” Farah segera melarikan diri usai berkata.
Farah tahu jika kakaknya dapat mengejarnya, pasti habis seluruh tubuhnya digeletek. Dia mesti pulang ke rumah dengan segera. Sekurang-kurangnya boleh juga dia dapatkan perlindungan daripada ibu dan ayahnya. Dania pula hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah adiknya.
“Macam budak kecik,” rungut Dania sendirian.
****
“Morning Farah, note Dr. Azian kau dah siapkan ke?” tanya Lila.
“Assalamualaikum cik Lila. Note Dr. Azian dah siap. Puan Gee punya note je yang aku belum sempat nak buat lagi,” jawab Farah setelah memerli Lila.
“Waalaikumussalam cik ustazah, huhu! Aku nak pinjam boleh?” tersengih Lila apabila diperli sebegitu.
“Pinjamlah, macam tak biasa je. Anyway petang ni aku tak datang group discussion tau. Aku nak temankan ibu aku pergi hospital. Katanya nak buat medical checkup,” Farah memberitahu Lila.
“Okey beres! Tapi kau kena bersedialah malam ni ya,” senyuman Lila makin melebar. Persis gadis nakal sahaja rupanya.
“Bersedia apa pula?” polos sahaja pertanyaan Farah.
“Alahai kau ni. Bersedia kena serang dengan Zulfahmi aka pakwe kau tulah. Charge bateri phone kau biar penuh. Nanti tak pasal-pasal menangis tak berlagu dia,” selamba sahaja Lila berkata. Sesekali dia ketawa. Mungkin kerana membayangkan keadaan yang bakal berlaku.
“Huh? Tolonglah wei. Lantak dialah nak menangis tak berlagu pun. Kalau tangisan berlagu pun bukan sedap bunyinya. Bikin seram lagi adalah. Dia kenalah faham. Aku ni tak ada perasaan pun dengan dia. Ramai lagi perempuan yang sesuai dengan dia. Dasar lelaki tak faham bahasa,” panjang bebelan Farah.
‘Hai minah ni. Kalau dah membebel tak reti nak berhenti. Padan muka aku. Pandai-pandai buka topik pasal mamat tu. Kan dah kena. Habislah tahi telinga aku mencair.’ Lila pula membebel. Tapi semua itu cuma terluah dalam hatinya. Kalau keluar di bibir, alamatnya entah bilalah Farah boleh senyap.
“Tapi kenapa ya kau tak suka dia?” ringan sahaja mulut Lila bertanya.
“Lila, aku bukannya tak suka dia! Siapalah aku nak benci-benci orang ni. Aku cuma tak suka dengan perangai dia. Ramai perempuan yang tergila-gilakan dia. Kalau betul sekalipun dia suka kat aku, kau rasa wajar ke? Bermesra dengan perempuan lain tapi mulut mengungkap sayang pada orang lain. Dia ingat hati perempuan ni macam kereta sport ke?” panjang lebar Farah menjelaskan.
“Kenapa mesti kereta sport?” seperti orang bingung Lila bertanya.
“Dia kan kaya. Macam-macam kereta sport boleh guna. Awek-awek dia pun daripada golongan berada,” laju sahaja kata-kata itu keluar daripada mulutnya.
Padahal dia sendiri tidak tahu mengapa hati perempuan-perempuan itu digambarkan seperti kereta sport. Selalunya orang umpakan dengan pakaian ataupun barang mainan. Tanpa sedar dia mengukir sebuah senyuman. Senyuman kecil tetapi mampu membuat hati kaum adam cair seperti aiskrim.
“Ni dah kenapa senyum sorang-sorang?” sengaja Lila menggiat Farah.
“Ceh senyum pun tak boleh? And ada satu sebab paling utama aku tak boleh terima dia. Aku perlukan calon suami yang beragama untuk bimbing aku menjadi isteri yang solehah. Aku ni cuma insan yang lemah,” tenang sahaja suaranya.
“Ya, agama itu paling penting. Masakan kita pula yang perlu membimbing suami. Aku pernah terbaca bahawa lelaki boleh memilih wanita yang solehah dan elok paras rupanya untuk menjadi calon isteri. Tetapi wanita tidak boleh memilih berdasarkan paras rupa. Kerana agama itu lebih penting,” Lila memberitahu apa yang diketahuinya.
“Betul tu. Hati aku ni Allah yang pegang. Kalau satu hari nanti Fahmi berubah dan Allah gerakkan hati aku untuk menerima dia, aku akan terima. Sebab aku yakin dengan takdir Allah,” Farah tersenyum senang. Dia seolah-olah berlapang dada.
Lila hanya mampu mengangguk-anggukan kepalanya. Hendak menjawab Dr. Azian sudah masuk ke dalam dewan kuliah. Kalau dia perasan Lila bercakap, pasti banyak soalan yang perlu Lila jawab. Lebih-lebih lagi mood Dr. Azian hari ini swing. Nanti tak pasal-pasal je Lila jadi tempat Dr. Azian melampiaskan kemarahannya.
****
Benar kata Lila pagi tadi. Sekarang ni handphone aku tidak henti-henti berbunyi. Aku lihat sudah ada 20 miss call. Tidak cukup dengan itu, ada 10 mesej yang belum kubaca. Hanya ada seorang sahaja yang sering buat begini. Memang tak faham bahasa betullah dia ni.
“Hai cik adikku yang manis, kenapa tak angkat telefon tu? Bisinglah,” Dania sudah mula bertanya.
“Taknaklah. Tak penting pun,” Farah buat endah tak endah.
“Kalau tak penting, takkanlah sampai berpuluh-puluh kali dia call. Entah-entah yang call tu pakwe adik. Adik merajuk dengan dia ya?” sengaja Dania memprovok adiknya. Jika tidak entah sampai bila adiknya cuma berdiam diri.
Farah menukarkan handphonenya kepada mode silent. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia memberitahu hal yang sebenar. Kalau tak beritahu, kakaknya itu pasti akan memprovok lagi. Siapa yang tak kenal dengan Dania Irdina, kaki provok nombor 1 dalam keluarga.
“Bukan pakwelah. Dia tu minat kat adik. Tapi adik tak layan dia,” perlahan-lahan Farah menuturkan ayat.
“Kenapa tak layan? Sebab tak handsome?” pertanyaan Dania membuatkan Farah ketawa kecil.
“Bukan tak handsome. Tapi terlebih handsome. Adik tak suka dengan perangai dialah,” pantas Farah menjawab.
“Okey, cerita kat akak satu persatu. Selalunya bukan main lagi semua benda nak cerita dengan akak. Tak payah susah-susah nak korek. Tiba-tiba pasal mamat ni adik diam aje,” Dania sudah bersedia hendak mendengar cerita Farah.
“Okey!” Farah pun memulakan ceritanya.
Pelbagai kisah dirungkainya. Jika dibukukan, pasti sudah menjadi hikayat. Entah-entah lebih tebal daripada Hikayat 1001 Malam. Bagi Farah, biarlah kakaknya tahu. Sekurang-kurangnya dia tidak terbeban dengan masalah yang sengaja ditimbulkan. Siapalah yang mampu bertahan bila sudah diberitahu dengan pelbagai jenis bahasa, tetapi masih buat-buat tidak faham.
“Lah, itu je ke ceritanya? Bawa dia jumpa dengan akak, biar akak basuh dia habis-habisan. Ingat adik akak ni tunggul ke. Cinta konon, tapi layan juga perempuan lain. Dasar lelaki kasanova,” Dania mencebik bibir. Tergelak Farah melihat kakaknya seperti itu. Kelihatan seperti ikan tidak cukup nafas.
“Tak takut ke kalau-kalau dia goda akak?” nakal sungguh soalan Farah.
“Ek eleh, akak tak tergodalah dengan dia tu. Biarlah akak kahwin dengan lelaki biasa, at least takde orang nak rampas. Aman bahagia gitew,” terkelip-kelip mata Dania.
“Hahaha! Nampak sangat akak ni kuat cemburu. Belum apa-apa dah cerita pasal rampas-merampas,” senak perut Farah dek ketawa besar.
“Gelaklah, gelak! Itu maknanya akak dah bersedia dari segi mental tau,” Dania menjelir lidah.
“Apa-apa jelah kak, yang penting kita enjoy!” Farah berkata sambil mengangkat tangan kanannya.
“Ingat ni cerita Puteri ke nak enjoy-enjoy? Turunkanlah tangan tu. Akak dah terbau ketiak masam ni,” meletus ketawa Dania.
“Apa akak ni? Adik baru je mandi tadi,” nada suara Farah kedengaran merajuk.
“Ceh, jangan nak touching sangat. Akak geletek karang baru tahu,” acah Dania.
“Akak ni takde kerja lain ke? Asyik nak geletek orang je. Dah, pergi buat kerja sana. Nanti tak siap mulalah mengadu kat adik kena marah dengan bos,” Farah menolak kakaknya ke arah meja.
“Eh, akak tak pernah kena marah dengan bos okey. Mana pernah kerja akak tak siap,” Dania menjulingkan matanya.
“Sebab bos dah tangkap cintan dengan akak, hahaha! Tak lama lagi bau nasi minyaklah rumah kita ni,” usik Farah.
“Dah berbau pun. Tengah hari tadi kan ibu buat nasi minyak,” balas Dania.
“Eceh, takpelah kalau tak nak mengaku. Nanti adik tunjuk mesej-mesej bos akak tu,” ugut Farah.
“Adikkkkk! Kenapa baca mesej akak? Budak kecik ni memang nak kenalah,” rajuk Dania.
“Hahaha! Bos akak tu handsome tak?” sengaja Farah menggiat Dania. Selalunya dia yang diusik. Sekarang sudah terbalik pula.
“Dahlah, akak nak buat kerja. Layan adik ni entah bila kerja akak boleh siap,” merah muka Dania. Siapa tak malu bila diusik sedemikian.
“Malu lettew. Okey, siapkanlah kerja akak. Adik taknak kacau akak buat kerja yang pakwe akak bagi, hahaha!” Farah masih berniat hendak mengusik kakaknya.
“Dah pergi tidur. Esok ada kelas kan. Shuhh, shuhh! Pergi main jauh-jauh!” Dania menyuruh adiknya tidur persis menghalau anak ayam masuk reban.
Yalah! Selamat malam kakak kesayanganku,” Farah mengucapkan selamat malam.
“Ya. selamat malam juga wahai adik kesayanganku,” Dania turut membalas.
Dia menyambung kembali kerjanya. Sesekali dia tersenyum kecil apabila mengenangkan perkara tadi. Jika dengan adiknya, memang sukar untuk berahsia. Pasti adiknya itu akan tahu juga walau dia cuba menyimpan. Itulah satu-satunya adik yang dia ada. Tempat untuk dia berkongsi suka dan duka.
****
“You, kenapa tak jawab call I? Mesej pun tak balas,” tanya Fahmi secara tiba-tiba.
Terperanjat Farah apabila disergah sebegitu. Dia merenung anak mata Fahmi dalam-dalam. Sungguh dia geram dengan sikap Fahmi yang terburu-buru itu. Mujur sahaja dia tidak menghempuk kepala lelaki itu dengan begnya yang berisi netbook. Jika tidak sudah jadi satu hal pula.
“Yang awak pagi-pagi lagi dah sergah saya kenapa? Ada perkara penting ke yang awak nak sampaikan? Saya sibuklah semalam. Nak usik handphone pun tak sempat. Pagi tadi baru saya perasan mesej awak. Itu pun saya tak sempat nak baca,” berkerut dahi Farah.
“You sibuk buat apa?” tajam anak matanya merenung Farah.
“Perlu ke saya bagitahu awak?” Farah membalas soalan Fahmi dengan soalan juga.
“Mestilah perlu. You kan cinta hati I. Tak lama lagi pun you akan jadi isteri I,” Fahmi menjawab dengan riak wajah yang agak gatal.
“Reason yang sangat tak masuk akal. Awak jangan nak merepek ya. Siapa nak kahwin dengan awak? Dahlah, saya ada kelas ni. Assalamualaikum,” Farah melangkah pergi usai memberi salam.
Berkejar Farah masuk ke dewan kuliah. Niatnya cuma satu. Lari daripada Fahmi. Dia sudah penat dengan semua ini. Dia segera mencari tempat duduk untuk melepaskan lelah. Pagi-pagi lagi dah berpeluh. Ni semua Fahmi punya pasal. Gedik punya lelaki. Farah sudah mula membebel dalam hati.
“Hai, apa hal muka kau nampak letih je ni? Selalunya semangat je,” tegur Lila.
“Mana tak letihnya. Mamat tulah punya hal. Ada ke patut dia tanya kenapa aku tak jawab call dia malam tadi. Sengal betul,” rungut Farah.
“Kan aku dah cakap semalam. Aku rasalah, dia tu takkan pernah berhenti kejar kau. Unless kau dah kahwin,” selamba sahaja jawapan Lila.
“Gila ke apa? Mustahillah sampai macam tu sekali. Cukuplah tu, taknak cakap pasal dia lagi. Buat spoil mood aku je,” muncung Farah sudah sedepa.
“Okey ma’am! Nak cakap pasal apa ni?” Lila bersuara ceria.
“Semalam aku ada beli novel Te Amo Sayang. Tapi aku tak ada masa nak baca lagi. Sempat baca sinopsis je,” laju Farah membuka topik.
“Wah, aku memang nak beli buku tu. Tak sangka kau dah beli dulu,” teruja sahaja suaranya.
“Yeke? Kau mesti dah tahu jalan cerita serba sedikit kan?” tanya Farah.
“Adalah sikit. Novel ni cerita tentang kisah percintaan antara seorang pramugara iaitu Faaeq Rifqi dengan editor yang bernama Sara Irdina. Macam-macam konflik yang diorang hadapi. Sampai satu tahap kau akan rasa macam nak bunuh je Faaeq tu. Tapi mesti tak sampai hati punya. Sebab Faaeq tu handsome. Itu mengikut review yang aku bacalah,” Lila menceritakan apa yang dia tahu.
“Amboi, handsome sangat ke Faaeq tu?” keningnya diangkat.
“Ermm, cuba kau bayangkan muka Fadlan VIP tu. Lebih kurang macam tulah muka Faaeq. Tapi Faaeq lagi handsome,” puji Lila.
“Okey! Pandai ya novelisnya pilih hero yang sesuai,” penuh perasaan Farah berkata.
“Mestilah. Novelis kesayangan aku tu,” balas Lila.
Mereka berhenti berbual apabila Puan Gee masuk ke dalam dewan. Kelas berjalan dengan lancar. Puan Gee memberikan assignment sebelum mengakhiri kelasnya. Farah dan Lila merancang untuk pergi makan tengah hari bersama-sama. Sambil tu bolehlah mereka membincangkan hal berkaitan assignment yang Puan Gee berikan.
“Farah, jom lunch dengan I!” ajak Fahmi. Sudah lama dia menunggu Farah keluar dari dewan kuliah.
“Saya nak lunch dengan Lila. Ajaklah kawan-kawan perempuan awak tu,” pelawaan Fahmi ditolak dengan baik.
“Tapi I nak lunch dengan you juga,” Fahmi berkeras.
“Jangan merepeklah. Jom Lila kita pergi,” Farah menarik Lila.
“Jomlah temankan I lunch,” degil sungguh Fahmi.
“Farah, pergilah temankan dia. Kesian pula aku tengok. Aku boleh lunch sorang-sorang. Pasal assignment tu nanti aku datang rumah kau. Kita bincang sama-sama,” Lila memujuk Farah. Dia tidak mahu Farah dan Fahmi bergaduh.
“Tapi…” belum sempat Farah menghabiskan ayat, Lila sudah memintas.
“Tak apa, pergilah! Kang mati kebulur pula anak orang tu,” tajam sindiran Lila kepada Fahmi.
“Fine! Nanti aku call kau ya Lila,” akhirnya Farah bersetuju.
“Okey,” Lila segera berlalu pergi.
Entah apa yang lelaki ni tak faham dengan perkataan tak nak. Dah aku kata tak nak tu tak naklah. Main paksa-paksa orang pula. Ingat aku ni khadam dia ke nak ikut je mana dia pergi. Nampak sangat tak boleh terima penolakan. Rungut Farah dalam hatinya. Dia membuntuti Fahmi perlahan-lahan. Kalau boleh nak je dia lari. Tapi nanti Fahmi tarik dia pula. Lebih baik dia menurut sahaja kata-kata Fahmi.
Sampai sahaja di Restoran Bayu, Fahmi segera memesan makanan. Farah hanya membiarkan Fahmi memilih menu. Dia tiada hati hendak menikmati makan tengah hari. Kalaulah Fahmi tiada di hadapannya, pasti selera makannya tidak terbantut.
“Kenapa awak ajak saya makan tengah hari dengan awak?” Farah tidak sabar. Dia malas hendak berlama-lama dengan Fahmi.
“Aik, takkan nak lunch dengan you pun tak boleh?” Fahmi sengaja menguji kesabaran Farah.
“Bukan tak boleh. Cuma pelik,” perlahan sahaja suara Farah.
“Tak ada apa yang peliklah,” biasa sahaja intonasi suara Fahmi.
“Saya tahu awak ada sesuatu nak cakap dengan saya,” Farah melihat-lihat wajah Fahmi. Tetapi air muka Fahmi kelihatan biasa sahaja.
“Okey, tak guna I berselindung lagi.” Dia senyum ketika meluahkan bicara.
“So cakaplah apa yang awak nak cakap,” Farah memberi kebenaran.
“Tak lama lagi final exam. Lepas tu kita akan graduate. You dah fikir ke nak kerja kat mana?” tanya Fahmi.
Hendak terjatuh rahang Farah mendengar soalan Fahmi. Soalan tu je ke yang dia nak tanya. Buang masa betullah. Macam tak ada waktu lain je. Bukannya nak graduate esok pun. Masih ada beberapa bulan lagi.
“Dah!” pendek sahaja jawapan Farah.
“So you nak kerja kat mana?” tanya Fahmi lagi.
“Dekat syarikat ayah sayalah,” Farah menjawab polos.
“Kenapa? You tak nak cuba kerja kat syarikat lain ke? Kalau you nak, I boleh suruh papa I simpankan jawatan untuk you.” Dia tersenyum-senyum.
Farah hanya mampu menelan liur. Sekarang dia faham apa agenda sebenar Fahmi. Rupa-rupanya dia mahu bekerja sebumbung dengan Farah. Patutlah beria-ia tanya. Lelaki ini memang tak pernah faham atau pura-pura tak faham. Farah lagi mahu menjauhkan diri adalah.
“Terima kasih jelah. Ayah saya suruh saya bekerja dengan dia,” Farah memberi alasan kukuh untuk mengelak.
“Tak nak cari pengalaman dulu ke?” Fahmi seolah-olah mendesak.
“Kakak saya dah bekerja di syarikat Marmara Trading Sdn.Bhd. So ayah saya memang mengharapkan saya,” yakin sahaja dia membalas pertanyaan Fahmi.
Sengaja Farah berkata sebegitu. Walhal kakaknya bekerja di Marmara Trading Sdn.Bhd hanya untuk sementara waktu. Katanya hendak mencari pengalaman sebelum berkhidmat di syarikat ayah. Tidak lama lagi pasti kakaknya akan meletakkan jawatan dan mula bekerja di syarikat milik keluarga mereka.
“Kalau macam tu tak apalah. Tapi kalau you berubah fikiran jangan segan-segan beritahu I,” nada suaranya mengendur.
Farah tersenyum mendengar kata-kata Fahmi. Memang taklah dia hendak berubah fikiran. Kalau ya pun, tidak mungkin dia memilih untuk bekerja dengan Fahmi. Sedaya upaya dia cuba untuk mengelak, takkanlah dia hendak menyerah diri pula nanti.
“Okey! Tengoklah macam mana nanti,” Farah menjawab sekadar menjaga hati Fahmi.
Geram macam mana pun, dia masih punya budi bahasa. Itulah peribadi Farah Tasneem yang sebenar. Kerana itu jugalah dia dihormati. Mereka meneruskan perbualan mengenai hal-hal di kolej. Saat ini, Farah benar-benar berharap masa cepat berlalu. Dia ingin segera pulang.
****
“Ibu, adik dah balik!” Farah melaung dari ruang tamu,
“Assalamualaikum adik,” perli Puan Junaidah.
“Waalaikumussalam ibu, hehe!” Farah tersengih-sengih.
Selalunya dia yang perli orang sebab tak bagi salam. Hari ini dia pula yang kena. Nasib baik dengan ibu. Kalau dengan orang lain bikin malu je.
“Kenapa balik lambat?” Puan Junaidah bertanya.
“Tadi adik lunch kawan. Ibu masak apa?” Farah mengalih topik perbualan.
Dia bimbang jika Puan Junaidah bertanya siapa gerangan kawannya itu. Takkan hendak mengaku dia keluar makan dengan Fahmi. Tak memasal je kalau Puan Junaidah fikir dia ada apa-apa hubungan dengan Fahmi. Nak menipu jatuh derhaka pula nanti.
“Ibu masak ayam goreng berempah, tempe masak lemak cili api dengan sawi goreng je. Adik nak makan ke?” tanya Puan Junaidah.
Terbuka selera Farah. Tadi dia makan chicken chop sedikit sahaja. Padahal itu merupakan salah satu makanan kegemarannya. Semua gara-gara Fahmi.
“Nak! Sedap tu ibu masak,” puji Farah.
“Pergi tukar baju tu dulu. Solat dulu kalau belum solat lagi. Nanti dah siap baru turun makan,” suruh Puan Junaidah.
“Baik ibu!” Farah menurut sahaja. Dia harus tunaikan kewajipannya dengan segera.
Selesai sahaja memunaikan solah Dzuhur, Farah turun ke bawah. Dia mencari-cari Puan Junaidah. Farah ingin mengajak ibunya makan bersama-sama.
“Ibu, ada kat mana tu?” Farah sedikit menjerit.
“Ya sayang, ibu ada kat sini. Kenapa?” Puan Junaidah mengerutkan dahinya.
“Jom makan dengan adik,” Farah mengajak.
“Tadi ibu dah makan dengan ayah,” balas Puan Junaidah.
“Kalau macam tu, temankan adik makan. Tak bestlah makan sorang-sorang,” tersengih-sengih Farah. Persis kerang wangi sahaja rupanya.
“Iyalah, ibu temankan. Jom!” Puan Junaidah melangkah ke dapur.
Farah mengikut dari belakang. Manja sungguh dia dengan ibunya. Kalau Dania nampak ni, pasti dia cemburu. Umur sahaja sudah besar panjang, tapi perangai masing-masing mengalahkan budak kecil.
“Kakak ada cakap tak dia balik pukul berapa?” tiba-tiba sahaja Farah teringatkan kakaknya itu.
“Tak ada pula. Balik macam biasalah kot. Kenapa tiba-tiba tanya?” pelik Puan Junaidah dengan anaknya yang seorang ni.
“Saja tanya. Kalau dia balik awal, ingat nak ajak pergi tengok wayang. Nanti main ajak je, manalah tahu dia penat. Takkan nak tinggalkan dia sorang-sorang,” jelas Farah.
“Amboi, adik tak ada kelas ke esok? Kalau nak tengok wayang tunggulah hujung minggu. Kakak tu banyak kerja. Kalau balik awal pun penat juga,” balas Puan Junaidah.
“Hujung minggu? Adik on je. Bagitahu ayah jangan pergi mana-mana tau. Dah lama kita tak keluar sama-sama. Selalunya yang keluar adik dengan akak je,” manja sahaja suara Farah.
“Yalah, nanti ibu cakap dengan ayah. Adik nak tengok cerita apa sebenarnya?” sengaja Puan Junaidah bertanya.
“The Rise of the Guardians, hehe!” Farah tersenyum menampakkan giginya.
“Ingatkan nak tengok cerita Istanbul Aku Datang!” Puan Junaidah membalas.
“Tu pun nak tengok juga,” pantas Farah menjawab.
“Amboi tamak. Semua dia nak tengok,” Puan Junaidah mencebik bibir. Farah ketawa sambil menekup mulutnya.
****
Hari ini Farah pulang sedikit lewat. Dia sibuk menyiapkan assignment bersama Lila. Esok Puan Gee ingin melihat hasil kerja mereka.
“Adik, sini kejap! Ibu nak cakap sesuatu,” Puan Junaidah menggamit anaknya.
“Ada apa ibu?” tanya Farah.
“Tak lama lagi adik nak graduate kan?” Puan Junaidah membalas soalan Farah dengan soalan juga.
“Aah, ada lagi beberapa bulan. Kenapa? tanya Farah lagi.
“Tadi ada yang datang meminang adik. Kalau adik setuju, lagi sebulan adik kena bertunang dengan dia. Ibu tengok baik budaknya. Tapi ibu tak paksa,” lembut sahaja suara Puan Junaidah.
“Ibu ni biar betul. Entah-entah dia pinang akak tak?” sukar untuk Farah percaya. Dia sudah mula membayangkan yang bukan-bukan.
“Apa pula kakak. Rombongan yang nak meminang kakak datang minggu depan. Yang datang tadi rombongan meminang adik,” Puan Junaidah menjelaskan.
Farah sudah cuak. Dia perlu pastikan siapa yang datang meminangnya. Tidak dia sangka, dalam usia muda ini sudah ada yang datang meminangnya. Yang lebih memeranjatkan lagi, kakaknya juga bakal dipinang. Cantik sangat ke anak Encik Jamal dan Puan Junaidah ni.
“Siapa nama lelaki yang pinang adik tu?” Farah bertanya pantas.
“Tariq Farihan,” jawab Puan Junaidah.
Farah menghela nafas lega. Jadi andaiannya tidak benar sama sekali. Bimbang sungguh jika Fahmi yang datang meminangnya.
“Mana dia kenal adik?” Farah bertanya pelik.
“Tariq tak kenal adik pun. Encik Rashdan tu kawan baik dengan ayah. Dia berkenan dengan adik. Tu yang dia pinang adik untuk anak dia tu,” Puan Junaidah tersenyum.
“Nantilah adik fikirkan,” pantas Farah menjawab.
“Baiklah. Tapi kalau tak nak jangan paksa diri,” balas Puan Junaidah.
Farah segera naik ke biliknya. Dia memikirkan kata-kata ibunya. Ingin sahaja dia menjawab tak nak. Tapi entah kenapa tidak terluah di bibir. Dia seolah-olah merelakan pertunangan itu terjadi. Mungkin dia perlu istikharah. Kerana sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa keputusannya yang sebenar. Hendak menolak, ibu kata baik. Hendak terima, bimbang indah khabar daripada rupa. Serabut fikiran Farah dibuatnya.
Setelah tiga malam berturut-turut melakukan solat istikharah, Farah yakin dengan jalan yang dipilihnya. Bukankah dulu dia pernah berkata hatinya Allah yang pegang. Mungkin Allah sedang menggerakkan hatinya untuk memberi peluang kepada yang layak menerima. Dia yakin dengan segala ketentuan Allah.
“Ibu, adik dah buat keputusan. Kalau betul lelaki itu jodoh adik, adik terima. Adik yakin dengan pilihan ibu,” lancar tutur katanya.
Jauh di sudut hatinya, dia masih ragu. Tetapi andai keputusannya itu boleh membahagiakan ibu dan ayah dia rela. Farah dapat lihat sinar pengharapan dari mata ibunya. Dia bimbang jika ibunya terkilan tidak dapat bermenantukan Tariq Farihan. Lelaki yang baik pada pandangan mata ibunya. Lagipun dia belum kenal lagi gerangan bakal tunangnya.
“Betul ke ni? Adik jangan paksa diri ya,” serba salah sahaja suara Puan Junaidah. Fikirnya mungkin dia terlalu mendesak.
“Betul ibu. Adik dah janji yang adik nak bahagiakan ibu. Lagipun adik tak terburu-buru buat keputusan ni. Adik dah istikharah tiga malam berturut-turut.,” tenang Farah meluahkan kata-katanya.
“Ibu sayang adik sangat-sangat. Ibu yakin Tariq boleh bahagiakan adik. Nanti Tariq akan datang masa majlis pertunangan. Waktu tu bolehlah adik curi-curi pandang dia,” usik Puan Junaidah.
“Apalah ibu ni. Entah-entah dia yang nak curi-curi tengok adik. Anak ibu ni kan comel,” Farah sengaja memuji diri sendiri. Dia tidak mahu suasana menjadi hambar.
“Wah, masuk troli tolak sendiri ya.” Puan Junaidah ketawa.
“Yalah. Kalau adik tak tolak sendiri siapa nak tolong tolakkan,” balas Farah.
“Tariq ada. Suruhlah dia tolong tolakkan,” tiba-tiba sahaja Dania menyampuk.
“Ibu, tengok kakak ni. Macamlah dia tak,” adu Farah.
“Walaupun tarikh pertunangan kita sama, yang penting adik kena pinang dulu. Akak ni masih available lagi,” selamba sahaja Dania berkata.
“Kakak jangan nak buat pasal ya. Kalau Daniel dengar nanti, baru kamu tahu. Jangan menangis sambil hentak-hentak kaki pula,” perli Puan Junaidah.
“Erkkk, apa ibu ni? Tak baik tau cakap macam tu. Kakak gurau je. Budak kecik ni makin lama makin manja. Saja nak usik dia,” balas Dania pula.
“Kakak dah besar sangat ke? Tahulah dah graduate. Beza umur kita ni setahun je tau,” Farah menjulingkan matanya.
“Dahlah, malas nak layan. Baik akak layan anime,” Dania bangun lalu menapak ke biliknya.
“Layanlah anime tu puas-puas. Nanti dah kahwin susah,” giat Farah lagi.
“Bisinglah adik ni,” jerit Dania.
****
“Farah, kenapa sejak kebelakangan ni kau macam lain je? Aku tengok macam orang kena paksa kahwin pun ada juga. Fahmi kacau kau lagi ke?” soal Lila. Setahu dia sejak Farah dan Fahmi makan tengah hari bersama, tiada lagi dia mendengar Farah mengadu tentang Fahmi.
“Err, mana ada. Aku biasa jelah,” buru-buru Farah menjawab.
Dia masih belum bersedia hendak memberitahu Lila apa yang sedang terjadi. Dia tidak mahu jika Lila berfikir bukan-bukan. Biarlah hal ini menjadi rahsia dulu. Tetapi Farah masih risau. Soalan Lila sebentar tadi seolah-olah dia tahu apa yang sedang berlaku. Padahal Lila cuma serkap jarang.
“Kalau ada apa-apa yang kau nak kongsikan dengan aku, cakap ya. Jangan pendam sorang-sorang,” kata Lila.
“Haa, yalah! Bila aku nak kongsi something mesti aku akan call kau,” balas Farah pula.
“Okey! Mungkin kau tak ready lagi nak bagitahu. Jom balik. Takkan kau nak bertapa kat dalam dewan ni pula,” biasa sahaja intonasi suara Lila.
“Err, okey jom!” tergagap-gagap Farah membalas.
Dia tidak menyangka Lila akan berkata sebegitu. Sangkaannya benar. Rakan karibnya itu memang pandai menebak hati dan perasaannya. Mungkin benar apa yang dikata Lila. Dia tidak patut merahsiakan hal itu. Lagipun bukannya benda buruk. Cuma dirinya sahaja yang masih belum bersedia.
Andai sahaja dia punya kekuatan. Andai sahaja dia boleh meluahkan apa yang terbuku di sudut hatinya. Kenapa dia mesti rasa begini. Bukankah dia sendiri yang membuat keputusan. Atau ini memang perkara biasa bagi seseorang yang bakal bernikah dengan pilihan keluarga. Andai sahaja dia punya jawapan. Pasti tidak akan ada pelbagai persoalan yang bermain di benaknya.
Pada sebelah malam, Farah mengambil keputusan menelefon Lila. Dia perlu mendengar pendapat dan nasihat daripada Lila. Lagipun majlis pertunangannya hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.
“Assalamualaikum,” Farah memberi salam setelah Lila mengangkat telefonnya.
“Waalaikumussalam. Ada apa telefon aku ni? Nak bincang hal assignment ke?” tanya Lila setelah menjawab salam.
“Tadi kau kata kalau ada masalah jangan pendam sorang-sorang. Aku nak luahkan kat kaulah ni. Sebab tu aku call,” Farah memulakan perbualan.
“Amboi, dah readylah ni ya? Ermm, tunggu kejap. Aku nak masuk bilik dulu. Nanti susah pula aku nak menghayati cerita kau,” sempat lagi Lila bergurau.
“Ceit! Kalau dah masuk bilik bagitahu aku,” balas Farah.
“Okey dah. Storytelling time,” ceria sahaja suara Lila. Dia fikir cerita Farah ini macam bed time story agaknya.
“Tadi kau kata muka aku macam orang kena paksa kahwin kan?” teragak-agak sahaja Farah bertanya.
“Aah! Kau jangan cakap yang kau memang betul-betul kena paksa kahwin,” balas Lila.
“Well, not really! Tapi lagi dua minggu insya-Allah aku akan jadi tunangan orang,” perlahan-lahan Farah menuturkan ayat. Dia tidak mahu Lila terkejut.
“What? You kidding me right,” jelas sekali Lila terkejut.
“Aku serius ni,” keluh Farah.
“Cerita dengan aku secara terperinci sekarang. Boleh pengsan aku kalau dengar cerita kau yang tersekat-sekat ni. Saspens tau,” Lila berkata sambil mengurut dadanya.
“Okey, aku nak ceritalah ni. Kau tu yang asyik terkejut. Lepas tu menyampuk. Macam manalah aku tak berhenti,” bebel Farah pula.
“Eh mak nenek ni, aku suruh ceritalah. Yang kau nak mula membebel ni kenapa? Hailaa,” Lila membalas bebelan Farah.
“Fine! Dengar baik-baik,” kata Farah.
“Yes ma’am,” Lila tabik hormat walaupun dia tahu Farah tidak dapat melihat.
Maka bermulalah hikayat Farah Tasneem versi II pada malam itu. Versi I sudah diceritakan pada Dania Irdina. Kisahnya pula berkaitan dengan Zulfahmi. Berlainan pula dengan versi yang diceritakan pada Lila. Kali ini hanya ada kisah Tariq Farihan yang tidak pernah dikenali.
“Berapa kau punya peratus keterbukaan hati untuk terima dia?” soal Lila sesudah Farah menamatkan hikayatnya.
“70 peratus kot. Aku pun tak sure,” jawab Farah.
“See! 70 peratus tu dah cukup banyak sebenarnya. Dalam soal kau ni, kau sebenarnya dah boleh terima dia. Cuma kau tak yakin dengan keputusan kau, tak yakin dengan diri sendiri. Bagi aku, kau patut bersyukur sebab Allah gerakkan hati kau sekarang. Cuba kau bayangkan sampai bila-bila Allah tak gerakkan hati kau tu. Lagipun ibu kau sendiri cakap kan, Fariq tu lahir dalam keluarga yang baik-baik. Pekertinya pun mulia,” panjang lebar Lila menjelaskan.
“Tariqlah nama dia,” Farah membetulkan.
“Amboi, macam marah je aku salah sebut nama dia. Petanda baik tu,” usik Lila pula.
“Heh! Aku cuma betulkan apa yang salah je okey,” tukas Farah.
“Cehh! Kau fikirlah semasak-masaknya. Tapi jangan sampai hangus pula,” Lila cuba melawak.
“Yalah. Anyway thanks sebab sudi dengar masalah aku,” suaranya Fara sudah mula kedengaran ceria.
“Bukan masalah sebenarnya. Cuma tak ada keyakinan diri. Ke kau takut sebenarnya?” tanya Lila lagi.
“Takut? Takut apa pula?” jawab Farah dengan soalan juga.
“Takut kalau-kalau ibu kau tersalah tafsir perangai sebenar Tariq tu,” selamba saja Lila menjawab.
“Mungkin,” Farah membalas pendek.
“Percaya pada diri kau sendiri. Hanya dengan cara tu je kau boleh pastikan. Pertunangan kau dengan dia pun lagi dua minggu je kan. So better late than never,” ujar Lila memberi semangat.
“I will. Thanks for your advice. Really appreciate it,” pantas Farah berkata.
“Most welcome. Okey ada apa-apa lagi ke? Aku dah ngantuk ni,” kata-kata Lila mengundang tawa Farah.
“Kalau ngantuk bagitau awal-awal. Rasanya tak ada apa-apa lagi. Good night and sweet dream,” Farah mengucapkan selamat malam.
“Good night too. Mimpi indah-indah juga. Assalamualaikum,” Lila memberi salam.
“Waalaikumussalam,” Farah mematikan telefon setelah menjawab salam Lila. Dia juga ingin belayar ke alam mimpi.
****
Saat ini, Dania dan Farah menanti waktu sahaja untuk menjadi tunangan orang. Mereka akan bernikah dengan pasangan masing-masing setelah Farah selesai menduduki final exam. Farah melihat jari manisnya yang tidak lama lagi akan tersarung cincin. Tapi tidak pula dia ketahui bagaimana rupa cincin itu.
Di ruang tamu, Encik Jamal dan Puan Junaidah sibuk melayan keluarga Daniel dan keluarga Tariq. Farah mencuri pandang dari dalam bilik. Dia ingin melihat wajah Tariq. Sedang dia mencari-cari, seorang lelaki tampan tersenyum ke arahnya. Buru-buru dia menutup pintu.
“Adik ni dah kenapa? Kelam kabut tak pasal-pasal,” Dania bertanya pelik.
“Mana ada apa-apa. Kan adik relax je ni,” padahal dadanya sudah terasa hendak pecah.
“Nak tipu orang lain silakan. Tapi kalau nak tipu akak no way. So tell me what happen just now,” Dania sudah bertukar garang.
“Tak payah nak speaking sangatlah kan,” Farah mencebik bibir.
“Jangan nak putar belit cerita sangatlah kan,” balas Dania pula.
“Heh! Adik rasa adik dah nampak Tariq,” Farah segera menundukkan wajahnya.
“Dah tu? Adik tak berminat dengan dia ke?” pertanyaan Dania disambut Farah dengan senyuman.
“Bukan tak berminat. Tadi dia senyum kat adik,” balas Farah.
“Senyum pun salah?” Dania menggaru kepalanya yang dilitupi tudung.
“Bukan sebab tulah. Adik malu bila dia senyum kat adik,” comel sungguh jawapan Farah. Pipinya juga sudah kemerah-merahan.
“Hahaha! Kelakarlah adik ni. Tariq senyum pun boleh malu ya. Kalau Fahmi senyum adik malu tak?” uji Dania.
“Kalau Fahmi senyum adik rasa nak lari je. Muka macam Kasanova Malaya. Nak hempuk pun ada juga. Gatal sangat,” komen Farah.
“Sebab muka Tariq tu ada nur kot, haha!” usik Dania.
“Mungkin juga,” akui Farah.
Dania pula yang tercengang mendengar jawapan adiknya. Betulkah ini Farah Tasneem Binti Jamal. Sangat pelik bila seseorang yang sering sahaja lari daripada lelaki berkata sebegitu. Atau mungkin benar inilah misteri jodoh.
Pintu bilik dikuak secara tiba-tiba. Kelihatan dua orang wanita yang agak berusia berada di samping Puan Junaidah. Mereka segera masuk. Terkaku Dania dan Farah. Dania yang selalunya bising turut terkelu. Pandai pula diam apabila bakal ibu mertua masuk bilik.
“Cantik anak-anak awak Jun,” puji salah seorang dari mereka.
“Itulah. Kalau Tajul belum kahwin memang saya pinang dua-dua anak awak,” sahut seorang lagi. Pecah ketawa mereka bertiga. Dania dan Farah pula yang terpinga-pinga.
“Meroyan pula si Daniel tu nanti,” wanita itu membalas. Selamba sahaja dia berkata.
“Ha, Dania. Duduk sini. Ibu Daniel nak sarung cincin tu,” Puan Junaidah menggamit Dania.
Dania menurut sahaja. Perlahan-lahan dia bangun dan duduk seayu yang mungkin. Dia bersalam dengan Mak Cik Wirna setelah cincin selamat tersarung di jarinya. Kemudian tiba giliran Farah pula. Dia duduk di hadapan Mak Cik Suri. Terbit senyuman manis di wajahnya. Bangga hatinya apabila melihat cincin yang tersarung elok di jari manisnya. Nampak padan sekali. Pandai Tariq pilihkan untuknya.
“Meh keluar. Daniel dengan Tariq dah tunggu tu. Tariq pun tak sabar nak kenal dengan Farah,” Puan Junaidah mengajak anak-anaknya keluar. Farah pula sudah tidak tentu arah sedangkan Dania kelihatan tenang.
“Adik, jangan risau ya. Tenang okey. Insya-Allah semua akan berjalan dengan lancar,” Dania membisikkan kata-kata semangat kepada adiknya.
“Thanks akak,” Farah cuba tersenyum.
“You are welcome. Dah jom,” Dania menarik tangan Farah.
Mereka menghampiri ruang tamu. Di situ hanya ada Daniel dan Tariq. Dania menolak Farah manakala Farah pula menolak Dania. Mereka saling bertolakan sehingga ada satu suara yang menegur.
“Assalamualaikum,” Dania dan Farah menoleh.
Kelihatan Tariq sudah berdiri di hadapan mereka. Daniel pula baru bangun dari sofa dan sedang menuju ke arah mereka. Tahulah mereka siapa yang memberi salam tadi.
“Wa…waalaikumussalam,” mereka menjawab serentak tetapi tergagap-gagap.
Daniel memberi isyarat kepada Dania supaya berganjak ke tempat lain. Mereka ingin memberi peluang kepada Tariq dan Farah untuk berbual dengan selesa. Lagipun ini pertemuan mereka yang pertama. Jadi sudah tentu masing-masing ingin bersuai kenal.
“Hmm, kita duduk dekat luarlah ya. Senang sikit nak berbual,” Tariq mengajak.
Caranya sudah seperti tuan rumah. Padahal sepatutnya Farah yang mengajak dia. Tetapi dia faham dengan keadaan Farah yang agak kekok. Maka dia perlu mengambil langkah terlebih dahulu.
Di luar masing-masing mengambil tempat. Mereka memilih untuk duduk di tempat yang boleh dilihat orang. Bukan apa, bimbang kalau-kalau ada jiran yang menabur fitnah terhadap mereka.
“Ceritalah tentang diri awak. Takkan nak diam je. Ataupun awak nak saya mulakan dulu?” Tariq mencari jalan untuk membuat Farah membuka mulut.
“Mungkin awak patut mula dulu,” perlahan sahaja suaranya.
“Apa yang awak nak tahu pasal saya?” duga Tariq. Dia ingin benar melihat respon Farah yang kaku itu.
“Apa-apa saja yang awak rasa awak nak bagitahu saya. Saya tak kisah pun,” balas Farah pula.
Walhal dalam hatinya ada pelbagai jenis soalan yang ingin dia tanya. Tetapi dia masih kekok. Lagipun biarlah Tariq bercerita dahulu. Jika ada apa-apa nanti barulah dia akan bertanya. Boleh juga dia menguji kejujuran Tariq Farihan yang telah berjaya menambat hati ibu dan ayahnya untuk dibuat menantu.
“Okeylah kalau awak dah cakap macam tu. Nama saya Tariq Farihan. Umur saya 26 tahun. Saya seorang engineer walaupun cita-cita saya yang sebenarnya ingin menjadi seorang programmer. Hari ini saya bertunang dengan gadis pilihan keluarga saya. Tapi saya tengok dia macam tak sudi je bertunang dengan saya. Mungkin sebab saya ni bukan taste dia kot. Tapi tak apalah, saya okey je. Bila dah nikah nanti confirm dia jatuh cinta dengan saya…” belum tamat lagi ceritanya, sudah dipotong oleh Farah.
“Awak ni cerita pasal diri awak atau menyindir saya sebenarnya? Dahlah intro macam dalam biodata,” ujar Farah.
“Saya cerita kisah hidup sayalah ni. Mana ada saya menyindir awak. Tak tahulah pula awak terasa,” selamba Tariq membalas.
“Eee, geramnya!” Farah sudah menarik-narik bajunya melepaskan geram.
“Awak geram tengok muka saya yang handsome ni ke?” usik Tariq.
“Jangan nak perasan sangatlah kan,” Farah menjulingkan matanya.
“Berjaya juga akhirnya,” kata Tariq pula
“Apa yang berjaya?” soal Farah. Pelik dengan kata-kata Tariq.
“Saya berjaya buat awak cakap, saya berjaya buat awak marah dan saya berjaya buat awak tunjukkan diri awak yang sebenar. Awak tak nak ucap tahniah kat saya ke?” pantas Tariq membalas pertanyaan Farah.
“Hahaha! Awak ni kelakarlah. Takkan tu pun nak ucap tahniah kot. Merepek jelah. Macam budak kecik,” Farah mengomel.
“Well! Saya berjaya buat awak ketawa juga,” keningnya diangkat.
“Err, awak ni manusia yang licik. Tapi boleh saya tahu apa motif awak buat macam ni?” tanya Farah lagi.
“Sebab saya nak kenal awaklah. Kalau nak tunggu awak cerita entah sampai bila,” Tariq mengenyit matanya.
“Awak ni peliklah. Anyway saya nak tegakkan kebenaran,” Farah buat-buat tidak nampak apabila Tariq mengenyit mata kepadanya.
“Kebenaran apakah?” nada suara Tariq sudah berubah. Dahinya digaru.
“Tadi awak cakap saya ni tak sudi bertunang dengan awak. Lepas tu awak kata mungkin awak bukan taste saya. Kalau awak nak tahu perkara yang sebenar kenalah tunggu lepas akad nikah. Nanti saya jelaskan pada awak,” lancar Farah berkata.
“Tadi awak kata nak tegakkan kebenaran?” kali ini Tariq menggaru kepalanya pula.
“Saja je nak buat ayat gempak. Lagipun tak syoklah cakap sekarang. Saya pun belum kenal awak dengan sepenuhnya,” jawab Farah dengan senyuman penuh makna.
“My first impression, awak ni memang nakal. Plus suka membebel mungkin,” giliran Tariq pula tersenyum.
“Okey, saya rasa cukuplah untuk hari ni. Lain kali masih boleh berkenalan lagi kan. Jom masuk,” ajak Farah. Kali ini dia memainkan peranannya sebagai cik puan rumah.
“Ya cik tunang. Nanti final exam buat elok-elok ya,” ujar Tariq sambil melangkah masuk ke dalam rumah diiringi Farah.
Dia melabuhkan punggung di sebelah Daniel. Ahli keluarga yang lain pun mula keluar dari ruang berehat. Dania dan Farah pula menuju ke dapur. Mereka ingin membantu Puan Junaidah yang sedang sibuk menyediakan hidangan untuk dijamu kepada tetamu.
****
Sudah agak lama Fahmi tidak menganggu Farah setelah mereka makan tengah hari bersama. Tetapi hari ini lain pula ceritanya. Tiba-tiba sahaja dia berpesan supaya Farah menunggunya di perpustakaan sebelum pulang.
Farah mengajak Lila supaya menemankannya tetapi Lila ada hal pula. Terpaksalah dia pergi berseorangan. Hendak pulang terus tidak sampai hati pula. Manalah tahu kalau Fahmi memerlukan bantuannya.
Di perpustakaan Farah mencari kelibat Fahmi tetapi tidak berjumpa. Hendak kata dia terlewat mustahil. Risau pula dia jika Fahmi sengaja mengenakannya. Setelah berfikir, Farah membuat keputusan mengambil beberapa buah buku dan duduk di tempat yang mudah untuk dilihat orang keluar masuk.
“Farah, sorry I’m late! I baru habis kelas. You dah lama ke tunggu?” buru-buru Fahmi duduk.
Belum sempat melepaskan lelah lagi dia sudah bercakap macam peluru berpandu. Seperti ingin menutup kesalahan sahaja. Farah sendiri tidak tahu hendak percaya atau pun tidak dengan kata-kata lelaki di hadapannya ini.
“Tak apa. Saya pun baru 5 minit duduk di sini. Ada apa awak nak jumpa dengan saya ni?” Farah terus bertanya. Dia tidak mahu berlengah-lengah lagi.
“Since when you pakai cincin?” nada suara Fahmi sudah berubah.
“Sejak saya bertunanglah,” lancar kata-kata itu keluar dari mulutnya.
“What? Takkanlah. Jangan nak bergurau dengan I Farah,” terketar-ketar suara Fahmi menahan amarah.
“Fahmi, saya tak berguraulah. Saya memang dah bertunang. Insya-Allah beberapa minggu lepas final exam saya akan berkahwin,” tenang suara Farah.
Dia tidak sedar Fahmi terluka mendengar pengakuannya. Saat ini Fahmi lebih rela jika Farah berbohong daripada jujur. Dia tidak sanggup melepaskan Farah ke tangan orang lain. Di saat ini sifat pendendamnya telah muncul. Baginya jika dia tidak dapat Farah, orang lain juga tidak boleh mendapatnya. Dia percaya Farah tertulis untuknya sedangkan dia alpa bahawa Allah itu sebaik-sebaik perancang.
“You bertunang dengan siapa?” lirih sahaja suaranya.
“Dengan Tariq Farihan. Pilihan keluarga saya,” yakin sekali Farah menjawab.
“Semoga berbahagia,” ucap Fahmi tanpa nada. Tanpa Farah ketahui Fahmi sedang merancang sesuatu untuk menghalang pernikahan Farah daripada berlaku.
“Thanks. Hmm, apa yang you nak cakap tadi?” soal Farah kembali.
“Farah, I rasa I kena balik sekarang. Pasal tadi tu better you abaikan jelah. I pun dah lupa nak cakap apa,” tercengang Farah melihat Fahmi yang berlalu meninggalkannya.
“Pelik gila mamat ni. Pagi tadi beria-ia suruh aku tunggu dia kat sini. Alih-alih aku pula yang ditinggalkan. Sengal betullah,” omel Farah.
Dia tidak tahu Fahmi mengajaknya berjumpa kerana ingin memberitahu keluarganya akan datang meminang setelah selesai final exam. Dia tidak tahu Fahmi sudah berangan-angan bersanding dengannya di atas pelamin. Dan dia juga tidak tahu Fahmi sudah merancang sesuatu untuk menggagalkan majlis pernikahannya dengan lelaki yang bernama Tariq itu nanti.
****
Majlis pernikahan Dania dan Farah disambut dengan meriah. Lila menjadi pengapit Farah. Pada mulanya mereka tidak mahu mengadakan acara bersanding. Tetapi memandangkan ini merupakan kali pertama dan kali terakhir rumah Encik Jamal dan Puan Junaidah mengadakan majlis sebegini, maka Dania dan Farah bersetuju saja.
Dania dan Daniel kelihatan serasi sekali. Farah dan Tariq pula nampak manis dan padan. Tetamu yang hadir memuji dua pasang raja sehari ini. Farah tidak menyedari ada sepasang mata yang sedang melihat kegembiraannya dengan perasaan yang tidak puas hati.
Malam itu Farah duduk di dalam bilik dengan perasaan yang bercampur baur. Dia takut bila membayangkan Tariq akan tidur sebilik dengannya. Hendak lari memang dia cari nahaslah. Baru kahwin dah ada tuntutan nusyuz. Tak ke haru dibuatnya.
“Assalamualaikum,” Tariq memberi salam sesudah menguak pintu.
Farah yang terperanjat terus jatuh dari katil. Sangkanya lelaki manalah yang masuk tadi. Dahlah dia tidak memakai tudung. Rupa-rupanya lelaki ajnabi yang sudah sah menjadi suaminya.
“Waalaikumussalam. Kenapa tak ketuk pintu dulu. Buat terkejut je,” rungut Farah.
“Kesiannya isteri abang ni. Maaf ya. Abang tak berniat pun nak buat sayang terkejut,” Tariq menghulurkan tangannya untuk membantu Farah bangun.
“Err, tak apa. Awak tak perlulah minta maaf dengan saya,” balas Farah sesudah menyambut tangan suaminya.
“Sayang patut biasakan lidah tu sebut abang. Sampai bila nak bersaya awak. Nanti susahlah abang nak buat sayang jatuh cinta dengan abang,” gurau Tariq.
“Okey,” dia tidak tahu hendak membalas apa lagi. Sungguh dia malu bila Tariq tersenyum menggoda.
“Pendeknya jawapan. Dulu masa mula-mula jumpa tak macam ni pun,” luah Tariq pula.
“Err, saya malulah awak. Eh, bukan. Farah malulah…abang,” perlahan sahaja suaranya apabila menyebut perkataan ‘abang’.
Hendak pengsan rasanya. Belum pernah dia memanggil lelaki dengan panggilan abang kecuali sepupu-sepapatnya. Ingin sahaja dia menyorokkan muka dalam sarung bantal. Tapi nanti dicop tak siuman pula.
Tariq pula sudah gelak terkekek-kekek. Dia tidak dapat menahan tawanya apabila melihat wajah Farah yang sudah memerah. Ditambah lagi dengan kalutnya apabila tersalah sebut panggilan. Memang comel.
“Kenapa gelak? Farah tak buat lawaklah,” muncungnya sudah panjang.
“Kelakar tengok perangai sayanglah. Comel je. Haa, sayang ingat lagi tak. Dulu sayang kata nak tegakkan kebenaran,” Tariq membuka topik.
Farah membulatkan matanya. Dia tidak sangka pula ingatan suaminya sangat kuat. Benda macam tu pun boleh ingat. Fikirnya dia boleh melepaskan diri daripada menjawab soalan itu. Hendak buat-buat lupa nanti berdosa pula. Terpaksalah dia memberitahu hal yang sebenar.
“Ingat lagi ek?” Farah sengaja bertanya.
“Apa yang sayang cakap sentiasa tersimpan dalam memori abang ni,” dia berkata sambil menunjukkan kepalanya.
“Abang kata Farah tak sudi bertunang dengan abang kan. Pada mulanya memang macam tu sebab Farah rasa awkward. Orang lain lepas final exam buat aktiviti yang boleh merehatkan otak tapi Farah kahwin pulak,” Farah berhenti seketika.
“But bila Farah nampak abang for the first time, automatik perasaan tu berubah. Masa tu Farah sedar apa yang Lila cakap tu betul. Farah bukannya tak setuju cuma Farah yang kurang yakin dengan keputusan Farah. Patutnya Farah bersyukur kan sebab Allah bukakan hati Farah untuk terima abang dalam hidup Farah,” sambung Farah.
“Sebab sayang tengok muka abang ni handsome kan?” Tariq mengangkat keningnya.
“Perasan lebihlah abang ni. Orang handsome takkan mengaku dia handsome tau,” sakat Farah.
“Nakalnya dia ni. Okey sambung bahagian citarasa sayang pula,” Tariq kembali serius.
“Nak tahu juga ke?” tanya Farah pula.
“Mestilah nak. Dah lama abang tunggu jawapan sayang tau,” dia pura-pura merajuk.
“Taste Farah macam…” Farah membiarkan ayatnya tergantung.
“Sayang, sambung cepat. Dah cukup saspens dah ni. Lebih-lebih karang boleh pengsan abang,” cemberut wajah Tariq ketika ini.
“Macam abanglah. Patuh pada agama, ada kerja tetap dan hormat orang tua. Lengkap dengan pakej lagi,” tulus kata-katanya.
“Pakej apa pula ni?” Tariq kelihatan blur.
“Pakej kacak macam Ashraf Sinclair,” selamba sahaja nada suaranya.
“Amboi, macam artis ya muka abang ni. Tapi kan kacak lagi abang daripada dia,” Tariq memegang wajahnya.
“Tak baik riak, haa!” kata Farah pula.
“Mana ada riak. Abang menghargai nikmat yang Allah bagi ni,” laju Tariq membalas.
“Cehh, apa-apa jelah!” Farah menjeling manja.
“Sayang, abang ada sesuatu nak bagi ni. Ikhlas dari hati abang,” Tariq tersenyum.
“Apa dia?” Farah bertanya pantas
“Nah. Khas untuk isteri abang,” Tariq menghulurkan al-quran digital kepada aku.
“Abang bagi ni?” Farah bertanya meminta kepastian.
“Yalah! Tak adalah mahal pun benda ni. Lepas ni mana-mana sayang pergi, sayang boleh bawa. Kecuali kalau pergi tandas,” Tariq cuba melawak.
“Tak mahal abang kata?” dahi Farah berkerut.
“Nilai benda ni tak ada apa sangat kalau nak dibandingkan dengan pahala yang kita akan dapat nanti,” tulus Tariq berkata.
Air mata Farah hanya menunggu waktu hendak mengalir. Dia benar-benar terharu dengan pemberian Tariq. Ternyata dia tidak silap menurut permintaan ibunya. Pilihan ibunya memang benar-benar tepat. Syukur juga pada Allah kerana membuka hatinya untuk menerima insan sebaik Tariq sebagai suami.
Mereka meneruskan perbualan sehingga larut malam. Farah bahagia berada di samping Tariq. Tetapi dia tidak tahu ada sesuatu telah berlaku pada Tariq sebelum majlis akad nikah bermula. Hanya Tariq dan keluarganya sahaja yang tahu. Bagi Tariq, biarlah dia menyimpan hal itu daripada pengetahuan isterinya.
****
Usia perkahwinan Farah dan Tariq baru sahaja lima bulan. Tetapi mereka sudah mula selesa hidup berdua. Farah sudah mula bekerja di syarikat ayahnya. Pengetahuannya sepanjang menuntut dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaya dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Tariq pula semakin sibuk namun itu tidak menghalang hubungan mereka. Bunga-bunga cinta yang semakin mekar dibajai dengan penuh kasih sayang. Tidak ada istilah kekurangan waktu dalam kamus hidup mereka. Lebih-lebih lagi Farah sedang hamil anak sulung mereka. Jadi Tariq sentiasa mengambil berat keadaan isterinya.
Namun ketika ini Tariq masih belum pulang lagi meskipun azan maghrib sudah berkumandang. Bukan dia tidak pernah pulang lewat tetapi selalunya dia akan memberitahu Farah terlebih dahulu agar tidak menunggunya. Dan paling lewat pun dia pernah balik ialah jam 6.30 petang.
Berlainan dengan hari ini. Jangankan telefon, mesej pun tiada. Bila Farah call memang ada yang menjawab. Tapi bukan Tariq sebaliknya operator. Farah sudah mula rasa tidak sedap hati. Bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku.
****
Di satu sudut, Tariq berusaha melepaskan ikatan di kedua belah tangannya. Malah kakinya juga terikat. Dia tidak ubah seperti seorang tebusan yang menunggu untuk diselamatkan seseorang. Tetapi adakah yang sudi menyelamatkannya.
Seorang lelaki berkaca mata hitam masuk ke dalam bilik itu dan berhenti di hadapannya. Lagaknya seperti anak orang kaya. Tariq memandang lelaki itu dengan pelik. Tidak mungkin lelaki di hadapannya ini ingin meminta wang. Pasti ada hal lain yang melibatkan dirinya.
“Kau siapa?” tanya Tariq sambil memandang lelaki itu. Dia seperti pernah melihat wajah itu tetapi dia tidak ingat di mana.
“Aku siapa? Kau patut tahu. Takkan Farah tak pernah bagitahu kau?” tanya Fahmi dengan angkuh.
“Aku macam pernah nampak kau tapi aku tak ingat. Dan apa kaitan dengan Farah pula?” pelik Tariq mendengar soalan lelaki itu.
“Aku Fahmi, bekas kekasih Farah. Mungkin kau akan ingat kalau aku cakap pasal kejadian pada hari akad nikah kau,” tajam mata Fahmi merenung Tariq. Seperti hendak ditelan sahaja gayanya.
“Kau yang nak langgar aku tu kan? Apa yang kau nak sebenarnya? Aku tak percaya kau ni bekas kekasih Farah. Aku yakin dia tak pernah ada hubungan dengan kau,” bentak Tariq secara tiba-tiba. Kemudian cepat-cepat dia beristighfar.
“Aku tak suruh kau percaya pun, hahaha!” Fahmi berkata seperti orang gila. Dia mencangkung di hadapan Tariq.
“Farah tak jadi kekasih aku sebab kau! Kau yang menghancurkan segala harapan aku untuk memiliki dia,” sambung Fahmi sambil menarik kolar baju Tariq.
“Mungkin kau dah lupa qada’ dan qadar yang telah ditetapkan Allah sejak azali lagi,” balas Tariq dengan tenang.
“Kau tak payah nak berceramah kat akulah wei. Sekarang ni aku nak buat perhitungan dengan kau,” gertak Fahmi.
“Perhitungan apa?” soal Tariq pula.
“Ceraikan Farah atau nyawa kau aku ambil,” jawab Fahmi sambil mencerlungkan matanya.
“Untuk apa aku ceraikan Farah sedangkan aku yakin hanya Allah yang berhak mengambil nyawa aku? Farah itu isteri aku. Malah dia sedang mengandungkan anak aku,” Tariq kelihatan tenang sekali.
“Ada aku kisah? Tak ada masalah pun kan kalau kau ceraikan dia,” balas Fahmi pula.
“Tak ada masalah kau kata? Kalau aku ceraikan dia siapa nak jaga? Selagi dia belum bersalin, selagi tu kau tak boleh kahwin dengan dia. Macam mana pula kau nak jaga? Dan lagi satu. Aku percaya kau tetap akan bunuh aku walaupun aku ceraikan dia,” pantas Tariq menjawab kata-kata Fahmi.
Fahmi meneguk air liurnya. Tiba-tiba dia berasa Tariq bukan calang-calang orang. Kata-katanya cukup tenang walaupun sudah berada di ambang maut. Dan paling dia tidak sangka, Tariq seolah-olah dapat menghidu rancangannya.
“Kau ni manusia yang licik,” suara Fahmi kendur sedikit.
Tapi bagi Tariq perkataan licik itu hanya membuatkannya berasa sedih. Perkataan itu pernah digunakan Farah untuk menggambarkan peribadinya. Sungguh dia risau bila memikirkan Farah. Pasti isterinya itu sedang ternanti-nanti kepulangannya.
“Walau apa pun yang terjadi aku tetap takkan ceraikan isteri aku. Aku redha kalau aku mati di tangan kau sekali pun sebab aku yakin janji Allah itu pasti. Biarlah aku mati sebagai suami kepada seorang wanita bernama Farah Tasneem,” Tariq membalas kata –kata Fahmi sambil mencuba untuk bertenang.
“Kau memang sengaja cari pasal. Kudin, uruskan dia secepat yang mungkin. Kalau dah sudah panggil aku,” Fahmi sempat merenung tajam kepada Tariq sebelum berlalu pergi.
“Baik bos,” jawab Kudin.
Belum sempat Kudin menarik picu pistol Fahmi sudah berlari masuk. Dia kelihatan kelam kabut. Kudin pelik melihat kelakuan bosnya.
“Kenapa bos? Macam nampak hantu je,” celupar sungguh mulut Kudin.
“Aku tak takut hantulah. Masalahnya sekarang polis sedang menuju ke sini,” tercungap-cungap Fahmi menjawab.
“Aa, po…po…polis?” terketar-ketar suara Kudin. Dia kelihatan takut sekali sehinggakan pistol yang berada di tangannya terjatuh.
Pintu bilik dirempuh daripada luar. Fahmi segera mendapatkan Tariq. Apabila pintu berjaya dibuka, beberapa anggota polis melangkah masuk secara perlahan-lahan. Mereka mengacukan pistol ke arah Fahmi dan Kudin.
“Turunkan senjata. Angkat tangan dan jangan bergerak!” tempik salah seorang anggota polis.
“Jangan dekat. Kalau tak lelaki ni aku bunuh,” tengking Fahmi pula. Dia masih memegang pistol dengan erat.
“Encik, bawa bertenang. Okey baiklah kami tak dekat. Sekarang encik lepaskan lelaki itu,” seorang anggota polis cuba menenangkan keadaan. Sambil itu dia mengarahkan angoote polis yang lain berganjak ke belakang sedikit.
Serentak dengan itu Fahmi segera menarik picu pistol. Kedengaran bunyi dua das tembakan. Segalanya berlaku dengan pantas. Tariq sudah menggelupur, manakala Fahmi rebah di atas lantai. Rupa-rupanya ada seorang penembak tepat telah menyusup masuk dan menembak Fahmi. Kudin pula cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas.
“Inspektor, tebusan dah meninggal. Tapi lelaki ni masih hidup. Cuma dia tidak sedarkan diri,” ujar seorang anggota polis setelah memeriksa nadi Tariq dan Fahmi.
“Panggil ambulans cepat. Dan cari apa-apa yang berkaitan dengan mangsa ni,” arah inspektor itu sambil menunjuk ke arah Tariq.
“Baik tuan,” polis itu mengangkat tabik hormat.
****
Lagu Empty Decorations yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Farah yang sedang memasak segera mendapatkan telefon bimbitnya. Dia tersenyum lega saat melihat nama Tariq tertera di skrin.
“Assalamualaikum, abang kat mana ni? Puas Farah call tadi, abang tak angkat pun. Mesej pun abang tak balas,” nadanya seperti merajuk sahaja.
“Waalaikumussalam. Maaf puan, saya ada berita penting nak diberitahu. Nama suami puan Tariq Farihan kan?” formal sekali polis itu berkata.
“Err, ya saya isteri dia. Berita apa yang penting sangat tu?” jantung Farah sudah berdebar laju.
“Suami puan dah meninggal dunia akibat ditembak. Puan boleh mengecam mayat suami puan di Hospital Serdang,” berhati-hati sekali suara itu menuturkan ayat.
Tersentap Farah mendengar perkhabaran itu. Mujur sahaja dia sedang duduk. Jika tidak pasti dia sudah terjelepok. Perlahan-lahan air mata mengalir membasahi pipinya. Dia tidak percaya suaminya telah meninggal. Dia yakin Tariq Farihan belum meninggal. Dengan segera dia mencapai tudung. Dia ingin segera sampai di Hospital Serdang. Dia ingin membuktikan bahawa polis itu tersalah memberi maklumat.
****
“Siapa yang bunuh suami saya? Siapa?” Farah sudah meraung-raung. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Adik, sabar ya sayang. Jangan macam ni. Adik kan kuat,” pujuk Dania. Dia tahu pun melalui mesej yang dihantar Farah.
“Adik tak kuat kak. Adik sayangkan dia. Siapa yang sanggup bunuh suami adik? Siapa?” teresak-esak Farah. Sukar untuk dia menerima hakikat.
“Puan kenal dengan lelaki bernama Zulfahmi?” celah seorang anggota polis yang sedari tadi memerhatikan Farah.
“Fahmi? Anak Datuk Rahim?” soal Farah pula.
“Ya. Dia yang tembak suami puan. Sekarang dia sedang dirawat kerana ditembak oleh salah seorang penembak tepat kami. Kami masih belum mengetahu motifnya,” terang anggota polis itu satu persatu.
“Mana dia? Mana? Aku nak bunuh kau Fahmi!” jerit Farah seperti orang yang sedang histeria. Sejurus itu dia rebah. Dania memangku adiknya yang sudah pengsan.
****
Farah bermuram sepanjang majlis pengebumian Tariq. Satu persatu kenangan bersama arwah suaminya terbayang di fikiran. Dia benar-benar rindukan suaminya. Paling dia tidak sangka Fahmi yang bertanggungjawab dalam pembunuhan suaminya. Farah memikirkan nasib anak dalam kandungannya. Bagaimana dia mahu teruskan hidup tanpa Tariq di sisi.
“Adik, akak faham apa yang adik rasa. Buat masa ni adik tinggal dengan ibu dan ayah ya,” Dania mengusap belakang adiknya.
“Tak apalah. Adik tak nak susahkan ibu dan ayah,” balas Farah pula.
“Adik, dengar cakap akak ni. Percayalah, kalau arwah masih hidup mesti dia tak nak adik duduk rumah sorang-sorang. Arwah mesti akan suruh adik duduk dengan ibu dan ayah. Sekurang-kurangnya sampai adik bersalin. Tolong dengar cakap akak ya,” sungguh-sungguh Dania memujuk adiknya.
“Baiklah,” akhirnya Farah akur dengan permintaan kakaknya.
“Kalau ya pun adik tak nak, buatlah demi anak dalam kandungan tu. Kesian dia,” sambung Dania.
Farah memikirkan kembali kata-kata kakaknya. Dia mengusap-usap perutnya dengan penuh kasih. Dia harus tabah menghadapi dugaan ini. Dia mesti kuat demi anaknya dan arwah.
****
Fahmi bercakap seorang diri di dalam sel. Kadang-kadang dia akan marah-marah, kadang-kadang dia akan menangis. Dia pernah cuba membunuh diri dengan manghantuk-hantukkan kepalanya sehingga berdarah tetapi cepat disedari warden yang sedang meronda ketika itu. Dendamnya memang telah terlunas. Tetapi hajatnya untuk hidup bersama dengan Farah tidak kesampaian.
Saban hari dia merintih penuh kekesalan. Menyesal kerana dendamnya yang membara telah mengakibatkan kesengsaraan. Kerana dendam orang lain merana. Kerana dendam insan yang dicintainya sepenuh hati terluka. Kerana dendam jiwanya sendiri terseksa. Kerana dendam dia meringkuk di penjara. Kerana dendam juga dia kini menjadi gila. Itulah dendam seorang pencinta setia.
Sekali Lagi
“Akira!!!” laungan Puan Azizah memecah keheningan pagi. Aku yang sedang nyenyak tidur serta merta jatuh dari katil. “Aduh, sakitnya punggung aku! Mama ni pun pagi-pagi dah memetir. Tak memasal je aku terjatuh daripada katil ni,” aku merungut.
“Dzatul Akira Binti Sharifudin, bangun cepat! Dah lupa ke hari ini kamu ada temuduga?” Fuyoo, siap sebut nama penuh aku tu. Eh, betul ke hari ni aku ada temuduga? Bukan minggu depan ke. Heh, baik aku check kalendar. Mama ni bukan boleh percaya sangat.
Membulat mata aku melihat tarikh hari ini. Ah sudah, macam mana aku boleh terlupa ni? “Mama, kenapa tak kejutkan Akira awal-awal?” aku menjerit dari dalam bilik. Cehh, yang aku pergi jerit macam tu kenapa. Tadi aku juga yang merungut bila mama kejutkan aku. Baik aku pergi mandi sekarang.
Selesai sahaja mandi, aku menyelongkar almari untuk mencari baju yang sesuai. Habis berselerak bilik yang baru aku kemas tiga hari lepas. Aku bersiap sepantas yang boleh. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gelabahnya aku sekarang ini. Bimbang kalau tidak sempat untuk menghadiri temuduga jawatan penolong editor di Syarikat Pena Kreatif.
“Akira, sarapanlah dulu. Nanti susah kalau perut tu masuk angin,” mama berkata sambil menggamit aku.
“Tapi Akira dah lambatlah mama,” aku merengek.
“Meh sini mama suapkan roti buat alas perut. Lain kali jangan tidur lepas solat subuh. Kan dah lewat.” Aku hanya mampu menadah telinga mendengar bebelan mama. Tapi ada betulnya juga kata-kata mama tu. Orang tua-tua kata tidur lepas subuh rezeki susah nak masuk.
****
Pheww! Sempat juga aku sampai ke sini. Tapi apasal ramai sangat orang. Kalau begini ada harapan ke aku nak dapat jawatan tu. Aku dah bosan asyik tanam anggur je kat rumah tu. Kalau boleh makan takpe juga. Ya Allah, engkau kurniakanlah aku semangat yang tinggi untuk menjawab segala soalan penemuduga itu nanti. Aamiin.
Tidak lama kemudian…
“Cik Dzatul Akira!” kedengaran namaku dipanggil oleh seorang wanita. Aku memberikan senyuman manis kepadanya sebelum melangkah masuk. Pintu bilik ku buka. Terlihat dua orang lelaki sedang menanti. Amboi, takkan takde penemuduga perempuan kot. Sabar jelah.
“Sila perkenalkan diri,” seorang penemuduga lelaki memulakan sesi temuduga.
“Akira,” aku menjawab dengan nada yang gugup. “Dzatul Akira Binti Sharifudin.”
“Hmm, macam nama orang Jepun. Muka pun ada iras-iras,” selamba sahaja lelaki itu berkata. Erkk, ni dah terkeluar topik ni. Apa kaitannya jawatan penolong editor dengan nama aku macam orang Jepun walaupun memang betul. Haih.
“Saya bergurau je. Baiklah Cik Akira, awak ada masa 5 minit untuk memperkenalkan diri,” sambung lelaki tadi.
“Okey. Nama saya Dzatul Akira Binti Sharifudin. Saya lahir dan menetap di Kuala Lumpur. Saya lahir pada tahun 1989. Sejak di sekolah rendah lagi saya bercita-cita hendak menjadi seorang editor sebab saya memang minat membaca. That’s why saya nak memohon jawatan penolong editor ni sebagai permulaan untuk mencapai cita-cita saya…”
“Cukup!” Ek eleh, tadi suruh aku perkenalkan diri 5 minit. Ni baru 2 minit, dah suruh berhenti.
“Pernah ada pengalaman jadi penolong editor?” seorang lelaki lain pula bertanya. Aku sempat mencuri pandang namanya. Ashraf Hakimi, sedap nama dia. Tapi sayang tak boleh dimakan. Eh, apa aku melalut ni.
“Belum pernah. Saya baru sahaja graduate daripada Universiti Malaya. Walaupun course yang saya ambil tiada kaitan dalam bidang ini, tapi saya benar-benar berminat untuk menjadi salah seorang penolong editor di Syarikat Pena Kreatif ini,” aku menjawab pantas.
“Baiklah, sampai di sini sahaja sesi temuduga kita. Kami akan beritahu keputusan minggu hadapan melalui telefon,” lelaki bernama Ashraf Hakimi itu memberitahu sambil tersenyum mesra.
“Kalau saya tak dapat panggilan tu, maknanya saya tak berjayalah ya?” Aku bertanya untuk mendapatkan kepastian dan lelaki itu mengangguk.
Seminggu kemudian…
Kring! Kring! Kring!
Eee, bisingnya. Aku mengangkat telefon dengan malas. “Assalamualaikum, cik Akira ke ni?” orang di sebelah sana memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam, ya saya Akira. Siapa di sana ya?” aku bertanya polos.
“Saya setiausaha Encik Ashraf Hakimi. Syarikat Pena Kreatif telah memilih cik Akira untuk mengisi jawatan penolong editor di sini mulai minggu hadapan,”
“Betul ke ni? Terima kasih ya kerana sudi menelefon saya,”
“Betul cik Akira, baiklah sama-sama.” Gagang telefon diletakkan. Alhamdulillah, setelah tiga bulan aku menganggur dapat juga jawatan yang aku idamkan ni. Tak sangka mereka sanggup mengambil aku walaupun aku menuntut dalam bidang yang berlainan.
“Mama, oh mama!” aku menjerit memanggil mama untuk memberitahu berita gembira ini.
“Ya sayang, ada apa terjerit-jerit ni?” mama yang muncul dari sebalik dapur secara tiba-tiba membuatkan aku sedikit terperanjat.
“Mama, apa buat Akira macam ni? Nasib baik jantung Akira statik lagi tau. Kalau meloncat keluar siapa nak tolong masukkan?” aku memuncungkan bibir tanda tidak berpuas hati.
“Akira jerit macam nak terkeluar anak tekak kenapa? Tak elok tau kalau jiran-jiran dengar,” mama berkata sambil tergelak kecil.
“Akira nak beritahu berita gembira,” aku sudah tersenyum-senyum.
“Apa berita gembiranya? Anak mama ni dah nak kahwin ke?” mama serkap jarang.
Aku yang mendengar pertanyaan mama sudah terbatuk-batuk. Biar betul mama ni. Sampai ke situ sekali fikiran mama jauh menerawang. Aku baru je 23 tahun, takkan dia nak suruh aku kahwin. Kerja pun baru je dapat.
“Apa mama merepek ni? Akira nak bagitahu Akira dah berjaya dapat kerja. Tadi syarikat tu baru je telefon. Katanya Akira boleh bekerja mulai minggu hadapan,” aku memberitahu mama dengan nada yang teruja.
“Wah, tahniah sayang. Tapi kenapa minggu hadapan?” pertanyaan mama mengundang senyum di bibirku.
“Itu Akira tak tahu. Tapi okey la kan mama, bolehlah Akira luangkan masa dengan mama dan papa. Nanti bila Akira dah kerja susah pula,” aku menjawab manja.
“Iyalah tu, luangkan masa dengan mama dan papa konon. Cakap jelah Akira nak buat taik mata puas-puas sebelum mula bekerja. Nanti bila dah kerja susah nak uruskan kilang taik mata tu,” aku terpukul mendengar sindiran mama. Haih, apalah nasib aku dapat mama yang suka berleter ni. Memang patutlah pun dia jadi pakar motivasi.
“Papa, Akira nak pergi POPULAR kejap boleh tak? Dah lama rasanya tak baca novel. Sambil-sambil tu bolehlah Akira tajamkan skill mencari kesalahan penulis. Maklumlah, tak lama lagi Akira nak jadi penolong editor kan. Hehe!” aku meminta kebenaran dengan papaku.
“Pergilah Akira, tapi jangan balik lewat sangat. Kamu ni bukan boleh percaya sangat, kalau dah jumpa buku silap-silap kedai tu boleh jadi tempat tidur kamu malam ni,” tergelak aku mendengar kata-kata Encik Sharifudin ni. Papa memang suka buat lawak. Walau macam mana pun gila aku dengan buku, takde lah sampai nak tidur kat POPULAR tu.
“Baik, akan anakanda turuti perintah ayahanda itu,” sengaja aku berbicara menggunakan bahasa dahulukala. Papa hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatahku yang nakal ini.
Sampai sahaja di POPULAR, aku segera menapak masuk. Aku sudah terhidu bau buku-buku yang cukup wangi. Bau inilah yang sering menenangkan aku di kala ada masalah. Tetapi sejak kebelakangan ini jarang sekali aku dapat menjejakkan kaki di sini. Semua itu kerana aku terlalu sibuk dengan pengajian di tahun akhir dulu.
Wah, banyaknya novel-novel baru. Kalaulah aku ni jutawan, dah lama aku borong semua novel-novel ni. Banyak sungguh yang berkenan di hati. Tetapi mataku segera menangkap buku yang berjudul Historical Fact and Fiction hasil tulisan ahli falsafah sejarah yang bernama Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sudah berumur 81 tahun. Kalau tidak silap aku ini karyanya yang kelima belas.
Aku memang mengagumi pakcik kelahiran Indonesia tetapi menetap di Malaysia ini. Beliau sangat komprehensif dan luas dari segi falsafah dan kaedahnya juga yang membantu menyelesaikan beberapa masalah penting dan mengutarakan tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu. Aku mesti beli buku ni. Pasti banyak ilmu pengetahuan yang akan aku peroleh apabila membaca tulisan beliau ini.
Setelah selesai membayar buku-buku tersebut, aku berjalan-jalan di sekitar JUSCO untuk melakukan window shopping. Aku berhenti di sebuah kedai kasut dan melihat-lihat. Aku tertarik dengan sepasang kasut yang rekaannya cukup simple but nice. Harganya juga berpatutan. Aku sudah berangan-angan memakai kasut itu ketika pergi ke pejabat nanti.
“Miss, can I help you?” Angan-anganku dimatikan gadis cina ini.
“Sure! Saya nak beli kasut ni,” aku berkata sambil tersenyum.
“Okey, cik boleh tunggu di hadapan sana,” gadis itu berkata sambil menunjuk ke arah kaunter.
Aku mengangguk perlahan dan menuju ke arah kaunter. Setelah selesai, aku melangkah keluar. Jam di pergelangan tangan kulihat. Sudah dua jam aku menghabiskan masa di sini. Sekarang masa untuk pulang dan kalau tiada aral, bolehlah aku mula membaca buku Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas itu.
****
“Akira!! Bangun cepat. Kamu tak nak pergi kerja ke?” aku menguap. Dengan malas aku bangun dan melihat jam di sisi katil. Baru pukul 7. Mama ni saja kacau tidur aku. Eh? Aku macam dengar mama sebut perkataan kerja tadi. Takkanlah…
“Arghhh, mama kenapa tak kejutkan Akira awal-awal?” sekali lagi aku kelam kabut. Keadaan sekarang sama seperti ketika aku hendak menghadiri temuduga beberapa minggu lepas.
Aku cuma bersiap ala kadar. Aku melihat jam dinding. Huh? Cepatnya masa berlalu. Sempat ke aku nak sampai ke pejabat tepat pukul 8 ni? Hari pertama dah spoil. Padan muka aku. Siapa suruh tidur lambat malam tadi.
“Ehem, Akira! Memandangkan hari ini hari pertama Akira bekerja, jom naik dengan papa sekali,” papa mempelawaku.
“Betul ni? Yes, ni sayang papa lebih ni,” aku tersengih memperlihatkan barisan gigiku yang putih lagi menawan. Ala-ala model iklan colgate.
Mama sudah memuncungkan mulut mendengar kata-kataku tadi. Hehe, sekarang aku tahu kenapa aku suka muncungkan bibir bila merajuk. Menurun daripada mamalah ni. “Mama sayang, janganlah merajuk. Hari ni mama patut happy sebab Akira dah mula bekerja. Takde la duduk tercongok je kat rumah ni,” aku memujuk mama.
Ternyata pujukanku berjaya. Mama kembali senyum malah lebih manis daripada tadi. “Sudah, ambil bekal ni. Kerja baik-baik ya Akira,” mama menghulurkan bekas berisi nasi lemak. Sempat juga mama menyediakan bekal untuk aku. Mama aku memang sweet. Kau ada?
****
“Cik Akira!” aku menoleh ke belakang mencari empunya suara itu. Kelihatan seorang wanita sedang berlari-lari anak. Wanita sama yang memanggilku sewaktu aku menghadiri temuduga dulu.
“Ya saya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Cehh, apasal gaya aku bercakap ni macam jurujual dekat kedai kasut dulu. Bezanya dia bertutur dalam bahasa Inggeris, aku pula bertutur dalam bahasa Melayu.
“Ketua editor nak berjumpa dengan cik sekarang,” beritahu wanita itu. Aku melihat nametagnya. Tertulis di situ Nurul Amira.
“Baiklah, terima kasih ya! Anyway, tak perlu panggil saya cik. Panggil saya Akira je. Saya nak panggil awak apa ya?” aku memberikan senyuman mesra.
“Panggil saya Amira je,” wanita itu membalas senyumanku. Hmm, Akira dan Amira. Boleh jadi geng ni. Tehee.
Tok! Tok! Tok!
“Masuk!” aku masuk setelah mendapat kebenaran. Di hadapanku kini ada seorang wanita lewat 20-an. Mungkin tua sedikit daripada aku.
“Kenapa ya cik hendak berjumpa dengan saya?” teragak-agak aku bertanya.
“Jadi awaklah Dzatul Akira ya? Penolong editor yang baru mula bekerja hari ini, tapi sudah pandai datang lewat?” sungguh sinis kata-kata ketua editor itu. Tapi memang betul pun apa yang dia cakap. Memang salah aku.
“Maafkan saya. Saya terlewat bangun pagi tadi. Saya janji selepas ini saya tak akan datang lewat ke pejabat lagi,” aku berusaha meyakinkan ketua editorku ini.
“Saya nak awak cuci tandas selama seminggu, no excuse!” terlongo aku mendengar arahannya. Ini sudah lebih, aku lewat tiga minit je pun. Kejam sungguh ketua editor ini. Mencik!
“Tapi cik ketua editor, saya cuma lewat tiga minit je. Tak wajar rasanya untuk cik menghukum saya sebegini rupa. Dan tujuan saya datang ke sini ialah sebagai penolong editor. Bukannya ingin menjadi tukang cuci tandas,” sedaya upaya aku cuba mempertahankan diri.
“Saya peduli apa? Yang penting awak dah lewat. Ini ke perangai seorang bakal editor? Sedangkan datang ke pejabat pun awak tak boleh nak tepati masa, macam mana awak nak tepati dateline awak? Kalau awak tak puas hati dengan arahan saya tadi, awak boleh letak jawatan. Di syarikat ni, tiada siapa pun yang berani membantah arahan saya,” wanita itu berkata dengan nada angkuh.
Aku meneguk liur. Takkan lah aku nak letak jawatan. Punya susah payah aku nak bangun pagi semata-mata nak pergi temuduga jawatan ni, dia senang-senang je suruh aku berhenti kerja. Tak berperikemanusiaan sungguh. Kalau aku nak jadi tukang cuci, buat apa aku mohon kat syarikat maju ni. Baik aku minta kerja dekat Indah Water Konsortium.
Pintu bilik dikuak oleh seorang lelaki secara tiba-tiba. Aku mencuri pandang wajahnya. Rupa-rupanya dia lelaki yang menemuduga ku dulu. Kalau tak silap aku namanya Ashraf Hakimi. Ya, tak salah lagi! Inilah lelaki yang namanya sedap tetapi tidak boleh dimakan tu.
“Hanis, what’s wrong with you? Pagi-pagi lagi dah memetir. Suara you tu sampai ke luar boleh dengar,” lelaki itu memulakan perbualan dengan ketua editor itu. Dia sempat menghadiahkan senyuman mesra kepadaku.
“Perempuan nilah buat I naik angin. Dah lah datang lewat, bila I bagi hukuman nak membantah pula.” Wanita itu mula mengadu.
“Tapi encik, dia suruh saya cuci tandas selama seminggu. Saya datang untuk menimba ilmu untuk menjadi seorang editor yang berjaya, bukannya untuk menimba ilmu menjadi tukang cuci tandas yang cemerlang. Maaf kalau kata-kata saya agak kasar. Saya cuma berkata perkara yang benar,” aku berkata dengan nada sarkastik.
“Hanis, kenapa dengan you ni? I tahulah syarikat ni mama you yang punya, tapi tak perlulah nak hukum sampai macam tu sekali. Cik Akira, awak datang pukul berapa?”
“Saya datang pukul 8.03 minit pagi,” aku berkata jujur.
“Apa? Hanis, dia cuma lewat tiga minit je. Itu pun you nak berkira. Habis yang you selalu datang pukul 9 tu apa kes?” lelaki itu menggelengkan kepalanya.
Kantoi sudah selalu datang pukul 9. Itu pun ada hati nak hukum aku. Kureng punya ketua. Aku lihat wajah wanita itu sudah memerah. Mesti dia malu bercampur marah. Padan muka kau!
“Cik Akira, awak boleh keluar sekarang.” Sambung lelaki itu.
“Terima kasih encik…”
“Ashraf Hakimi, just call me Hakimi!” dia tersenyum mesra. Mamat ni memang suka tersenyum ke apa?
“Okey, thanks a bunch Encik Hakimi,” aku mengucapkan terima kasih sekali lagi dan terus keluar. Aku dapat merasakan ada aura panas di dalam bilik itu. Pasti wanita itu sedang marah denganku. Ah, peduli pula aku.
****
Keesokan harinya, aku sampai ke pejabat jam 7.55 minit pagi. Aku berazam untuk datang pada waktu ini setiap hari. Bimbang jika terkena seperti semalam. Minta simpanglah. Tak pasal-pasal nanti aku kena pecat. Maklumlah, pemilik syarikat ni ibu kepada ketua editor aku. Senanglah kalau dia nak tendang aku keluar daripada syarikat ni.
“Hai Cik Akira!” aku sedikit terperanjat mendengar suara itu. Apa dia buat kat sini.
“Assalamualaikum Encik Hakimi,” aku memperlinya.
“Waalaikumussalam,” pendek sahaja jawapannya. Aku pasti dia sedang malu.
“Awak tengah buat apa tu?” Hakimi bertanya.
“Tengah gulai ikan, encik tak nampak ke?” selamba sahaja aku menyindirnya.
“Hahaha! Boleh tahan juga ya awak loyar buruk. Anyway, tak perlulah panggil saya encik. Panggil Hakimi je okey. Kita kan kawan.” dia tersenyum. Kan aku dah cakap, dia ni memang suka sangat senyum. Tapi sejak bila pula aku jadi kawan dia. Pelik.
“Well, kalau awak tak nak ada gelaran encik di hadapan dan nak berkawan dengan saya boleh tak kalau saya buat satu permintaan?” aku tersenyum simpul.
“Apa dia?” Keningnya diangkat.
“Actually, saya jarang ‘bersaya awak’ dengan lelaki. Selalunya ‘kau aku’ je. Kalau awak tak kisah, boleh tak kalau kita guna panggilan tu? So, masalah berkaitan ‘encik’ di pangkal nama awak takkan ada.” Aku meminta kebenaran. Aku tak kisah pun kalau dia tak bagi sebab aku faham jawatan dia lebih tinggi daripada aku.
“Deal!” Hakimi bersetuju.
“Okey, jangan kacau aku buat kerja!” selamba je aku berkata.
“Dah start ke?” dia bertanya polos.
“Dahlah, habis tu nak start bila lagi?” aku mengerutkan dahi.
“Ingatkan esok, hahaha! Okey aku tak kacau kau wahai cik penolong editor,” dia berlalu pergi dan melambai ke arahku. Aku turut membalas.
Di tepi dinding, kelihatan Hanis Qurnia memandangku dengan jengkel. Apa jelah yang dia tak puas hati dengan aku. Takkanlah Hakimi tu boyfriend dia. Tapi kalau betul pun okey juga. Aku dah selamatkan diri aku dengan perjanjian ‘kata ganti nama’. Comel kan nama perjanjian tu, hehe! Kalau tu pun dia nak jeles, parahlah.
****
Persahabatanku dengan Hakimi semakin lama semakin rapat. Aku selesa berkawan rapat dengannya. Mulanya aku bimbang juga jika singa betina itu menyerang aku. Tapi selepas Hakimi menerangkan bahawa Hanis Qurnia itu cuma rakannya, aku berasa sedikit tenang.
Mereka rapat kerana keluarga Hanis dan keluarga Hakimi berkawan baik. Dan dia juga mengaku Hanis Qurnia menyukai dirinya. Cuma, dia sahaja tidak mampu menerima cinta singa betina itu.
“Budak kecik, jauh termenung? Fikir pasal pakwe ke?” Hakimi serkap jarang.
“Kau ni tak habis-habis panggil aku budak kecik, kau tu besar sangat ke? Takde maknanya aku nak fikir pasal pakwe. Manalah aku ada masa nak bercintan cintun ni. Hidup aku ni penuh dengan manuskrip je kau tahu. Lagipun umur aku baru je 23 tahun. Awal lagi nak fikir pasal benda-benda macam ni. Lainlah kau dah 28 tahun. Memang wajib kahwin pun,” aku menjelirkan lidah kepadanya.
“Amboi, aku tanya sepatah kau jawab berpuluh-puluh patah. Dah lah cakap macam machine gun. 28 tahun tu kalau perempuan yalah wajib kahwin. Lelaki macam aku ni umur 40 tahun pun hot lagi tau,” Hakimi mendabik dada.
“Umur 40 hot bagi Hanis Qurnia je. Orang lain pandang kau sebelah mata pun tak. Hahaha!” sakan aku mengenakannya. Muka Hakimi sudah cemberut.
“Kau pun macam tu juga ke nanti?” nadanya kedengaran serius sahaja.
“Macam apa?” aku bertanya. Pelik mendengar soalannya.
“Pandang aku sebelah mata pun tak bila aku dah umur 40 tahun nanti,” suaranya mendatar.
“Yang kau tiba-tiba ambil serius dengan apa aku cakap kenapa? Aku gurau je pun. Kau period ke apa?” aku mengangkat kening.
“Takde apalah. Aku pun gurau je. Saja nak tengok macam mana muka kau bila cuak,” Dia ketawa kecil.
“Kureng punya kawan, sampai hati kau buat aku macam ni.” Aku menumbuk lengannya dengan kuat.
“Aku nak tanya kau satu soalan boleh?” nada suara Hakimi kedengaran perlahan.
“Tanyalah, don’t worry! Aku tak makan orang,” aku tersengih.
“Kau selesa kawan dengan aku?” serius sahaja suaranya.
“Tak, sebab kau ni handsome. Bila jalan dengan kau, mesti ada yang pandang aku tak puas hati. Macamlah aku ni couple dengan kau,” aku menjawab pantas. Ketawaku hamper pecah melihat Hakimi yang mengecilkan matanya.
“Aku serius ni, jawablah betul-betul. Asyik main-main je,” muka Hakimi berubah masam. Tiba-tiba aku rasa bersalah.
“Sorry, my mistake! Mestilah aku selesa kawan dengan kau. Sebab kau ni sporting. Bukan macam lelaki lain yang asyik cover macho je. Kau tahu tak, dekat office tu kau dengan Amira je kawan rapat aku. Aku kawan dengan Amira sebab dia baik, tak cover ayu, selalu ada dengan aku bila aku ada masalah. Same like you,” aku senyum sesudah menuturkan kata-kata itu. Entah kenapa aku puas, seolah-olah sedang meluahkan perasaanku.
“Okey, kau memang terbaik!” Hakimi sudah tersenyum.
“Tapi kau terbalik, hahaha!” akhirnya ketawa aku dan Hakimi meletus.
“Okeylah, aku nak balik dulu. Kalau borak dengan kau sampai bila pun tak habis,” aku meminta diri.
“Baik-baik pandu kereta tu, jangan nak laju sangat.” Hakimi berpesan seperti biasa. Dah macam mama punya pesanan penaja.
“Ai ai boss!” aku tabik hormat kepadanya.
Aku segera bergerak ke arah kereta. Jam tanganku sudah menunjukkan pukul 4.00 petang. Lama juga aku duduk melepak dengan mamat senget tu. Ketika aku hendak membuka pintu kereta…
“Akira!” Hakimi melaung namaku.
“Ya, Encik Hakimi! Ada apa?” aku melaung juga.
“Aku suka kau,” Hakimi berkata dengan riak selamba.
“Kau merepek apa ni?” aku memandang pelik kepadanya. Takkanlah aku baru je panggil dia mamat senget otak dia dah betul-betul tak centre?
“Aku sayang kau lebih daripada seorang kawan,” Hakimi beredar setelah dia mengucapkan kata-kata itu.
Serentak dengan itu, jantungku mula berdebar hebat. Aku tak percaya dengan apa yang aku dengar. Tapi kenapa suaranya kedengaran serius. Aku segera masuk ke dalam kereta. Jantung aku ni perlu ditenangkan terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Ya, hanya ada satu tempat yang benar-benar boleh buat aku tenang.
****
Pagi ini, aku mengelak daripada berjumpa dengan Hakimi. Aku belum bersedia untuk berdepan dengannya selepas kejadian semalam. Hanis Qurnia tiba-tiba sahaja memesan kepada Amira agar aku berjumpa dengannya.
Ini kali kedua aku dipanggilnya setelah hampir empat bulan aku bekerja di sini. Masalah apakah yang telah aku buat. Ajak jumpa di kafetaria pula tu. Nak belanja aku makan atau nak curah air atas aku. Ah, jauh betul fikiran aku menerawang.
“Assalamualaikum cik Hanis,” aku memberi salam kepadanya.
“Waalaikumussalam, kenapa lambat?” dia menjawab acuh tak acuh.
“Maaf, saya sedang menyunting manuskrip yang cik baru luluskan semalam.”
“Whatever! Aku ni jenis yang tak suka menunggu. Lagi-lagi nak tunggu orang macam kau ni. Ingat aku ada banyak sangat masa?” dia menghamunku.
“Terima kasih sebab sudi menunggu saya. Kenapa ya cik panggil saya? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” aku masih bersopan dengannya.
“Aku nak kau jauhkan diri daripada Ashraf Hakimi. Dia tu milik aku. Kau tak layak nak jadi kekasih hati dia. Ibu aku pemilik syarikat ni. Keluarga aku pun rapat dengan keluarga Hakimi,” angkuh sekali nadanya.
Ingin sahaja aku mencebik bibir mendengar katanya-katanya itu. Pemilik syarikat ni bukannya kau, tapi ibu kau. Itu pun nak kecoh ke. Papa aku kerja peguam negara, mama aku pula pakar motivasi. Takde pula aku nak kecoh. Kalau kecoh pun dengan orang yang tengah baca cerpen ni. Huh!
“Cik Hanis, kalau betul dia milik cik Hanis sudah tentu cik sudah selamat menjadi isteri kepada dia. Selagi belum ada ijab kabul yang termeterai, selagi itu dia belum lagi menjadi hak milik cik. Tapi cik tak perlu risau, sebab saya memang tak berminat pun dengan encik Hakimi. Saya dah anggap dia seperti kawan saya. Sama seperti Amira,” aku menjelaskan dengan berhemah. Aku benar-benar yakin dengan apa yang aku katakan sekarang. Aku dan Hakimi hanya sesuai menjadi kawan.
“Bagus, itu yang aku nak dengar. Sekarang kau boleh pergi,” Hanis Qurnia tersenyum puas.
“Baiklah, saya pergi dulu.” Aku meminta diri.
Kedekut punya minachi. Penat-penat je aku turun ke sini, bukannya nak belanja aku minum. Dasar perempuan kejam. Nasib baiklah aku ni ada perikemanusiaan. Kalau tak aku terima je Hakimi tu jadi boyfriend aku. Biar padan dengan muka kau.
Aku kembali duduk di hadapan komputer. Amira segera datang kepadaku. Pasti dia ingin bertanyakan perihal singa betina itu.
“Akira, kenapa dengan ketua editor kau tu?” Amira memulakan pertanyaan.
“Dia suruh aku jauhkan diri daripada Hakimi. Katanya Hakimi tu milik dia. Kelakar kan?” aku pura-pura ketawa.
“Akira, kau tak minat dengan Hakimi tu ke?” pertanyaan Amira membuatkan aku tersentak.
“Kenapa kau tanya aku macam tu? Ada apa-apa yang kau nak beritahu aku?” aku cuba mengawal perasaan.
“Akira, Hakimi serius sukakan kau. Kau tak nampak tapi aku nampak semua tu.” Amira memberitahu.
“Jadi selama ni aku jelah yang tak tahu?” aku sedikit kecewa.
“Aku yang suruh dia terus-terang,” kata-kata Amira kedengaran tenang.
“Aku tak boleh terima. Tapi bukan sebab cik Hanis. Hakimi tu aku dah anggap sama dengan kau. Kawan dunia akhirat yang tiada galang gantinya,” aku menjawab tegas.
“Kalau itu keputusan kau, aku tak boleh nak tolak. Kau buatlah apa-apa pun, janji kau bahagia.” Amira menepuk-nepuk belakangku sebelum beredar.
Tersentap aku mendengar ayat Amira. Betul ke aku bahagia dengan cara macam ni. Kalau bahagia kenapa aku sedih masa jumpa dengan cik Hanis tadi. Arghh, takkan aku sedih kot. Hakimi kawan aku dan akan selamanya menjadi kawan aku.
****
Aku sudah berjaya menamatkan buku Historical Fact and Fiction. Dalam buku ini, beliau mengemukakan tafsiran baru mengenai kisah Merah Silau, keterangan sejarah yang membuktikan Semut Besar adalah suatu yang benar bukan rekaan, identiti Raja Muslim pertama bagi kerajaan Samudra-Pasai, asal usul perkataan Melayu bagi nama Sumatra dan adat resam Melayu dalam amalan mewariskan takhta diraja ketika pertengahan abad ke-14 Masihi.
Beliau juga memberi suatu penjelasan baru bila dan bagaimana Parameswara memperoleh gelaran diraja Jawa, iaitu Parameswara. Apakah nama gelaran diraja Melayu ketika beliau memberontak menentang Majapahit, bila dan di mana beliau memeluk Islam, dan siapakah mubaligh yang mengIslamkannya, nama Muslimnya yang sebenar, peranannya yang utama berbanding dengan Adityawarman dalam menetapkan asas bagi kelahiran kerajaan Melayu yang baru. Beliau turut menjelaskan bagaimana penubuhan Melaka, asal usul nama Melaka dan maknanya, cerita rekaan mengenai pohon melaka yang kononnya menjadi punca kepada penubuhan Melaka, makna sejarah dan faham utama tentang sejarah.
Betapa banyaknya fakta baru yang telah aku peroleh melalui tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang terbaru ini. Tidak sia-sia aku membeli naskhah ini. Selepas ini bolehlah aku promote kepada rakan-rakanku di pejabat.
“Akira, kamu berangan apa tu? Fikir pasal calon menantu mama ke?” mama menepuk pahaku.
Haish, mama ni takde benda lain ke nak sebut. Tak habis-habis dengan calon menantu. Aku ni muda lagilah nak fikir pasal kahwin-kahwin ni. Kalau Hanis dengan Hakimi lainlah, diorang berdua dah 28 tahun. Eh, apasal aku tiba-tiba fikir pasal diorang ni.
“Apa mama ni? Asyik cakap pasal calon menantu sahaja,” aku sudah mula memuncungkan bibir.
“Dah tu, kamu dok berangankan apa?” mama bertanya.
“Akira baru habis baca buku ni. Tengah fikir macam manalah kehidupan manusia kalau takde sejarah. Mesti kita akan selalu membuat kesilapan yang sama. Sedangkan ada sejarah pun kita asyik tersilap, inikan pula hidup tanpa sejarah.” Aku menerangkan kepada mama.
“Baca buku Syed Naquib al-Attas rupanya. Patutlah terus transform jadi pakar sejarah. Manusia macam kita ni tak sempurna. Hari ini kita ingat, esok lusa mungkin kita akan lupa semula. Sebab perkataan manusia itu sendiri bermakud lupa,” aura mama sebagai pakar motivasi sudah keluar.
“Mama, Akira nak tanya sesuatu boleh tak?” aku meminta kebenaran.
“Tanyalah apa yang kamu nak tanya,” mama memberi kebenaran.
“Salah ke kawan rapat bercinta?” takut-takut aku bertanya. Aku sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja aku bertanyakan soalan ni.
“Bagi mama takde salahnya. Yang salah kalau kawan rapat tu sama jantina. Berdosa besar kalau macam tu. Tapi bila kawan rapat bercinta, sebenarnya ada pro and contra. Hidup ni ada dua kemungkinan, bahagia atau sedih. Kadang-kadang bila hubungan sebagai kekasih terputus, untuk menjadi kawan rapat semula agak sukar. Tapi bila dah sah menjadi suami isteri, mereka akan senang berkomunikasi sebab dah kenal hati budi. Yang kamu tanya mama pasal ni kenapa? Kamu suka dekat kawan kamu ya?” aku mendengar penerangan mama dengan teliti.
“Bukanlah mama, Akira cuma terfikir. Sebab macam kelakarlah pula bila kawan rapat bercinta,” aku sengaja berkata sebegitu. Mama seolah-olah dapat menebak isi hatiku ini. Aku takut kalau-kalau mama tersilap tafsir.
“Jodoh Allah itu tak kelakar Akira,” pendek sahaja jawapan mama. Tapi mampu membuat aku rasa terpukul. Mungkinkah mama tahu perasaanku sekarang ini? Ah, abaikan. Perkara ni kalau aku fikirkan sampai bila tak habis.
Setelah mama ke dapur, aku segera naik ke bilik. Ingin sekali rasanya membaca novel-novel Ramlee Awang Murshid. Setidak-tidaknya aku dapat berfikir perkara selain daripada perihal Hakimi. Atau mungkin aku boleh jatuh cinta dengan Laksamana Sunan dariada jatuh cinta dengan Hakimi. Uhh, apasal aku asyik fikir pasal Hakimi ni. Eee, tension betullah. Takde nama lain lagi ke aku nak sebut.
****
“Akira!” aku berpaling. Kali ini aku tak dapat lari lagi. Hakimi berjaya melihatku.
“Kenapa?” aku bertanya acuh tak acuh.
“Apasal kau lari daripada aku? Kalau sebab luahan perasaan tu, aku minta maaf. Aku tak tahu kenapa aku terlalu berterus-terang dengan kau hari tu. Kalau aku tahu akan jadi macam ni, baik aku berdiam je.” suara Hakimi mengendur.
“Mana ada aku lari daripada kau. Aku cuma sibuk je. Lagi-lagi bila Cik Hanis dah luluskan lagi beberapa manuskrip. Terpaksalah aku mengadapnya,” aku memberi alasan.
“Memang kau sibuk. Kau sibuk larikan diri daripada aku bukannya sibuk menyunting manuskrip. Kau tak perlu tipu aku. Aku tahu kau tak suka aku, tapi aku suka kau. Akira, kau tak perlu lari lagi. Kau boleh lupakan apa yang aku cakap dulu,” Hakimi tersenyum.
Hakimi memang insan yang murah dengan senyuman. Sejak pertama kali aku mengenalinya, jarang sekali dia bermasam muka. Tapi aku tahu senyumannya itu tidak seikhlas dulu. Pasti dia terluka dengan tindakanku. Maafkan aku Hakimi. Aku terpaksa.
“Okey, aku lupakan apa yang kau pernah cakap dulu. Tapi aku kena pergi sekarang. Aku betul-betul sibuk ni,” aku memberi alasan kepada Hakimi. Aku tidak mampu melihat wajahnya.
“Pergilah!” Hakimi membenarkan. Suaranya kedengaran pasrah.
****
Hubungan aku dan Hakimi semakin renggang. Kami tidak lagi seperti dulu. Dia lebih rapat dengan Hanis. Terkadang aku turut terasa hati, tapi bukankah ini yang aku mahukan dulu. Kini rakan rapatku di pejabat hanya Amira seorang.
Aku meneruskan rutin harianku seperti biasa. Aku sudah malas hendak memikirkan masalah yang tidak berkesudahan ini. Jika Hakimi ingin rapat semula denganku, aku akan menyambut dengan baik. Kalau tidak, aku hanya mampu redha jelah.
“Amira, kau dah nak balik ke?” aku melihat Amira yang sedang berkemas-kemas.
“Aah, kau tak nak balik lagi ke?” tanya Amira.
“Kejap lagi kot. Ada sikit je lagi nak siap,” aku segera menjawab.
“Okey, kau baik-baik tau. Jangan balik lambat sangat,” pesan Amira.
“Baik, jangan risau ya! Lepas siap je semua ni aku terus balik okey,” aku berkata ceria.
“Adios Akira,” dia melambai kepadaku.
“Bye Amira,” aku turut melambai.
Setelah Amira hilang dari pandangan, aku segera mengadap manuskrip kembali. Siap sahaja kerjaku, aku segera berkemas untuk pulang. Jam di pergelangan tanganku sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Aku ingin pulang segera.
****
Aku memarkirkan keretaku. Kereta mama dan papaku tiada di garaj. Entah ke mana mereka berdua pergi. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon. Hakimi keluar daripada kereta itu. Apahal mamat ni datang rumah aku. Aku membuka pintu pagar.
“Kau buat apa kat sini?” cepat sahaja mulut aku bertanya.
“Saya nak pastikan sesuatu,” dia menjawab tenang.
“Kau nak pastikan apa?” aku bertanya kembali. Aku hairan mendengar kata ganti nama yang dia gunakan. Sejak bila berubah menjadi ‘saya’ kembali. Pelik.
“Saya dah lama nak tanya awak pasal ni. Tapi saya tak berani. Saya cuma nak tahu, betul ke kita tak ada peluang untuk hidup bersama?” Hakimi bertanya sambil memandang wajahku.
“Ya, saya sangat yakin kita memang tak ada peluang untuk hidup bersama. Maaf kalau kata-kata saya ini mengguris perasaan awak, tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Kita cuma sesuai menjadi kawan,” tenang sahaja aku menjawab persoalannya itu. Entah kenapa aku turut menggelarkan diriku ‘saya’.
Aku benci menipu. Tapi aku terpaksa. Biarlah hatiku yang terluka daripada aku melukakan hati orang lain.
“Baiklah, lepas ni saya takkan ganggu awak lagi. Semoga awak bahagia Dzatul Akira. Nah, ambil air cincau ni! Orang kata kalau nak bagi hadiah dekat orang yang kita suka, bagilah apa-apa yang kita suka. Lagipun awak memang suka minum air cincau kan?” Hakimi menghulurkan air tin cincau. Teragak-agak aku menyambut pemberiannya.
“Terima kasih Hakimi,” aku mengucapkan terima kasih.
“Sama-sama, selamat tinggal Akira!” Hakimi memboloskan dirinya ke dalam kereta.
Aku sedih apabila mendengar ucapan selamat tinggal daripada Hakimi. Seolah-olah dia akan pergi jauh daripada aku. Aku tersenyum melihat air yang diberinya sebentar tadi. Setelah bayangan kereta Hakimi hilang, aku segera menutup pintu pagar dan masuk ke dalam rumah.
Keesokan harinya, aku melihat rakan-rakan sekerjaku sedang bermuram durja. Aku menyapa mereka. Amira juga kulihat sedang bersedih. Apakah yang telah terjadi.
“Amira, kenapa kau sedih-sedih ni?” Amira memandangku lama sebelum menjawab.
“Kau tak tahu ke?” soalanku dibalas dengan soalan juga.
“Tahu apa?” aku bertanya kembali.
“Hakimi dah pergi London. Dia melanjutkan pelajaran ke sana,” nada suara Amira sedih sekali.
“Kau bergurau apa ni? Semalam dia datang rumah aku tak bagitahu pun,” aku pura-pura ketawa.
“Mungkin dia tak sampai hati nak bagitahu kau,” tersekat-sekat suara Amira.
Aku terdiam. Aku teringat kembali pertemuan semalam. Dia berjanji tidak akan menganggu ku lagi. Perlahan-lahan air mataku menitis. Adakah dia pergi kerana hendak mengubat hatinya yang terluka. Tapi aku pun terluka juga. Sampai hati dia tinggalkan aku. Kini baru aku sedar yang aku memang cintakan dia.
****
Tiga bulan berlalu dan aku sudah terbiasa dengan ketiadaan Hakimi. Tetapi perasaan rinduku kepadanya semakin menebal. Aku rasa bersalah kerana menipu perasaanku terhadapnya. Tapi aku yakin dia akan berjumpa orang yang lebih baik daripadaku. Setidak-tidaknya aku berupaya mengekalkan pekerjaanku sebagai penolong editor di syarikat itu.
Bosannya hari minggu ni. Mama dengan papa tiada di rumah. Katanya hendak pergi ke kenduri kahwin di Perlis. Mereka ada mengajakku tapi aku tidak mahu kerana malas hendak menggosok baju. Kalau aku ikut tadi mesti aku tak bosan macam ni. Menyesalnya. Terlintas nama Amira di fikiranku. Aku sudah tersenyum sumbing.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam.
“Waalaikumussalam Akira, kau nak apa telefon aku pagi-pagi ni?” Amira bertanya dengan suara yang serak. Minah ni mesti baru bangun tidur. Nampaknya bukan aku je ada perangai suka tidur lepas subuh.
“Kau sibuk ke?” sengaja aku bertanya.
“Tak sibuk pun. Kenapa?” Amira bertanya kembali.
“Jom temankan aku pergi jalan-jalan. Bosan lah duduk terperap kat rumah. Mama dengan papa aku pergi kenduri,” aku mengajaknya.
“Kenapa kau tak ikut diorang?” Amira bertanya hairan.
“Aku malas nak gosok baju. Dahlah kena pergi pagi-pagi. Lagipun manalah aku tahu yang aku akan bosan duduk rumah sorang-sorang,” aku merungut.
“Ek eleh, sebab malas nak gosok baju kau sanggup tinggal rumah sorang-sorang? Ermm, kalau aku datang rumah kau dalam masa sejam lagi boleh?” Amira melihat jam di dinding.
“Amboi, lamanya! Tak apalah, aku tak kisah pun. Janji kau teman aku. Nanti aku naik kereta kaulah ya?” aku bersetuju dengan Amira. Pergi cepat pun nak buat apa. Bukan ada hal penting, cuma nak hilangkan bosan aku je.
“Yalah cik puan Dzatul Akira. Okeylah, aku nak mandi ni. Bye, assalamualaikum!” Amira meminta diri.
“Okey waalaikumussalam!” aku menjawab salam yang diberi sebelum meletakkan gagang.
****
“Akira, sini cepat!” Amira memanggil aku. Lagaknya bagaikan ternampak hantu.
“Ada apa kau ni?” aku malas hendak bangun. Penat bertawaf sekeliling Jusco masih terasa.
“Marilah cepat,” Amira menarik tanganku. Aku terpaksa bangun.
“Apa bendanya?” aku cuba melihat-lihat sekeliling.
“Tengok tu. Nampak tak singa betina tu. Bukan main lagi dia berpeluk sakan dengan mamat tu. Ish ish ish!” Amira berkata sambil mengeleng-gelengkan kepala.
Aku tergamam melihat aksi panasnya bersama lelaki itu. Hatiku sakit melihat perlakuannya. Memang patut pun Hakimi tak nak dekat dia. Ah, menyesalnya aku lepaskan Hakimi. Kenapalah hari ni aku asyik menyesal je.
“Amira, aku nak pergi tegur dia kejap. Kau tunggu sini,” aku memberitahu Amira.
“Eh, kau nak buat apa?” Amira memandang aku dengan pelik.
“Kau tengok je okey. Jangan risau, aku takkan buat perkara bodoh. Ini berkaitan dengan Hakimi,” Aku tersenyum kepada Amira.
Amira hanya menganggukkan kepalanya tanda membenarkan. Aku segera melangkah kea rah pasangan yang sedang bermesra itu.
“Ehem, assalamualaikum!” aku memberi salam. Mereka kelihatan terkejut.
“Err, waalaikumussalam!” teragak-agak Hanis menjawab salam yang kuberi.
“Encik yang saya tak tahu nama, boleh tak kalau saya nak pinjam teman wanita encik sebentar?” sopan aku bertanya.
“Boleh, tapi sekejap je tau. Sayang, jangan lama-lama ya. Nanti I rindu,” kalau aku muntah sekarang, pasti muntah aku seperti pelangi kerana mendengar kata-kata lelaki itu. Geli sungguh mendengar ayatnya.
“Okey, I pergi kejap je. You tunggu I kat sini ya sayang,” Hanis membalas kata-kata lelaki itu.
Aku menarik lengan Hanis dan membawanya ke satu tempat. Aku perlu tahu semuanya. Takkanlah sebab Hakimi pergi ke London, dia ambil kesempatan dengan lelaki lain.
“Cik Hanis, bukan ke cik cinta mati sangat dengan encik Hakimi. Kenapa bersayang-sayang dengan lelaki lain pula?” aku bertanya dengan nada yang sarkastik.
“Actually, aku tak hairan pun dengan Hakimi tu. Aku bukannya suka sangat dengan dia. Aku cuma berminat dengan duit dia yang berkepuk tu,” dengan selamba dia berkata.
“What? Habis tu kenapa kau suruh aku jauhkan diri daripada Hakimi dulu?” sudah hilang rasa hormatku terhadapnya.
“Sebab aku tak nak kau jadi penghalang rancangan aku mendapatkan harta dia. Dan aku tak boleh terima bila dia lebih tertarik dengan kau berbanding aku,” suara Hanis nak seoktaf.
“Itu je sebabnya? Kau ni memang manusia takde hati perut,” aku menggeleng kepala. Kecewa mengenangkan perangai Hanis.
“Ya, itu je sebabnya! Tapi sekarang aku tak kisah, kalau kau nak Hakimi tu ambillah. Aku dah ada yang lain. Lagipun kalau aku nak kikis harta Hakimi tu, entah bila agaknya. Silap-silap aku dah kerepot pun belum tentu aku boleh dapat harta dia. Memang jantan kedekut,” Hanis mencebik bibir.
“Memang patut pun dia kedekut dengan kau. Kau memang perempuan yang tak sedar diri. Sanggup mempermain perasaan orang lain untuk kepentingan diri. Luckily, the man is not Hakimi,” aku berkata sambil menunjuk ke arah lelaki yang menjadi mangsa Hanis sekarang.
“Whatever!” Hanis melangkah pergi dengan sombong. Dia kembali bersama lelaki itu. Dari jauh, dia menjeling ke arahku sambil memegang tangan lelaki itu.
Aku segera mengajak Amira pergi ke POPULAR. Aku perlu menenangkan hatiku yang sedang berkecamuk ini. Segala rasa bercampur gaul sehingga aku tidak tahu perasaan apakah yang sedang aku rasakan sekarang ini.
“Amira, kalau kau nak tahu tempat nilah yang selalu aku pergi bila aku ada masalah. Tapi ini memang tempat aku paling suka lepak. Jadi kalau aku ada masalah ke, takde masalah ke aku memang selalu ke sini. Cuma sekarang aku jarang ke sini lagi. Biasalah, sibuk dengan kerja kan,” aku cuba ketawa untuk meredakan perasaanku.
“Bagus cara kau Akira. Jarang orang pergi kedai buku untuk tenangkan fikiran. Entah-entah kau satu dalam dunia ni. Selalunya orang pergi pantai, tasik ataupun pergi ke luar negara untuk lupakan masalah. Kau ni unik,” Amira memuji aku.
“Pergi ke luar negara? Macam Hakimi?” pantas aku bertanya.
“Eh, aku tak cakap pun Hakimi. Haa, kantoi sudah! Kau memang suka kat dia kan? Tapi kau sanggup lepaskan dia semata-mata untuk si singa pisau cukur tu. Aku tahulah dia perlukan banyak pisau cukur untuk cukur bulu-bulu kat muka dia tu. Sekarang kau juga yang sakit hati kan,” laju sahaja kata-kata itu meluncur dari bibirnya.
“Yalah, kan dia pergi London! Aku saja je cakap nama dia,” aku cuba memanipulasi hal yang sebenar.
“Akira, sampai bila kau nak memendam rasa?” Amira merenung dalam mataku.
“Sampai bila-bila kalau perlu. Lagipun aku kena belajar terima hakikat dia bukan jodoh aku. Dah jelas kan, aku dengan dia takde peluang untuk bersama. Entah-entah kat sana dia dah jumpa awek baru. Orang handsome macam dia takkan takde yang berminat kan,” laju aku menjawab.
“Tahu pun. Kau je yang jual mahal. Konon-kononnya tak minat,” Amira menjuih bibir.
“Dahlah, buat apa cerita pasal dia! Aku datang sini nak tenangkan fikiran. Cakap pasal dia buat otak aku serabut lagi adalah,” sengaja aku berkata begitu. Padahal dalam hati aku rasa tenang je bila fikir pasal dia. Mengada-ngada sungguh cik hatiku ini sekarang ya.
“Yalah, aku tutup cerita pasal dia. Nanti tak pasal-pasal aku jadi tempat kau lepaskan kemarahan,” Amira ketawa.
Akhirnya aku turut ketawa. Amira ni memanglah. Ada je cara dia nak buat aku ketawa. Sesungguhnya aku memang beruntung ada kawan macam dia ni.
****
Tiga tahun kemudian…
Aku sedikit kalut hari ini. Sudah lama aku tidak bangun lambat. Entah kenapa hari ini boleh terlajak tidur pula. Tapi aku tak risau sangat. Ketua editorku yang sekarang baik. Hanis Qurnia sudah berhenti kerja sejak mendirikan rumah tangga. Dengar khabar, perangainya juga sudah mula berubah. Berkat maal hijrah barangkali.
Kini aku sudah berjaya menjadi seorang editor. Amira pula dah jadi penolong ketua Grafik. Jawatan yang pernah disandang oleh Hakimi satu ketika dahulu.
“Cik Akira!” tiba-tiba sahaja aku diterjah oleh Hana. Tidak sempat aku hendak melepaskan lelah setelah berhambat datang ke pejabat.
“Ya Hana, ada apa?” tanya aku kepadanya.
“Betul ke bakal Pengarah Muda Seni kita orang yang pernah bekerja di sini dahulu?” dia bertanya dengan nada teruja.
“Saya tak tahu. Dari mana awak dapat berita ni? Tapi kalau betul pun saya tak boleh agak siapa. Sebab memang ramai yang dah berhenti dalam tempoh tiga tahun saya bekerja di sini. Katanya ingin mencari angin baru. Ada juga yang berhenti kerana menyambung pelajaran,” jelasku kepadanya.
“Tadi saya terdengar perbualan antara Puan Rania dengan Pegurus Besar Penerbitan. Katanya dia pernah bekerja di sini selama 5 tahun sebelum berhenti,” Hana bercerita dengan penuh perasaan.
“Kalau betul pun, kenapa awak tanya saya? Saya memang tak tahu apa-apa. Lagi satu, kalau betul apa yang awak dengar tadi tu. Maknanya betullah kan,” entah berapa banyak kali perkataan betul yang aku cakap kat minah ni.
“Saja je. Manalah tahu kalau cik kenal. Nak tahu handsome ke tak,” Hana tersengih-sengih.
Setelah dia berlalu pergi, aku menggeleng-gelengkan kepala. Memang pelik perangai Hana ni. Sanggup terjah aku semata-mata nak dapatkan kepastian perihal Pengarah Muda Seni. Tapi aku pun nak tahu juga sebenarnya. Tak sabarnya nak tunggu esok.
****
Hari ini jantungku tidak henti-henti berdebar. Aku sendiri tidak mengerti. Takkanlah excited sangat nak menerima kehadiran Pengarah Muda Seni yang baru. Atau ada sesuatu yang akan berlaku hari ini. Ah lantaklah, malas nak fikir.
“Baiklah, hari ini saya akan perkenalkan Pengarah Muda Seni Pena Kreatif yang baru. Beliau pernah berkhidmat di sini sebagai Pengarah Grafik selama 5 tahun sebelum berhenti kerana menyambung pelajaran di London. Saya persilakan Encik Ashraf Hakimi,” aku tersentak mendengar kata-kata Puan Rania. Takkanlah…
“Saya Ashraf Hakimi. Call me Hakimi. Gembira bertemu staf-staf yang masih kekal di sini,” dia berkata dengan penuh karisma. Aku hanya mampu menundukkan kepala. Tidak sanggup bertentang mata dengannya.
Aku mengeluh kecil melihat staf-staf baru yang terpesona dengannya. Mereka bagaikan tidak mahu melepaskan mata dari melihat Hakimi. Aku berasa cemburu. Amira di sebelah menggenggam tanganku dengan erat. Dia seolah-olah cuba untuk menyalurkan semangat buatku.
“Amira, aku rasa aku kena pergi POPULAR sekarang. Aku dah tak tahan ni. Rasa nak menangis puas-puas je sekarang ni,” aku memberitahu Amira.
“Pergilah. Jangan menangis sambil pandu kereta tu. Dah masuk POPULAR tu kalau nak nangis, nangislah.” Amira cuba berlawak.
“Yalah,” aku menjawab pendek.
****
“Assalamualaikum cik puan Dzatul Akira Binti Sharifudin,” aku terkejut mendengar suara itu.
Macam mana pula dia boleh ada kat sini. Ni mesti Amira punya kerja. Minah ni memang nak kena betullah. Potong stim betul. Aku tengah syok hidu bau buku. Dia nak menyemak pula kat sini.
“Waalaikumussalam,” aku menjawab malas.
“Lama saya tak jumpa awak,” Hakimi memulakan perbualan.
“Macam mana nak jumpa kalau awak lari daripada saya,” aku berkata sinis.
“Saya mengaku saya lari daripada awak. Tapi itu semua sebab saya nak rawat hati saya. Awak ingat senang-senang je saya nak lepaskan awak. Saya pergi sebab nak hilangkan perasaan cinta saya pada awak. Awak tahu tak hati saya ni sakit?” Hakimi membela diri.
Maknanya dia dah tak cintakan aku lagilah ni. Kalau tak cintakan aku kenapa muncul balik dalam hidup aku. Eee geramnya! Aku macam nak pengsan bila fikir pasal dia. Boleh dia cakap macam tu. Senangnya! Aku mengenggam penumbuk.
“Habis hati saya ni tak sakitlah? Awak ingat saya suka ke bila awak main lari-lari macam tu? Buat apa jadi lelaki kalau macam tu? Bila patah hati je lari. Lari ke luar negara pula tu. Macam tu ke lelaki sejati?” aku mengasaknya bertubi-tubi.
Hakimi cuma senyap. Dia ni dah tak ada suara ke. Tadi bukan main lagi. Ni diam je pula. Kalau macam ni baik tak payah datang. Buat sakit hati je. Bukannya nak pujuk aku pun. Eh, buat apa dia nak pujuk aku. Tadi kan dia dah kata dia pergi untuk hilangkan perasaan cinta dia pada aku. Maknanya dia tak cintakan aku lagi. Buat apa nak pujuk-pujuk pula kan. Sedih betul.
“Saya nak tanya awak sekali lagi. Betul ke kita memang tak ada peluang untuk hidup bersama?” aku terperanjat mendengar pertanyaan itu.
Aku tidak sangka akan mendengar soalan ini lagi. Tiga tahun lepas dia pergi meninggalkan aku tanpa apa-apa berita setelah aku menjawab tidak. Tapi kenapa dia mesti tanya lagi. Dia kan dah tak cintakan aku.
“Kalau awak fikir saya dah tak cintakan awak, itu tak benar sama sekali. Saya tak pernah berjaya hilangkan cinta saya terhadap awak, malah perasaan itu semakin berkembang mekar. Tapi kali ini, saya terima keputusan awak seadanya. Betul kata awak, saya bukan lelaki sejati. Saya lari daripada masalah,” dia menyambung kembali.
“Memang tak ada,” selamba sahaja aku menjawab.
“Baiklah, saya hormat keputusan awak.” Aku dapat mendengar perubahan suaranya. Aku tahu dia sedih walaupun dia masih tersenyum.
“Awak tak nak dengar dulu ke sebabnya?” aku memberanikan diri merenung matanya. Tapi aku tewas.
“Kalau awak nak saya dengar, saya sedia pinjamkan telinga saya ni. Walaupun hati saya akan sakit nanti,” Hakimi tersenyum lagi. Aku pula yang terpana mendengar katanya.
“Dulu awak pernah tanya soalan ni. Lepas tu awak tinggalkan saya. Awak tak tanya pun sebabnya kan,” aku sengaja melengah-lengahkan waktu. Malu untuk berterus-terang.
“Cakaplah cepat,” suaranya sedikit mendesak.
“Hanis pernah jumpa saya. Dia suruh saya jauhkan diri daripada awak. Sebab tu dulu saya jawab tak,” aku menjelaskan.
“Sekarang awak tolak sebab apa pula?” buru-buru Hakimi bertanya.
“Sabarlah dulu. Saya tak habis cerita lagi ni,” aku menjelingnya.
“Okey teruskan,” dia mengalah. Aku menyembunyikan senyum.
“Tapi saya tak sangka rupa-rupanya Hanis cuma nak kikis duit awak. Saya terserempak dengan dia di JUSCO dengan lelaki lain. Katanya lelaki tu kaya dan tak kedekut macam awak,” aku berhenti seketika.
“Kali ni saya jawab tak juga. Cuba awak teka kenapa?” aku menyambung bicara yang terhenti tadi.
“Saya tak retilah main teka-teka ni. Bagilah tahu cepat,” Hakimi mendesak. Jika tidak ditahan, pasti ketawaku sudah meletus.
“Sebab awak tak pinang saya lagi. Macam mana kita nak bersama. Takkan awak nak tunggu saya pula pinang awak,” aku mengenyit mata ke arahnya.
“Akira! Awak ni memang nak kenalah. Soal hati dan perasaan pun awak boleh main-main lagi,” Hakimi mendengus.
“Okey-okey, kali ni saya tak main-main. Kalau kita tak cuba macam mana peluang tu nak wujud kan? Hmm, awak pandang sana dulu. Saya nak cakap sesuatu,” aku menyuruhnya memandang ke arah luar.
“Kenapa kena pandang sana pula?” Hakimi bertanya.
“Pandang jelah, ish!” aku merengus.
“Yalah yalah!” dia menurut. Aku menghembuskan nafas perlahan-lahan sebelum berkata-kata.
“Saya cintakan awak,” aku pasti wajahku sudah memerah. Malunya rasa. Hakimi sudah menoleh ke arahku.
“Cakap sekali lagi. Saya tak dengarlah,” Hakimi bersuara.
“Dah, jangan nak mengada. Awak ingat saya ni kaset ke nak ulang-ulang?” aku berpaling ke arah lain.
“Saya pun cintakan awak,” suaranya kedengaran berbisik.
Dalam hatiku ini sudah bermacam-macam jenis bunga yang kembang. Rama-rama dan lebah sudah berpesta ingin menghisap madu-madu bunga. Ah, apa aku merepek ni.
“Dahlah, saya nak balik pejabat. Nanti tak pasal-pasal kena potong gaji,” aku berkata sambil mengambil buku-buku yang sudah aku pilih sebelum Hakimi sampai.
“Akira, tunggu dulu!” Hakimi memanggil.
“Apa dia?” aku bertanya.
“Nah, ambil ni.” Hakimi menghulurkan air tin cincau.
Dia ni tak sudah-sudah dengan air cincau. Entah apa simboliknya aku pun tak tahu.
“Terima kasih encik Hakimi. Boleh tak saya tahu kenapa awak suka bagi saya air cincau? Banyak lagi benda yang suka,” aku sengaja bertanya. Nak juga tahu kalau-kalau ada maksud lain yang cuba dia sampaikan.
“Saya nak awak tahu cinta itu macam air cincau. Rasanya pahit dan manis. Macam cinta juga. Ada indah, ada derita. Indah bila diselaputi kebahagiaan. Tapi bila ada yang menduga, pasti kita akan rasa derita.” Hakimi menerangkan.
“Sweetlah awak ni,” aku memujinya.
“Jom jalan sama-sama. Saya pun nak balik pejabat juga,” tiba-tiba Hakimi mengajak. Pasti dia sudah malu mendengar pujianku tadi.
“Jom,” aku dan Hakimi berjalan beriringan menuju ke tempat letak kereta.
Aku tersenyum bahagia apabila mengenang kembali peristiwa tadi. Nasib baik hanya kami je yang ada dalam POPULAR tadi. Kalau tak buat malu je. Ada ke patut aku dengan Hakimi buat drama swasta kat situ. Tapi aku bahagia. Mana ada orang luahkan perasaan dekat kedai buku. Unik apa, hehe!

Subscribe to:
Posts (Atom)